Skip to main content

Iklan

Iklan

Budak bawah 12 tahun belum divaksin dibenar masuk S'pura melalui VTL

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah akan dibenarkan memasuki Singapura dari negara-negara di bawah skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) mulai 19 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak bawah 12 tahun belum divaksin dibenar masuk S'pura melalui VTL

Pesawat SIA terbang lalu Taman East Coast. (Gambar: Kurt Ganapathy)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 06:40PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 06:43PM

SINGAPURA: Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah akan dibenarkan memasuki Singapura dari negara-negara di bawah skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) mulai 19 Oktober.

Sungguhpun demikian, kanak-kanak berkenaan mesti ditemani oleh pelawat lain di bawah skim tersebut, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Isnin (11 Okt).

Buat masa ini, Singapura mempunyai aturan VTL bersama dengan Brunei dan Jerman. VTL dengan Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, Britain dan Amerika Syarikat pula akan dibuka pada 19 Oktober dan VTL bersama dengan Korea Selatan akan bermula pada 15 November.

Sama seperti para pelawat lain di bawah skim yang sama, kanak-kanak yang tiba di sini menerusi VTL tidak perlu menjalani kuarantin, tambah CAAS.

Namun, mereka dikehendaki menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) sebelum menaiki pesawat dan sebaik tiba di Singapura, kecuali kanak-kanak kecil berumur dua tahun ke bawah.

"Para pelawat dinasihatkan supaya memeriksa syarat-syarat yang dikuatkuasakan oleh negara-negara yang bakal dikunjungi, termasuk sebarang sekatan berhubung usia pelawat dan status vaksinasi mereka," menurut CAAS.

SYARAT PERJALANAN

Menerangkan syarat-syarat perjalanan bagi kanak-kanak di bawah VTL, CAAS menyatakan bahawa kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah layak berbuat demikian tanpa perlu menunjukkan status vaksinasi mereka.

Ini termasuk kanak-kanak rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR), pemegang pas jangka panjang dan pengunjung jangka pendek.

Usia kanak-kanak adalah berdasarkan tahun kalender.

Kanak-kanak mesti ditemani oleh seorang pelawat di bawah VTL yang memenuhi kesemua keperluan dan syarat-syarat skim tersebut untuk memasuki Singapura.

Kanak-kanak itu tidak perlu membuat permohonan pas perjalanan untuk melawat Singapura di bawah skim tersebut.

Demi melindungi kesihatan awam, kanak-kanak itu dikehendaki mematuhi kesemua keperluan dan syarat-syarat VTL yang lain, tambah CAAS.

Ini bermakna mereka mesti berada di satu atau lebih negara di bawah VTL atau berada di Singapura sepanjang 14 hari berturut-turut sebelum berangkat ke Singapura.

Kanak-kanak juga mesti berangkat ke Singapura dengan menaiki pesawat yang ditetapkan di bawah VTL.

Tidak termasuk kanak-kanak kecil berusia dua tahun dan ke bawah, hasil kedua-dua ujian PCR COVID-19 mestilah negatif.

Ujian pertama perlu diambil dalam tempoh 48 jam sebelum berangkat ke Singapura, yang kemudian disusuli dengan satu lagi ujian sejurus tiba di Lapangan Terbang Changi. Mereka juga mesti mengasingkan diri sehingga hasil ujian mereka disahkan negatif.

Kanak-kanak yang berpindah ke pesawat lain atau melakukan persinggahan di Singapura juga akan dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke sini menerusi pesawat yang ditetapkan di bawah VTL.

Mereka juga mesti menjalani ujian PCR dalam tempoh 48 jam sebelum berangkat ke Singapura, kecuali kanak-kanak kecil yang berusia dua tahun dan ke bawah.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan