Skip to main content

Iklan

Iklan

Boon Lay Place Food Village ditutup selepas 7 kes COVID-19 dikesan

Singapura melaporkan 162 kes jangkitan baru tempatan COVID-19 setakat tengah hari Khamis (22 Jul), termasuk 87 kes yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lima kes berkait  kelab KTV. 

Anggaran Waktu Membaca:
Boon Lay Place Food Village ditutup selepas 7 kes COVID-19 dikesan

Pusat makanan Boon Lay Place Food Village. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 23 Jul 2021 01:02AM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 01:04AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 162 kes jangkitan baru tempatan COVID-19 setakat tengah hari Khamis (22 Jul), termasuk 87 kes yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lima kes berkait kelab KTV.

Setakat Khamis petang, terdapat 541 kes yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim manakala 221 kes berkait dengan kelompok KTV.

Sebanyak 110 jangkitan mempunyai kaitan dengan kes lalu; 59 daripadanya sudahpun dikuarantin manakala 51 kes dikesan melalui ujian pengawasan.

Baki 52 kes tidak berkait dengan mana-mana kes terdahulu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini awal hariannya.

Sebanyak enam kes melibatkan individu berusia lebih 70 tahun yang belum lagi divaksinasi dan berisiko menghidap penyakit serius, menurut MOH.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 170 kes baru COVID-19 pada Khamis.

BOON LAY PLACE FOOD VILLAGE DITUTUP 2 MINGGU

Pusat makanan Boon Lay Place Food Village di 221B Boon Lay Place akan ditutup dari 23 Julai hingga 6 Ogos bagi menjalani kerja-kerja pembersihan rapi. Ini selepas tujuh kes COVID-19 dikesan dalam kalangan individu yang bekerja di sana atau mengunjungi tempat itu.

Kes-kes tersebut dikesan sebagai sebahagian daripada siasatan MOH ke atas kes jangkitan COVID-19 melibatkan pasar dan pusat makanan, yang mungkin meningkat disebabkan para penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong.

MOH menambah ujian percuma COVID-19 akan diluaskan kepada orang awam yang mengunjungi Boon Lay Place Food Village serta Pasar dan Pusat Makanan Chong Pang antara 8 dengan 22 Julai.

(Gambar: MOH)

Kini terdapat 28 kelompok aktif di Singapura, antara tiga kes dengan 560 kes. Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim kekal sebagai kelompok terbesar di sini.

Lima lagi kes mempunyai kaitan dengan kelompok Kasino Marina Bay Sands, membawa jumlah jangkitan kepada 15.

Enam lagi kes terkait kelompok Kes 64697 yang kini mempunyai 54 kes. MOH bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai Kes 64697.

Sementara itu, satu lagi kes jangkitan baru dikesan berhubung kait dengan kelompok Kes 64735 yang kini sudah meningkat kepada lima kes. MOH juga tidak memberikan maklumat lanjut tentang Kes 64735.

Jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat kepada 883 kes pada minggu lalu daripada 127 kes pada minggu sebelumnya.

"Kita mungkin akan terus melihat jumlah tinggi kes pada hari-hari mendatang sedang kami memperhebat usaha untuk mengesannya bagi membendung penularan dalam masyarakat," menurut MOH.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat turut naik kepada 105 kes pada minggu lalu daripada 16 kes pada minggu sebelumnya.

Buat masa ini, sebanyak 415 kes dirawat di hospital, dengan kebanyakannya berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.

Setakat ini, terdapat tujuh kes yang mengalami penyakit serius dan memerlukan bantuan oksigen tambahan sementara satu kes dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU). Tiada seorang pun dalam kalangan lapan pesakit itu divaksinasi sepenuhnya, menurut MOH.

"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti. Sepanjang 28 hari lalu, tujuh kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Enam daripadanya belum divaksinasi, satu sudah menerima satu dos suntikan dan tiada yang sudah divaksinasi sepenuhnya."

Setakat Khamis, Singapura melaporkan jumlah terkumpul kes COVID-19 sebanyak 63,791. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan