Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beratur panjang di pasar raya susuli pengumuman langkah lebih ketat bendung COVID-19

Beberapa jam selepas Pemerintah mengumumkan langkah-langkah yang diperketatkan untuk membendung penularan COVID-19, barisan beratur yang panjang dilihat di pasar raya merata negara, dengan sekurang-kurangnya 20 orang beratur pada satu-satu masa.

Anggaran Waktu Membaca:
Beratur panjang di pasar raya susuli pengumuman langkah lebih ketat bendung COVID-19

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 10:20AM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 10:25AM

SINGAPURA: Beberapa jam selepas Pemerintah mengumumkan langkah-langkah yang diperketatkan untuk membendung penularan COVID-19, barisan beratur yang panjang dilihat di pasar raya merata negara, dengan sekurang-kurangnya 20 orang beratur pada satu-satu masa.

Ini meskipun selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice, Seah Kian Peng memberi jaminan kepada orang ramai pada awal hari itu bahawa cawangan-cawangan pasar rayanya akan terus dibuka walau apa pun yang berlaku.

Di Cold Storage di pusat beli-belah Bugis Junction, barisan seramai 20 orang terbentuk di luar pasar raya itu setiap beberapa minit. Pasar raya itu menghadkan jumlah pembeli-belah kepada 10 pada satu-satu masa.

Seorang kakitangan yang menguruskan barisan beratur itu memberitahu Mediacorp bahawa langkah itu dilaksanakan bagi mencegah kesesakan.

Keadaan yang serupa juga berlaku di pasar raya NTUC FairPrice di Chinatown Point.

Encik Kiang Phuengsuwan, 31 tahun, yang bekerja sebagai seorang jurutera, melanggani cawangan itu seminggu sekali. Beliau memberitahu Mediacorp bahawa jumlah pembeli-belah (pada hari itu) agak 'luar biasa'.

"Saya rasa ramai orang bimbang tentang bekalan makanan dan sama ada tempat-tempat makan akan terus dibuka memandangkan keadaan dilihat kian berubah-ubah setiap beberapa hari," kata beliau.

Walaupun beliau tidak percaya dengan idea menyorok bekalan makanan, beliau bimbang seandainya lebih banyak restoran mungkin ditutup kerana kekurangan pelanggan selepas langkah-langkah yang lebih ketat dikuatkuasakan Selasa depan (7 Apr.

Pemerintah pada Jumaat (3 Apr) mengumumkan langkah-langkah lebih ketat yang mungkin akan melengangkan tempat-tempat kerja bagi industri-industri tidak penting, menghadkan pergerakan orang ramai dan mengurangkan dengan ketara tahap operasi sekolah-sekolah dari 7 April hingga 4 Mei.

Beberapa jam selepas pengumuman itu, laman web FairPrice mengalami gangguan sedang orang ramai berpusu-pusu melanggani pasar raya di merata negara.

Namun tidak seperti pembelian panik yang disaksikan selepas Pemerintah menaikkan tahap Sistem Respons Terhadap Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) dari Kuning kepada Jingga pada awal Februari, para pembeli-belah pada Jumaat (3 Apr) dilihat membeli dengan jumlah yang lebih kecil.

Kebanyakan pelanggan yang ditemui wartawan Mediacorp berkata mereka hanya melakukan pembelian mingguan bagi barangan dapur.

Sejumlah besar pembeli-belah juga dilihat di pasar raya Giant di Tampines pada lewat Jumaat malam (3 April).

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Today/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan