Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan Kecekalan 'intervensi tepat' demi ringankan beban niaga, keluarga S'pura

Para Anggota Parlimen (AP) mengalu-alukan belanjawan tambahan terbaru sebanyak S$33 bilion yang dibentangkan pemerintah sebagai "intervensi yang tepat".

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan Kecekalan 'intervensi tepat' demi ringankan beban niaga, keluarga S'pura

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) mengalu-alukan belanjawan tambahan terbaru sebanyak S$33 bilion yang dibentangkan pemerintah sebagai "intervensi yang tepat" untuk membantu perniagaan-perniagaan bertakat, selain membantu penduduk Singapura untuk mengharungi "dunia pascaCOVID-19".

Belanjawan Kecekalan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat semalam (26 Mei) itu juga akan membantu meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung keluarga-keluarga selain menyelamatkan serta mewujudkan pekerjaan.

Demikian menurut para AP kepada BERITAmediacorp sebagai memberi rumusan mereka berhubung belanjawan keempat negara dalam tempoh tiga bulan sahaja.

AMRIN: KINI MASANYA SUDAH TIBA

Walaupun akur ia tidak dapat melenyapkan semua masalah untuk semua orang, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin menyatakan ia sekurang-kurangnya dapat memberi dorongan untuk keluarga-keluarga dan perniagaan Singapura untuk terus mengharungi masa-masa sukar ini.

Menulis di laman Facebooknya, beliau menyatakan mereka akan dibantu dari pelbagai segi - baik dari kos gaji menerusi Skim Sokongan Kerja, lanjutan pengecualian sewa, usaha-usaha transformasi digital dan juga latihan kemahiran.

Secara keseluruhannya, hampir $100 bilion diperuntukkan untuk membantu rakyat dan perniagaan Singapura.

Keluarga-keluarga juga akan diberikan sokongan tambahan menerusi rebat bil api air S$100, membangunkan kecelikan digital serta pemadanan sedolar bagi setiap sedolar yang diderma bagi badan-badan kebajikan yang akan menghulurkannya kepada mereka yang paling terjejas dalam kalangan masyarakat.

"Kita sudah berjimat cermat bagi masa-masa sukar (menerusi rizab negara). Kini masanya sudah tiba. Dengan Perpaduan, Daya Tahan, Kesepakatan dan Kecekalan kita boleh mengharungi badai ini bersama-sama, menyokong dan mendorong antara satu sama lain dan memastikan tidak ada yang ditinggalkan," kata Encik Amrin.

ZAINAL: BANYAK KETIDAKTENTUAN PERLUKAN BANYAK FLEKSIBILITI

AP GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari, pula menyifatkan Belanjawan Kecekalan itu sebagai sokongan yang "tepat pada masanya" untuk membantu pernigaaan dan pekerja.

Lebih-lebih lagi berdasarkan maklum balas yang diterima daripada NTUC dan perlbagai persatuan karyawan.

"Terdapat banyak ketidaktentuan tentang kesan COVID-19 ke atas ekonomi dan ia memerlukan fleksibiliti dan sokongan belanjawan yang tepat pada masanya untuk membantu perniagaan bertahan," Penolong Setiausaha Agung NTUC itu memberitahu BERITAmediacorp.

Encik Zainal menambah, belanjawan itu juga memandang ke masa hadapan kerana ia menyokong perniagaan-perniagaan untuk mendakapi perubahan-perubahan teknologi yang amat diperlukan supaya mereka dapat bertahan.

"Saya rasa ini mungkin bukan belanjawan tambahan yang terakhir sekiranya keadaan COVID-19 ini tidak bertambah baik dan lebih banyak sokongan diperlukan daripada pemerintah," ujar Encik Zainal.

SAKTIANDI: KURANGKAN KESAN KEMELESETAN PALING MENDALAM SEJAK MERDEKA

Bagi AP GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat, Belanjawan Kecekalan menunjukkan keseimbangan sokongan yang diberikan kepada individu dan industri-industri yang berdepan masalah sekarang.

Ia juga sebagai persiapan untuk kita mengharungi cabaran dunia pascaCOVID-19, di mana " transformasi digital dan lebih banyak gangguan akan menjadi norma".

"Penggunaan wadah pembayaran elektronik dan Bonus Daya Tahan Digital adalah usaha-usaha untuk merangsang transformasi dan merebut peluang-peluang baru sekarang dalam kalangan SME dan syarikat-syarikat," kata Encik Saktiandi, yang juga merupakan pakar ekonomi dan Ketua Penyelidikan Tukaran Asing Maybank.

Beliau berkata sokongan tambahan itu adalah untuk mengurangkan kesan ekonomi yang berdepan kemelesetan paling mendalam sejak Singapura merdeka.

Menurut Encik Saktiandi, anggota masyarakat Melayu yang terjejas boleh memanfaatkan sokongan-sokongan seperti Pekerjaan SGUnited dan Pakej Kemahiran yang dilancarkan untuk mewujudkan hampir 100,000 pekerjaaan.

"SME kita pula boleh meraih manfaat daripada geran kira-kira S$2 bilion untuk mengimbangi kos sewa. Ini selain daripada Rebat Cukai Hartanah bernilai $1.8 bilion yang diumumkan sebelum ini," kongsi Encik Saktiandi kepada BERITAmediacorp.

Bantuan-bantuan lain yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu/Islam termasuk Geran Sokongan COVID-19 sebanyak S$800 juta untuk mereka yang kehilangan kerja atau disuruh mengambil cuti tanpa gaji atau mereka yang sebahagian besar gajinya dipotong.

Mereka juga akan menerima Kredit Perbekalan Kesepakatan sekali sahaja sebanyak S$100, memandangkan mereka lebih banyak duduk di rumah sepanjang tempoh 'circuit breaker'.

Keluarga-keluarga berpendapatan rendah pula dapat memanfaatkan bantuan digital untuk mempercepat proses bagi para pelajar sekolah menengah memiliki peralatan pembelajaran digital.

 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan