Virus Korona

Images
  • airport
    Para penumpang memakai pelitup semasa berjalan di kawasan ketibaan di Lapangan Terbang Changi pada 16 Mac 2020. (Gambar: Roslan RAHMAN/AFP)

Belanjawan COVID-19: Lebih $1 bilion bagi sektor penerbangan, pelancongan & lain-lain

SINGAPURA: Lebih S$1 bilion akan diperuntukkan bagi sektor-sektor yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19. Ini termasuk bagi sektor penerbangan dan pelancongan.

Sebahagian besar peruntukan, bernilai lebih S$750 juta, akan disalurkan kepada dua skim bagi sektor penerbangan, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Berucap di Parlimen hari ini (26 Mac), beliau berkata COVID-19 adalah "kejutan terbesar" yang pernah dialami hab dan syarikat-syarikat penerbangan merata dunia.

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan Hab Udara Changi sebagai "tunjang penting" ekonomi Singapura, dan menarik perhatian ia menyumbang lebih 5 peratus kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura, selain menggajikan sekitar 192,000 pekerja.

"Hab udara menyokong sektor-sektor ekonomi lain seperti pelancongan, pengilangan dan logistik dan menjadi pangkalan syarikat-syarikat aeroangkasa seperti Rolls Royce dan Airbus di sini," katanya.

Sektor penerbangan Singapura mempunyai "keterkaitan ketara" dengan komponen-komponen lain dalam ekonominya.

"Jika ia runtuh dalam satu-satu krisis, amat sukar bagi industri-industri penerbangan untuk kembali seperti sedia kala selepas krisis berakhir, dan pemulihan sektor lain dalam ekonomi akan terhambat," tambah Encik Heng.

"Maka itu kita harus memastikan gangguan sementara terhadap hab penerbangan kita tidak menjadi kekal."

Encik Heng menarik perhatian, Singapore Airlines (SIA) - yang mengumumkan penggantungan penerbangan selain mengurangkan 96 peratus kapasitinya - sudah meminta agar dagangan saham syarikat penerbangan itu dihentikan pada Khamis (26 Mac), sambil menambah beliau sudah dimaklumkan bahawa SIA sedang menimbangkan satu "tindakan korporat" yang disokong oleh pelabur negara Temasek Holdings.

DPM Heng yang mengalu-alukan langkah oleh Temasek untuk menyokong SIA itu, berkata syarikat penerbangan itu adalah 'aset strategik" Singapura.

"Menerusi sokongan Pemerintah bagi sektor penerbangan dan, jika perlu, langkah-langkah sokongan secara langsung, kami akan memastikan SIA boleh bangkit semula dalam keadaan baik," kata beliau.

"Yang utama, ini adalah tentang memelihara status hab udara kita supaya ia boleh bangkit lebih teguh daripada krisis ini."

SKIM SOKONGAN PEKERJAAN DIPERTINGKAT

DPM Heng berkata satu skim sokongan pekerjaan yang dipertingkat akan diperkenalkan untuk membantu perniagaan-perniagaan dalam sektor penerbangan mengekalkan pekerja tempatan.

"Bagi setiap pekerja tempatan yang masih bekerja, pemerintah akan membiayai 75 peratus dari S$4,600 gaji bulanan pertama mereka," kata beliau, sambil berkata ini akan dibayar dalam bulan yang sama dengan bayaran skim utama sokongan pekerjaan.

DPM Heng berkata skim yang dipertingkat itu menelan belanja lebih $400 juta.

Secara berasingan, pakej sokongan penerbangan bernilai S$350 juta akan diperkenalkan untuk membiayai langkah-langkah seperti caj pendaratan dan tempat meletak pesawat serta bantuan sewa bagi syarikat-syarikat penerbangan, kakitangan dan ejen kargo.

"Ini juga membolehkan Singapura mengekalkan ketersambungan minimum dengan dunia, meskipun semasa pandemik. Langkah ini penting untuk membolehkan rakyat Singapura di luar negara untuk pulang dan memastikan bekalan barangan asas kita terbuka," kata beliau.

DPM Heng juga berkata industri-industri berkaitan pelancongan, termasuk hotel, tempat-tempat daya tarikan, ejen pelancongan dan syarikat bas - berdepan "kesukaran" disebabkan COVID-19.

"Oleh itu, saya akan mempertingkat skim sokongan pekerjaan bagi hotel-hotel berlesen, agensi-agensi pelancongan, tempat-tempat daya tarikan pelancong, terminal dan pengendali kapal pesiaran serta pengendali lokasi MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran). Mereka akan mendapat lebih banyak bantuan dengan 75 peratus dari gaji sebanyak $4,600 gaji pertama bulanan disokong," kata beliau.

DPM Heng menambah bahawa $90 juta lagi akan diperuntukkan untuk membantu industri pelancongan bangkit semula lebih kukuh, "bila masanya sudah tiba".

DPM Heng juga mengumumkan langkah-langkah untuk membantu sektor-sektor lain, yang lazimnya melibatkan "begitu banyak interaksi antara manusia", yang terjejas disebabkan jarak selamat untuk mengawal penularan COVID-19.

SEKTOR-SEKTOR LAIN

Beliau berkata, skim sokongan pekerjaan bagi firma makanan dan minuman juga akan dipertingkat, dengan 50 peratus dari S$4,600 gaji pertama bulanan disokong.

Pakej sokongan bagi para pemandu teksi dan kereta sewa juga akan dipertingkat, dengan lagi $95 juta ditambah selain $77 juta yang diumumkan sebelum ini.

DPM Heng juga mengumumkan dana bantuan khas sebanyak $300 bagi setiap kenderaan sebulan bagi pemandu teksi dan kereta sewa. Dana yang pada awalnya tamat tempoh pada hujung bulan April dilanjutkan hingga hujung September.

Sokongan juga akan diberikan kepada pengendali syarikat teksi dan kereta sewa, kata beliau.

"Untuk membantu pengendali bas privet, saya akan memperuntukkan rebat cukai jalan setahun dan pengecualian caj tempat letak kenderaan selama enam bulan di tempat-tempat meletak kenderaan yang dikendalikan pemerintah," kata beliau, sambil menambah ini akan menelan belanja $23 juta.

Satu lagi tambahan $55 juta pula akan diperuntukkan bagi sektor seni dan budaya, kata DPM Heng, sambil menambah ini akan membantu menyelamatkan pekerjaan dan menyokong peningkatan kemahiran dan pendigitalan sektor tersebut.

Bantuan itu menyediakan sokongan tambahan kepada syarikat-syarikat dan kumpulan-kumpulan utama seni, yang disifatkan oleh DPM Heng sebagai "penting bagi industri seni kita."

Ini akan membantu melindungi pekerjaan dan mengekalkan keupayaan dalam sektor seni, kata beliau.

Sementara itu, skim pembangunan keupayaan Majlis Seni Kebangsaan bagi kesenian akan dipertingkat, untuk "memperdalam kemahiran dan menyokong pembangunan profesional pertubuhan-pertubuhan seni dan pengamalnya," kata beliau.

Usaha-usaha pendigitalan bagi seni juga akan dipertingkat dengan "membangunkan keupayaan digital sektor itu serta menubuhkan lebih banyak wadah seni digital yang boleh menarik penonton baru," menurut DPM Heng. Beliau menambah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia akan menyediakan lebih banyak perinciannya.


- BERITAmediacorp/NK/nk

Top