Virus Korona

Images
  • cleaner
    (Gambar hiasan: Roslan Rahman/ AFP)

Belanjawan COVID-19: Bantuan bagi pekerja bergaji rendah, menganggur

SINGAPURA: Lebih banyak bantuan kewangan akan diberikan kepada pekerja bergaji rendah dan mereka yang menganggur disebabkan penularan virus korona COVID-19 yang menjejas perniagaan dan para majikan di merata Singapura.

"Cara terbaik untuk melindungi kesejahteraan rakyat kita adalah dengan menyokong mereka supaya kekal bekerja," kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Parlimen hari ini (26 Mac).

"Sedang kesan COVID-19 ke atas ekonomi kita semakin teruk, sebahagian pekerja kita akan hilang pekerjaan atau ada yang pendapatan mereka berkurangan dengan banyak. Kami akan membantu mereka."

BANTUAN BAGI YANG MENGANGGUR

Antara bulan Mei dengan September tahun ini, pekerja bergaji rendah dan pertengahan yang hilang pekerjaan boleh menerima geran $800 sebulan selama tiga bulan sementara mereka mencari kerja baru atau mendapatkan latihan di bawah Geran Sokongan COVID-19.

Bagi mereka yang layak antara syaratnya ialah pendapatan per kapita keluarga tidak harus melebihi S$3,100 sebulan atau tinggal di rumah dengan nilai tahunan S$21,000 atau lebih.

Mereka boleh membuat permohonan di pejabat perkhidmatan sosial (SSO) terdekat mereka.

Penduduk yang terdesak dan memerlukan bantuan lebih segera boleh memanfaatkan Dana Bantuan Sementara yang dapat mereka akses melalui SSO dan pusat masyarakat pada bulan April.

Untuk layak bagi skim ComCare - program kebajikan pemerintah yang memberi bantuan kepada mereka yang mengalami kesulitan kewangan - kelonggaran akan diberikan untuk memastikan warga Singapura mendapat bantuan.

Sebanyak S$145 juta diperuntukkan untuk membantu mereka yang tidak bekerja ini.

BANTUAN UNTUK KELUARGA

Pakej Bantuan Keluarga, yang pada asalnya bernilai S$1.6 bilion, kini dinaikkan hampir tiga kali ganda kepada S$4.6 bilion.

Encik Heng berkata: "Ramai rakyat Singapura prihatin bimbang tentang bagaimana mereka dapat membayar bil dan perbelanjaan keluarga jika mata pencarian mereka terjejas semasa tempoh yang tidak menentu ini.

"Kami akan memberi mereka lebih banyak wang tunai untuk membantu mengharungi masa sukar sekarang."

Dengan peruntukan tambahan itu,pemberian tunai untuk semua warga Singapura dewasa kini tiga kali ganda antara S$300 hingga S$900, bergantung pada pendapatan mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak warga Singapura berusia 20 tahun ke bawah, setiap seorang akan menerima S$300, daripada S$100 sekarang.

Tokokan kad PAssion sebanyak S$100 bagi penduduk Singapura berusia 50 tahun ke atas akan dimasukkan ke dalam akaun bank mereka, untuk mengelakkan pelu beratur di stesen tokokan, kata DPM Heng.

Wang tersebut akan diagihkan antara Ogos dan September ini.
Bagi membantu rakyat yang memerlukan menampung perbelanjaan harian mereka, golongan itu akan menerima baucar barang dapur bernilai S$300 tambahan tiga kali ganda.

Bersama-sama dengan baucar S$100 yang akan diberikan kepada mereka tahun depan, mereka akan menerima baucar bernilai S$400 sepanjang 2020 dan 2021.

Encik Heng berkata pemerintah akan juga bekerjasama
dengan masyarakat untuk memperkuat rangkaian sokongan dalam masyarakat.

Geran yang diberikan kepada kumpulan bantu diri dan majlis-majlis pembangunan masyarakat (CDC), yang mempunyai skim bantuan mereka sendiri, akan ditambah. Kumpulan-kumpulan bantu diri akan menerima geran S$20 juta selama dua tahun.

CDC pula akan menerima S$75 juta tahun ini, S$ 50 juta lebih tinggi daripada jumlah asal yang diumumkan.

YURAN, HUTANG DIBEKUKAN

Semua yuran dan bayaran perkhidmatan pemerintah akan dibekukan selama setahun, mulai 1 Apr hingga 31 Mac, 2021, kata Encik Heng.

Bayaran balik pinjaman siswazah dan faedah akan digantung selama setahun antara 1 Jun dan 31 Mei 2021, untuk membantu siswazah yang bimbang mereka perlu membayar pinjaman sementara mencari pekerjaan dalam iklim ekonomi yang muram sekarang, kata DPM Heng.

Caj lewat bayaran pada tunggakan gadai janji HDB juga akan digantung selama tiga bulan, untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dengan pembayaran gadai janji semasa tempoh sukar sekarang, katanya.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan akan terus memberi kelonggaran apabila memberikan bantuan melalui langkah-langkah sedia ada seperti menangguhkan bayaran ansuran pinjaman selama enam bulan, kata Encik Heng.

SOKONGAN UNTUK PEKERJA BERGAJI RENDAH, BEKERJA SENDIRI

Pekerja yang menerima bayaran Daya Kerja (Workfare) akan menerima bayaran lebih tinggi di bawah skim Bayaran Khas Daya Kerja yang diumumkan pada Belanjawan tahun ini.

Mereka pada asalnya akan menerima bayaran sekali sahaja sebanyak 20 peratus daripada bayaran daya kerja mereka dalam tahun 2019, dengan bayaran minimum S$100.

Mereka sekarang akan menerima S$3,000 secara tunai.

Encik Heng menegaskan pergerakan buruh juga membantu pekerja, termasuk pekerja bebas.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) mengumumkan minggu lalu bahawa ia akan mengetepikan S$25 juta untuk menyediakan bantuan sekali sahaja sehingga S$300 kepada anggotanya yang bergaji rendah dan pertengahan.

NTUC juga menokok skim sokongan latihan yang ditawarkan kepada mereka yang bekerja sendiri, yang kini diberi S$10 setiap jam - sebanyak S$4 juta, dengan memberikan anggota kesatuan elaun latihan tambahan sehingga S$1 sejam.

"Kami akan melindungi pekerjaan, sokong pekerja kami, dan melindungi mata pencarian mereka," kata Encik Heng sambil menyenaraikan pelbagai inisiatif dalam ucapannya.

"Kami akan terus mengawasi keadaan dengan teliti, dan bersedia mengambil tindakan segera untuk melakukan lebih lagi jika perlu." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/NK/nk

Top