Skip to main content

Iklan

Iklan

Bekalan makanan laut beku lebih dari mencukupi, Grace Fu gesa luaskan pilihan

Bekalan makanan laut beku di Singapura lebih daripada mencukupi, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Rabu (21 Jul) sambil menggesa para pelanggan untuk meluaskan lagi pilihan mereka menyusuli gangguan di Pelabuhan Perikanan Jurong.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan makanan laut beku lebih dari mencukupi, Grace Fu gesa luaskan pilihan

Cik Grace Fu menjamin makanan laut beku lebih daripada mencukupi. (Gambar: MSE)

Diterbitkan : 22 Jul 2021 12:11AM Dikemas Kini : 22 Jul 2021 12:17AM

SINGAPURA: Bekalan makanan laut beku di Singapura lebih daripada mencukupi, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Rabu (21 Jul) sambil menggesa para pelanggan untuk meluaskan lagi pilihan mereka menyusuli gangguan di Pelabuhan Perikanan Jurong.

Penutupan pelabuhan itu selepas dikenal pasti sebagai kelompok COVID-19 menyebabkan gangguan jangka pendek kepada bekalan makanan laut beku.

"Namun, kami mempunyai bekalan makanan laut yang lebih daripada mencukupi," jamin Cik Fu.

"Oleh itu, saya menggesa orang ramai supaya meluaskan lagi pilihan mereka termasuk di mana anda membeli makanan laut agar kita mempunyai bekalan yang mencukupi untuk semua rakyat Singapura."

Bercakap selepas mengadakan lawatan ke Tempat Penyimpanan Sejuk Jurong, Cik Fu berkata bahawa Agensi Makanan Singapura (SFA) sudahpun bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk memastikan bekalan-bekalan alternatif dibawa masuk melalui darat dan udara.

Pihak berkuasa juga sedang menimbangkan pusat-pusat pengagihan alternatif, dedah Cik Fu.

"Rantaian pasar raya utama sudahpun menambah bekalan dan tempahan untuk memastikan terdapat bekalan mencukupi di cawangan-cawangannya," tambah beliau.

LANGKAH KESEMALATAN PELABUHAN DISEMAK

Kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong adalah kelompok COVID-19 aktif terbesar di Singapura. Penutupan dua minggu, hingga 31 Julai mengganggu rantaian bekalan selain menjejas para pemborong kepada penjual di pasar basah yang bergantung kepada pelabuhan itu untuk mendapatkan bekalan makanan laut.

Kelompok JFP (Pelabuhan Perikanan Jurong) adalah perkara yang menjadi keprihatinan serius kepada kami. Ia menjejas rantaian bekalan kita dan kami mahu menyemak bagaimana penularan berlaku dengan bekerjasama MOH (Kementerian Kesihatan)," kata Cik Fu.

Pihak berkuasa juga akan menyemak langkah-langkah pengurusan selamat di pelabuhan itu serta memantau rakaman televisyen litar tertutup untuk memastikan sebarang kelemahan dikesan dan ditangani sebelum pelabuhan dibuka semula, tambah beliau.

Akur bahawa kelompok itu bukan sahaja menjejas pekerja dan pedagang di pelabuhan itu, tetapi juga para pemilik gerai dan para pembantu di pusat penjaja dan pasar, Cik Fu menggesa mereka menjalani ujian COVID-19.

"Kami prihatin terhadap kesihatan dan keselamatan mereka serta mahu bekerjasama dengan MOH untuk memastikan mereka diuji. Oleh itu, kami menggesa kesemua pekerja dan para pembantu gerai serta pemilik gerai di pusat penjaja dan pasar kami untuk menjalani ujian," kata beliau.

"Semua pusat penjaja dan pasar harus diuji."

Cik Fu juga menggalak semua pemilik gerai di pusat penjaja dan pasar untuk mendapatkan vaksin, sambil menambah pihak berkuasa akan pergi dari satu pusat ke pusat yang lain untuk menggalak mereka melakukan sedemikian.

Setakat Selasa (20 Jul), kes COVID-19 dikesan di sekurang-kurangnya 35 pasar dan pusat penjaja yang dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan