Koronavirus

Images
  • abott panbio

Bekalan kit ujian kendiri COVID-19 'mencukupi'; pengagihan dipercepat

SINGAPURA: Para pembekal kit ujian kendiri COVID-19 sedang bekerjasama dengan peruncit untuk memastikan terdapat cukup kit ujian COVID-19 sedang permintaan semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menurut mereka.

Pengarah Urusan SPD Scientific Jes Lim pada Rabu (22 Sep) berkata meskipun permintaan melonjak beberapa kali ganda banyaknya, bekalan tetap diisi semula.

Syarikat itu mengimport dan mengagihkan kit ujian pantas antigen (ART) SD Biosensor yang dihasilkan di Korea Selatan.

"Kami mempunyai penghantaran setiap minggu ... ia amat kerap dan bekalannya stabil," kata Cik Lim sambil manambah bahawa syarikat itu giat bekerjasama dengan pengeluar produk untuk memenuhi permintaan semakin meningkat di Singapura.

Menurut laporan media pada 19 September kit ujian pantas antigen COVID-19 sudah habis dijual di beberapa pasar raya runcit, farmasi dan kedai serbaguna.

Watson dan Guardian menyatakan permintaan naik sekitar lima kali ganda sejak minggu-minggu kebelakangan ini.

"Kami masih lagi membawa masuk bekalan tetapi stok yang kami bawa masuk dengan cepatnya habis dijual. Kami sedang bekerja dengan pembekal untuk menokok bekalan dan meneroka alternatif lain untuk menambah bekalan kami sekarang ini," kongsi seorang jurucakap Watsons.

Guardian pula menyatakan bekalannya akan tiba minggu ini dan pada minggu depan dan akan terdapat kit ujian yang mencukupi, tetapi jenama kit ujian mungkin berbeza di cawangan-cawangannya.

Pemintaan bagi kit sedemikian kian meningkat selepas pemerintah mengumumkan lebih banyak ujian dalam masyarakat bagi membantu mengesan kes COVID-19.

Mereka yang merupakan kontak rapat kes COVID-19 dikehendaki melakukan ujian kendiri ART sepanjang tempoh kuarantin 10 hari.

Lebih ramai pekerja juga dikehendaki menjalani ujian rutin berjadual (RRT) sekali seminggu di sektor-sektor yang mempunyai interaksi kerap dalam masyarakat, termasuk makanan dan minuman, khidmat jagaan peribadi, studio kecergasan, runcit, penghantaran dan pekerja pengangkutan.

Bagi syarikat yang tidak diwajibkan melakukan ujian sedemikian, akan diberi lapan kit ART bagi setiap pekerja untuk memudahkan ujian kakitangan setiap minggu selama dua bulan.

Mesin layan diri juga diletakkan di merata negara bagi mereka yang menerima amaran dan pemberitahuan risko kesihatan untuk mengambil kit ujian kendiri ART. Semua isi rumah juga diberi kit ujian kendiri COVID-19.

Pengarah Unison Collaborative Wayne Yap berkata kit ujian kendiri Abbott yang dijual syarikatnya dibeli oleh syarikat-syarikat dan penjualan amat laris di platform e-dagang, farmasi dan pasar raya.

"Kami sedang memantau dengan teliti permintaan dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan - farmasi, peruncit, pembekal - untuk memastikan bekalan ujian pantas kendiri antigen Panbio Abbott di Singapura berjalan lancar dan berterusan," jamin beliau.

Salah satu jenama yang sudah habis dijual adalah dari Quidel Quickvue. Pengedarnya, Quantum SG memberitahu Mediacorp bahawa syarikat itu sudah kehabisan bekalan "buat masa ini" dan sedang mengambil tempahan awal. Ia menjangkakan masa penghantaran adalah dalam sekitar empat minggu.

Cik Lim dari SPD Scientific berkata beliau bimbang pelanggan mungkin membeli secara lambak kit-kit ujian itu kerana khuatir bekalannya terhad.

"Ada cukup bekalan untuk semua orang, cuma sekarang kita perlu mengagihnya ke setiap pelusuk Singapura," jelas beliau. "Pengagihan ke farmasi lebih kerap untuk memenuhi keperluan," tambah Cik Lim.  

- CNA/SM/sm

Top