Skip to main content

Iklan

Iklan

Bazar Ramadan tidak sesuai ketika ini, kata Sultan Johor

 Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini (2 April) berkata penganjuran Bazar Ramadan adalah tidak sesuai menyusuli penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Bazar Ramadan tidak sesuai ketika ini, kata Sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. (Gambar: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/Facebook)

Diterbitkan : 02 Apr 2020 04:17PM Dikemas Kini : 02 Apr 2020 04:21PM

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini (2 April) berkata penganjuran Bazar Ramadan adalah tidak sesuai menyusuli penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Beliau menegaskan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhannya, justeru penganjuran bazar Ramadan tidak wajar diadakan.

“Kes positif COVID-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan bazar Ramadan bukan sahaja di sini, malah di tempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.

“Lupakan bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” kata Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menggesa masyarakat supaya jangan memandang ringan terhadap arahan serta nasihat pihak berkuasa.

“Anda lihat sendiri bagaimana para petugas perubatan bersama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini.

“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” katanya lagi. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan