Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi terpisah dek penutupan sempadan Thailand-Malaysia bakal pulang ke pangkuan keluarga 1 Ogos

Bayi lelaki yang terpisah selama lima bulan daripada ibu bapanya warga Thailand akibat pandemik COVID-19 dan penutupan sempadan Thailand-Malaysia, dijangka pulang ke pangkuan keluarga di Pattani selatan Thailand pada Sabtu ini (1 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi terpisah dek penutupan sempadan Thailand-Malaysia bakal pulang ke pangkuan keluarga 1 Ogos

Gambar hiasan bayi.

Diterbitkan : 31 Jul 2020 08:29AM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 08:32AM

PATTANI: Bayi lelaki yang terpisah selama lima bulan daripada ibu bapanya warga Thailand akibat pandemik COVID-19 dan penutupan sempadan Thailand-Malaysia, dijangka pulang ke pangkuan keluarga di Pattani selatan Thailand pada Sabtu ini (1 Ogos).

Anak bongsu pasangan Nurhalisa Jehawae, 18, dan suaminya, Muhammad Tifyoleah, 28, yang berasal dari Pattani, dilahirkan ketika kandungan ibunya berusia tujuh bulan di Hospital Kajang, Selangor, Malaysia pada 27 Feb lalu.

Pasangan itu terpaksa meninggalkan bayi tersebut, yang perlu ditempatkan di hospital untuk pemantauan doktor, bagi memperbaharui visa mereka yang tamat tempoh pada 18 Mac.

Berikutan pandemik COVID-19 dan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand, pasangan itu tidak dapat masuk semula ke Malaysia untuk mengambil anak mereka yang berada di Hospital Kajang.

Nurhalisa, seorang pembantu kedai makan di Kajang, mendakwa mereka telah terputus hubungan dengan pihak hospital apabila nombor telefon hospital hilang.

Pasangan itu hanya mengetahui keadaan anak bongsu mereka selepas dihubungi pihak kedutaan.

Melalui bantuan dan derma orang ramai, pasangan itu berjaya mengumpul wang untuk membayar bil hospital termasuk kos bersalin yang berjumlah hampir RM30,000 (S$10,000).

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) Laksamana Muda Somkiart Polprayoon berkata Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur sedang membuat persediaan untuk membawa pulang bayi lelaki yang terpisah daripada keluarganya. 

“Proses pendaftaran sudah selesai semalam. Bil hospital akan dilunaskan. Bayi itu akan dihantar ke sempadan Thailand-Malaysia dengan sebuah ambulans yang disewa khas. Pasukan perubatan hospital akan bersama bayi itu. 

“Bayi itu dijangka tiba Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla pada Sabtu ini dan akan diserahkan kepada ibu bapanya,” katanya.

Beliau berkata bayi itu dan ibunya  akan dibawa ke Hospital Pattani untuk menjalani kuarantin wajib.

Nurhalisa mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan untuk membawa pulang bayi lelakinya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan