Skip to main content

Iklan

Iklan

Bagaimana cawangan F&B, pasar dan pembekal makanan kini akan beroperasi

Pemerintah meningkatkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 pada Jumaat (3 Apr) ditengah-tengah kebimbangan jangkitan yang kian meningkat, termasuk menutup tempat kerja selama sebulan kecuali yang menawarkan khidmat penting. Ini termasuk barangan kesihatan dan makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bagaimana cawangan F&B, pasar dan pembekal makanan kini akan beroperasi

(Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 03 Apr 2020 11:05PM Dikemas Kini : 03 Apr 2020 11:10PM

SINGAPURA: Pemerintah meningkatkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 pada Jumaat (3 Apr) ditengah-tengah kebimbangan jangkitan yang kian meningkat, termasuk menutup tempat kerja selama sebulan kecuali yang menawarkan khidmat penting. Ini termasuk barangan kesihatan dan makanan.

Berikut adalah garis panduan operasi bagi cawangan F&B, kedai makanan dan pembekal makanan di Singapura mulai 7 Apr hingga 4 Mei:

CAWANGAN MAKANAN DAN MINUMAN

Cawangan F&B termasuk restoran, pusat penjaja makanan, kedai kopi dan kedai makanan akan dibenarkan dibuka. Bagaimanapun, kedai-kedai tersebut mesti mematuhi langkah jarak selamat seperti memastikan para pelanggan berdiri atau duduk berjauhan 1 meter antara satu sama lain.

Para pelanggan kini tidak dibenarkan makan di tempat-tempat demikian. Sebaliknya, mereka hanya boleh memesan makanan mereka untuk dibawa pulang dan dimakan di rumah. Mereka juga boleh memesan makanan untuk dihantar ke rumah masing-masing, termasuk menerusi platform penghantaran pihak ketiga.

Semasa sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian mengenai COVID-19 pada Jumaat, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing meminta rakyat Singapura membawa bekas sendiri untuk membungkus makanan bagi membantu kedai makanan menjimatkan bahan bungkusan agar lebih mesra alam.

Dalam satu kenyataan media berasingan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan itu menambah bahawa para pelanggan yang memasuki restoran untuk memesan makanan untuk dibungkus tidak sepatutnya makan atau minum di premis restoran itu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga mengeluarkan kenyataan media pada malam Jumaat, menekankan bahawa "tiada pengambilan sebarang makanan atau minuman di kawasan tempat makan di pusat penjaja semasa tempoh ini".

Notis-notis akan dipamerkan di pusat penjaja untuk membimbing para pelanggan mengenai sekatan tersebut, menurut agensi itu, sambil menambah bahawa duta SG Clean dan para relawan akan dikerah.

KEDAI MAKANAN

Cawangan kedai, pasar raya, kedai barangan dapur dan buah-buahan, serta pasar basah dan pasar borong juga dibenarkan terus dibuka.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing menekankan bahawa tiada sebab untuk orang ramai bergegas ke pasar raya untuk menyimpan stok makanan.

Awal pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice, Seah Kian Peng, mengingatkan para pelanggan bahawa semua cawangan FaiPrice akan tetap dibuka "tidak kira apa yang berlaku" dan menggesa mereka terus bersabar.

Ini setelah cawangan FairPrice melaporkan kemunculan lebih ramai orang di cawangannya dan juga lebih banyak pembelian (pada Jumaat).

NEA juga menyatakan bahawa orang awam patut terus membeli barangan segar dan barangan dapur "dengan cara bertanggungjawab dengan membeli apa yang mereka dan keluarga perlukan".

PEMBEKAL MAKANAN

Pembekal-pembekal makanan termasuk kemudahan yang membuat makanan dan bahan makanan, kemudahan pengilangan, syarikat memproses makanan, pusat-pusat penyembelihan, katerer, pengimport dan pedagang, serta kawasan makanan logistik seperti gudang.

Perniagaan sedemikian boleh terus dibuka semasa tempoh ini.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan