Virus Korona

Images
  • zaqy parlimen

Badan-badan masyarakat sediakan saluran bantuan untuk golongan mencari kerja: Zaqy

SINGAPURA: Di tengah-tengah penularan COVID-19, masyarakat Melayu setempat boleh mendapatkan bantuan daripada badan-badan bantu diri seperti rangkaian M³ dan Mendaki SENSE untuk memudahkan pencarian pekerjaan.

Butir-butir bantuan bagi perusahaan Melayu turut didedahkan Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad semasa memberi ucapannya di parlimen pada Selasa (7 Apr).

"Baru-baru ini Mendaki SENSE telah melancarkan talian bantuan khusus untuk mereka yang memerlukan bantuan dalam menggunakan portal dalam talian. Mendaki SENSE juga akan membantu mereka untuk mencari pekerjaan melalui aplikasi cari kerja dan akan terus mengongsi maklumat tentang jawatan kosong dan pelbagai inisiatif termasuk inisiatif pekerjaan SG United.

"Badan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) juga menubuhkan talian hotline bagi anggota yang ingin mendapatkan bantuan khusus dan akan menganjurkan sesi perbincangan untuk memahami kebimbangan para anggota serta meneroka cara terbaik untuk DPPMS membantu anggota-anggotanya, kata Encik Zaqy.

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut memuji langkah-langkah badan-badan Melayu/Islam dalam menghulurkan sokongan tambahan kepada masyarakat yang memerlukan dalam mengharungi wabak COVID-19.

"Saya amat gembira AMP telah mengumumkan Pakej Bantuan Sementara ataupun Tap 2.0 berjumlah S$100 ribu untuk membantu para pekerja yang pendapatan keluarga mereka terjejas oleh COVID-19. Satu lagi badan Melayu-Islam yang telah tampil menyumbang adalah Persatuan Pemudi Islam Singapura iaitu PPIS. PPIS akan menubuhkan Dana Win PPIS untuk golongan wanita yang memerlukan dana yang telah meninggalkan pekerjaan mereka untuk menjaga ibu bapa yang lanjut usia atau anak-anak dalam keadaan COVID-19.

"Dana Rahmatan Lil Alamin juga telah bekerjasama dengan masjid-masjid untuk mengumpul lebih daripada $150,000 bagi Dana Ketabahan," tambah Dr Faishal. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- BERITAmediacorp/SY/ha

Top