Skip to main content

Iklan

Iklan

Australia sekat kemasukan pelawat dari selatan Afrika

Negara-negara tersebut adalah Afrika Selatan, Namibia, Zimbabwe, Botswana, Lesotho, Eswatini, Seychelles, Malawi dan Mozambique.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia sekat kemasukan pelawat dari selatan Afrika

(Gambar: Patrick T. FALLON / AFP)

Diterbitkan : 27 Nov 2021 02:00PM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 02:05PM

MELBOURNE: Australia mengenakan sekatan-sekatan baru hari ini (27 Nov) ke atas individu-individu yang sudah mengunjungi sembilan negara di bahagian selatan benua Afrika, sedang varian baru COVID-19, Omicron mencetuskan kebimbangan terhadap satu lagi gelombang pandemik.

Negara-negara tersebut adalah Afrika Selatan, Namibia, Zimbabwe, Botswana, Lesotho, Eswatini, Seychelles, Malawi dan Mozambique.

Berkuat kuasa serta-merta, pemerintah akan melarang individu bukan penduduk yang sudah mengunjungi negara-negara tersebut daripada memasuki Australia manakala rakyat Australia dan tanggungan mereka yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin di bawah penyeliaan selama 14 hari, menurut Menteri Kesihatan Greg Hunt, seperti yang dilaporkan Reuters.

Sekatan-sekatan itu juga akan dikuatkuasakan terhadap individu-individu seperti penuntut antarabangsa dan pekerja hijrahan berkemahiran yang tiba dari negara-negara yang mempunyai aturan perjalanan khas dengan Australia, yang mengunjungi kesemua sembilan negara itu dalam tempoh 14 hari.

"Jika bukti perubatan menunjukkan tindakan lanjut diperlukan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambilnya. Dan itu mungkin melibatkan langkah memperkukuh dan memperluas sekatan," kata beliau.

Sesiapa yang sudah tiba di Australia dan sudah mengunjungi mana-mana sembilan negara itu dalam tempoh 14 hari sebelum itu mesti segera mengasingkan diri dan menjalani ujian.

Pemerintah Australia juga akan menggantung semua penerbangan dari sembilan negara Afrika itu selama dua minggu, menurut laporan Reuters.

Dua puluh pelawat dari Afrika Selatan kini sedang dikuarantin di kemudahan Howard Springs di Northern Territory, dengan 19 daripada mereka sudah menunjukkan hasil negatif ujian koronavirus. Bagaimanapun, masih tidak diketahui sama ada satu kes positif itu disebabkan oleh varian Omicron, kata Encik Hunt.

Penemuan varian baru itu - yang mengandungi protein pepaku yang jauh berbeza daripada yang digunakan dalam vaksin-vaksin sedia ada - mencetuskan kebimbangan sejagat sedang negara-negara bergegas menggantung perjalanan dari selatan Afrika dan pasaran saham mengalami kemerosotan paling teruk dalam tempoh lebih setahun, lapor Reuters.

Awal bulan ini, Australia melonggarkan sekatan sempadan buat pertama kali sepanjang tempoh pandemik sekali gus membolehkan penduduk yang lengkap divaksin untuk pulang ke negara itu tanpa menjalani kuarantin selepas melaporkan kadar vaksinasi yang tinggi.

Australia sebahagian besar tahun ini berhasil membendung penularan jangkitan sehingga penularan varian lebih mudah berjangkit, iaitu Delta, pada hujung Jun yang merebak dengan pantas ke bahagian timur.

Sekitar 205,000 kes dan 1,985 kematian dicatatkan di negara tersebut sejauh ini, lebih rendah berbanding kebanyakan negara maju yang lain. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan