Skip to main content

Iklan

Iklan

Australia sedia buka semula sempadan antarabangsa untuk pelawat divaksin

Perjalanan bebas kuarantin dari New Zealand ke Australia akan disambung semula mulai esok (1 Nov), menurut Menteri Pelancongan Australia hari ini (31 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
Australia sedia buka semula sempadan antarabangsa untuk pelawat divaksin

Satu papan tanda diletakkan di dewan ketibaan di lapangan terbang antarabangsa di Sydney pada 15 Okt 2021. (Gambar: David Gray/AFP)

Diterbitkan : 31 Oct 2021 02:45PM Dikemas Kini : 31 Oct 2021 02:46PM

MELBOURNE: Perjalanan bebas kuarantin dari New Zealand ke Australia akan disambung semula mulai esok (1 Nov), menurut Menteri Pelancongan Australia hari ini (31 Okt).

Ini sedang negara itu bersiap sedia bagi separa pembukaan semula sempadan antarabangsa buat kali pertama sejak Mac 2020.

Rakyat dan penduduk tetap Australia yang sudah divaksin, yang menetap di New South Wales, Victoria dan ibu kota Canberra, akan bebas untuk melakukan perjalanan udara antarabangsa mulai Isnin tanpa memerlukan pengecualian atau menjalani kuarantin sejurus pulang ke tanah air.

Sekalipun demikian, buat masa sekarang hanya pelancong dari negara jiran New Zealand akan dibenarkan ke Australia, jika mereka sudah divaksin.

Australia menutup sempadannya sejak awal pandemik melanda dengan membenarkan hanya bilangan terhad rakyat dan penduduk tetap untuk kembali ke tanah air dari luar negara. Mereka dikenakan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari di sebuah hotel yang perlu dibiaya sendiri.

Lebih 80 peratus penduduk berusia 16 tahun dan ke atas di New South Wales, Victoria dan Canberra sudah lengkap divaksin - iaitu satu syarat bagi menyambung semula perjalanan antarabangsa. Ini bermakna sekitar 14 juta warga Australia akan bebas untuk meninggalkan atau memasuki semula negara jika mereka sudah divaksin sepenuhnya.

Meskipun syarikat penerbangan dan agensi pelancongan melaporkan "permintaan tinggi" untuk perkhidmatannya, hanya 23 peratus rakyat Australia berasa yakin untuk membuat rancangan perjalanan ke luar negara pada tahun hadapan. Demikian menurut satu tinjauan oleh kumpulan sokongan pengguna minggu lalu.

Terdapat lebih 1,200 kes baru dicatatkan di seluruh Australia hari ini (31 Okt), dengan 1,036 kes di Victoria dan 177 kes di New South Wales.

Selain itu, 13 kematian berkaitan COVID-19 juga dilaporkan.

Walaupun penularan Delta menyebabkan Sydney dan Melbourne menjalani perintah berkurung selama berbulan-bulan sehingga baru-baru ini, kes COVID-19 di Australia kekal jauh lebih rendah berbanding banyak negara yang setanding. Australia mencatatkan hanya lebih 170,500 kes jangkitan dan 1,735 kematian.

Hampir 77 peratus warga Australia sudahpun lengkap divaksin dan lebih 88 peratus sudah menerima suntikan dos pertama mereka.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan