Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AstraZeneca hantar vaksin COVID-19 ke Asia Tenggara mulai Julai ikut jadual

Syarikat farmaseutikal AstraZeneca menyatakan mereka kini sudah berada di landasan untuk memenuhi sasaran jadual penghantaran vaksin COVID-19 bagi Asia Tenggara.

Anggaran Waktu Membaca:
AstraZeneca hantar vaksin COVID-19 ke Asia Tenggara mulai Julai ikut jadual

Gambar: AFP

Diterbitkan : 29 Jun 2021 07:45AM Dikemas Kini : 29 Jun 2021 07:46AM

BANGKOK: Syarikat farmaseutikal AstraZeneca menyatakan mereka kini sudah berada di landasan untuk memenuhi sasaran jadual penghantaran vaksin COVID-19 bagi Asia Tenggara.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, kilang Siam Bioscience Co Ltd yang mengeluarkan vaksin berkenaan di Thailand akan menghasilkan kira-kira 180 juta dos tahun ini.

“Serentak dengan penghantaran bekalan vaksin tempatan, AstraZeneca akan mula mengeksport vaksin berkenaan ke negara Asia Tenggara pada awal Julai.

"Satu pertiga daripada kapasiti bekalan tempatan dikhaskan untuk kegunaan Thailand, berdasarkan pesanan pembekalan sebanyak 61 juta dos vaksin. Baki dua pertiga daripada kapasiti bekalan Thailand akan diagihkan ke rantau Asia Tenggara berdasarkan tempahan,” katanya.

AstraZeneca menyatakan Thailand akan menerima enam juta dos vaksin COVID-19 pada bulan ini.

Ia menyatakan sebanyak 4.7 juta dos vaksin sudah dihantar kepada Kementerian Kesihatan Awam Thailand dan selebihnya akan dihantar minggu ini.

Laporan pada awal bulan ini menyatakan beberapa negara termasuk Malaysia, Taiwan dan Filipina mendakwa mereka lewat menerima vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di Thailand.

Kempen vaksinasi Thailand yang bergantung kepada vaksin AstraZeneca turut mengalami kelewatan.

Sehingga Isnin (28 Jun), kira-kira 9.14 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dengan kira-kira 2.6 juta sudah menerima suntikan penuh.

Sementara itu, Presiden AstraZeneca Thailand, James Teague berkata beliau mahu melihat kadar vaksinasi bertambah rancak di seluruh negara.

"Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan Thailand, untuk mencapai liputan vaksinasi yang efektif di seluruh negara dan rantau ini secepat mungkin," katanya.

Pada Oktober 2020, AstraZeneca, Kementerian Kesihatan Awam, Siam Cement Group dan Siam Bioscience menandatangani perjanjian mengenai komitmen bersama untuk memastikan akses meluas dan saksama terhadap vaksin COVID-19 di Thailand dan di seluruh rantau ini.

AstraZeneca membekalkan vaksin COVID-19 ke seluruh dunia tanpa keuntungan semasa pandemik ini. Lebih 600 juta dos vaksin telah dikeluarkan untuk bekalan kepada 168 negara di seluruh dunia.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan