Skip to main content

Iklan

Iklan

AS sumbang bantuan tambahan COVID-19 bernilai RM3.3 juta kepada M'sia

Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini menyalurkan sumbangan tambahan COVID-19 sebanyak AS$800,000 (S$107,000) kepada Malaysia untuk membantu usaha negara itu memberi vaksin kepada golongan rentan dan masyarakat terpencil. 

Anggaran Waktu Membaca:
AS sumbang bantuan tambahan COVID-19 bernilai RM3.3 juta kepada M'sia

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 21 Oct 2021 04:27PM Dikemas Kini : 21 Oct 2021 04:29PM

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini menyalurkan sumbangan tambahan COVID-19 sebanyak AS$800,000 (S$107,000) kepada Malaysia untuk membantu usaha negara itu memberi vaksin kepada golongan rentan dan masyarakat terpencil. 

Bantuan itu juga akan digunakan bagi menyokong kemudahan kuarantin untuk komuniti berkenaan, melindungi Malaysia daripada SARS-CoV-2 dan membantu pemulihan ekonomi negara tersebut agar terus maju, menurut kenyataan Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada Khamis (21 Okt).

Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan menyalurkan bantuan itu di Malaysia, menurut kenyataan tersebut. 

Duta AS ke Malaysia Brian D. McFeeters mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BSMM Tunku Temenggong Kedah Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Setiausaha Agung Hakim Hamzah atas sokongan berterusan BSMM dalam usaha Malaysia memerangi COVID-19.

"Malaysia menjalankan tugas yang luar biasa untuk memberikan suntikan vaksin kepada penduduknya dan bantuan tambahan ini dapat meningkatkan lagi usaha membantu masyarakat rentan," kata Encik McFeeters.

Kenyataan itu turut memetik Cik Intan Safinaz sebagai berkata: "Ketika kita berlumba-lumba untuk membendung COVID-19, dana USAID ini sangat penting untuk usaha kita membantu melindungi rakyat daripada penyakit ini, terutama golongan paling rentan.

“Kita sudah berusaha keras hingga ke seluruh pelusuk negara dan kita mesti ingat, tiada siapa yang akan selamat selagi semua sudah selamat. COVID-19 tidak membezakan kaum, agama, etnik atau kewarganegaraan. Terima kasih kepada Duta McFeeters dan USAID kerana menyokong usaha BSMM."

Bantuan ini adalah tambahan kepada lebih AS$2 juta (S$2.6 juta) bantuan COVID-19 daripada AS kepada Malaysia sejak wabak COVID-19 mula melanda, menurut kenyataan itu.

Pada 5 Julai, AS menyumbang sejuta vaksin Pfizer kepada Malaysia selain turut menderma bekalan perubatan, kit ujian COVID-19, ambulans dan banyak lagi.

“AS komited untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menamatkan wabak COVID-19, menangani kesan buruk sosial dan ekonomi serta membina semula sebuah dunia yang lebih bersedia bagi menghadapi sebarang ancaman wabak pada masa depan."

Komuniti perniagaan di Malaysia, menerusi MYAMCHAMCares, turut memperuntukkan RM7 juta (S$2.2 juta) kepada usaha bantuan COVID-19 sejak 2020.

“Usaha ini terbina daripada kepemimpinan AS sejak berdekad lamanya dalam menerajui krisis kesihatan dunia dan menyelamat nyawa,” menurut kenyataan itu.

Sejak 60 tahun lalu, sumbangan AS sudah membantu untuk menyelamatkan berjuta-juta nyawa akibat pelbagai penyakit seperti Ebola, HIV/AIDS, batuk kering, malaria dan kini, COVID-19.  

Di Malaysia, USAID, Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) dan Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAD) membiayai pelbagai penyelidikan kritikal bagi membantu meramal serta mencegah penularan wabak sejak sedekad lalu.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan