Skip to main content

Iklan

Iklan

Arab Saudi benarkan orang ramai jalan-jalan di luar tanpa pelitup, jarak sosial

Arab Saudi akan membenarkan orang ramai berjalan-jalan di luar tanpa perlu memakai pelitup atau memastikan jarak sosial mulai Ahad (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi benarkan orang ramai jalan-jalan di luar tanpa pelitup, jarak sosial

Kawasan perniagaan Arab Saudi. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 09:29AM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 09:32AM

RIYADH: Arab Saudi akan membenarkan orang ramai berjalan-jalan di luar tanpa perlu memakai pelitup atau memastikan jarak sosial mulai Ahad (17 Okt).

Ia juga akan membuka Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kepada kapasiti penuh bagi para jemaah yang sudah lengkap divaksin.

Dewan persandingan, restoran dan pengangkutan awam juga akan dibenarkan untuk beroperasi pada kapasiti penuh bagi mereka yang lengkap divaksin tanpa perlu memastikan jarak fizikal.

Keputusan untuk melonggarkan keperlukan jarak sosial akan membolehkan cawangan-cawangan komersil untuk beroperasi pada kapasiti penuh.

Namun, orang ramai tetap perlu memakai pelitup sewaktu berada di tempat tertutup.

Demikian antara keputusan yang diluluskan oleh Pentadbir Kedua-dua Masjid Suci Raja Salman yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat sebagai sebahagian daripada pelonggaran lanjut sekatan COVID-19 yang dikuatkuasakan hampir 19 bulan yang lalu menyusuli penularan pandemik koronavirus pada Mac 2020, lapor Agensi Media Saudi.

Keputusan-keputusan yang diumumkan oleh kementerian itu adalah seperti berikut:

1. Tidak wajib untuk memakai pelitup di tempat terbuka, kecuali di sesetengah ruang. Namun, pelitup mesti dipakai di tempat tertutup.

2. Langkah-langkah waspada bagi mereka yang sudahpun menerima dua dos vaksin koronavirus akan dilonggarkan seperti berikut:

- Membolehkan penggunaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada kapasiti penuh tetapi memakai pelitup adalah wajib bagi para pekerja dan pelawat pada setiap masa di semua koridor masjid-masjid tersebut. Permit untuk melakukan Umrah atau solat di Masjidil Haram dan Raudhah di Masjid Nabawi akan terus diberikan melalui janji temu menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk mengawal jumlah jemaah.

- Membolehkan perhimpunan sosial di ruang awam pada kapasiti penuh serta di restoran, panggung wayang, pengangkutan awam dan sebagainya tanpa perlu memastikan jarak sosial.

- Membenarkan orang ramai menganjurkan atau menghadiri acara di dewan persandingan dan tempat lain tanpa sebarang sekatan jumlah hadirin tetapi perlu menekankan pelaksanaan langkah-langkah waspada memandangkan kesan serius daripada tingkah laku yang berhubung kait dengan acara sedemikian.

3. Imunisasi dengan dua dos vaksin diperlukan untuk memasuki kesemua kemudahan dan melakukan kegiatan yang disebutkan dalam perkara kedua, kecuali mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut mahupun mereka yang diberikan pengecualian, menurut maklumat yang tertera dalam aplikasi Tawakkalna. Mereka juga harus mematuhi kesemua langkah waspada termasuk memakai pelitup.

4. Menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup akan tetap dilaksanakan di lokasi-lokasi di mana pemeriksaan status kesihatan tidak dilakukan menerusi aplikasi Tawakkalna.

5. Penguasa Kesihatan Awam (Weqaya) ditugaskan untuk menyiapkan protokol pencegahan yang mesti dipatuhi ketika melakukan kesemua kegiatan yang disebutkan dalam perkara kedua.

6. Kesemua entiti awam dan swasta harus memeriksa status kesihatan imun menerusi aplikasi Tawakkalna bagi kesemua mereka yang mahu memasuki premisnya.

7. Pihak relevan mesti mengambil tindakan tegas terhadap para pesalah langkah waspada dan protokol pencegahan yang diumumkan sebelum ini oleh pihak berkuasa bagi menangani pandemik itu.

8. Kementerian Kesihatan akan memantau jumlah kes yang dimasukkan ke hospital disebabkan koronavirus, khususnya di unit jagaan rapi dan menyerahkan laporan kepada pihak berkuasa yang relevan sekiranya perlu mengetatkan langkah waspada di kawasan-kawasan di negara itu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan