Koronavirus

Images
  • cari kerja
    Aplikasi Cari Kerja boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Playstore.

App 'Cari Kerja' dilancar; tawarkan peluang kerja dekat rumah penduduk

BERITAMediacorp: Aplikasi 'Cari Kerja' dilancarkan pada Sabtu (11 Apr) bagi membantu para penduduk mencari pekerjaan dengan lebih mudah dan pantas di sekitar kawasan kejiranan masing-masing.

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat melancarkan aplikasi itu untuk para penduduk Toa Payoh East-Novena (TEN) menerusi persidangan video melalui wadah Zoom yang diadakan bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan pemimpin akar umbi, yang dimuatnaikkan ke laman Facebook beliau semalam.

Menurut Encik Saktiandi, sejak tercetusnya wabak COVID-19 di Singapura pada awal tahun ini, banyak pekerjaan terjejas akibat kesannya terhadap ekonomi negara dan sejagat. Ada perniagaan dan operasi yang terjejas teruk sehingga terpaksa memberhentikan pekerja dan gulung tikar.

Bagi golongan pekerja bukan eksekutif, pemberhentian pekerja meninggalkan kesan yang ketara terhadap mata pencarian dan kehidupan mereka.

Maka itu, untuk membantu golongan pekerja dan mereka yang diberhentikan kerja mengatasi masalah yang dialami, aplikasi 'Cari Kerja' dilancarkan supaya mereka boleh mendapatkan pekerjaan dengan segera bagi menampung perbelanjaan dan keperluan mereka dan keluarga, terutama sekali sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

"Pelancaran (aplikasi Cari Kerja) hari ini penting kerana COVID-19 sudah menular, menjejas pelbagai bahagian ekonomi, menjejas pekerja daripada segmen-segmen bukan eksekutif - kehilangan pekerjaan dan menjejas mata pencarian mereka - jadi sebahagian daripada sokongan kewangan daripada Pemerintah semasa tempoh (langkah pemutus rantaian jangkitan) ini adalah untuk menjamin pekerjaan bagi mereka semua," kata Encik Saktiandi.

Aplikasi 'Cari Kerja' boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play atau dengan melungsuri laman web, http://onelink.to/tw3twe.

TIDAK PERLU RESUME; CARI KERJA DEKAT RUMAH

Pelbagai ciri dimuatkan dalam aplikasi 'Cari Kerja'. Antaranya, mereka yang mencari pekerjaan boleh menggunakan fungsi geolokasi untuk menimbangkan pekerjaan-pekerjaan yang ditawarkan dalam sekitar kawasan sedekat antara dua hingga lima kilometer dari rumah mereka.

"Aplikasi Cari Kerja ada banyak ciri. Apa yang saya ingin tarik perhatian adalah aplikasi ini dapat membantu para penduduk Singapura mencari pekerjaan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan jika anda meneroka ciri-ciri aplikasi ini, anda tidak perlu melalui temu duga secara fizikal," dedah Encik Saktiandi kepada BERITAmediacorp.

Mereka yang mencari mata pencarian baru dalam masa terdekat tidak perlu menggunakan resume. Sebaliknya, dengan fungsi ChatBot, para pemohon kerja boleh bertanya secara langsung kepada para pengiklan jawatan kosong tentang pekerjaan yang ingin diceburi dan ditemu duga menerusi aplikasi itu tanpa bertemu secara fizikal. Kemudahan sebegini amatlah penting terutamanya dalam masa penguatkuasaan yang ketat sekarang, di mana orang ramai amat dinasihati agar duduk di rumah bagi melindungi diri serta orang di sekeliling daripada dijangkiti COVID-19.

Aplikasi 'Cari Kerja' dibangunkan dengan kerjasama perusahaan sosial FindJobs.

Encik Stanley Lim, pengasas bersama FindJobs berkongsi: "Buat masa ini ... saya dapat lihat ada sekitar 120 pekerjaan yang ditawarkan dalam jarak sekitar antara tiga hingga lima kilometer di estet Toa Payoh."


Pekerjaan-pekerjaan ditawarkan dalam bidang makanan dan minuman (F&B), khidmat penghantaran makanan, runcit, keselamatan, industri pengangkutan dan pekerjaan dalam barisan hadapan seperti pemeriksaan suhu badan.

Ini sejajar dengan langkah-langkah yang diperketatkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Sejak 7 April, semua tempat kerja diarahkan supaya ditutup dan para pekerja digalakkan bekerja dari rumah (WFH) jika pekerjaan mereka boleh dilakukan dengan cara seperti itu.

Hanya khidmat-khidmat penting yang dibenarkan untuk terus beroperasi sehingga langkah tersebut ditarik balik pada 5 Mei.

"Aplikasi ini sangat mudah, tidak perlu sesiapa untuk membantu mengalih bahasa," jelas Encik Saktiandi, "para pengguna hanya perlu mengisi butiran-butiran mereka dalam aplikasi ini saja dan syarikat-syarikat boleh menerima butiran ini dan menyalurkan mereka kepada pekerjaan-pekerjaan yang bersesuaian."

"Selain menolong penduduk Toa Payoh East Novena mengatasi langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan atau "circuit breaker" ini, salah satunya adalah langkah untuk melancarkan aplikasi Cari Kerja dengan kerjasama FindJobs agar penduduk-penduduk bukan Melayu dan Melayu tidak mengalami kesukaran dari segi (batasan) bahasa. Mereka yang fasih dalam bahasa Melayu boleh menggunakan aplikasi ini dalam bahasa Melayu. Mereka yang fasih dalam bahasa Mandarin boleh menggunakan aplikasi ini dalam bahasa Mandarin. Mereka yang lebih selesa dalam bahasa Inggeris juga boleh menggunakannya dalam bahasa Inggeris." tambah Encik Saktiandi.

"Ia adalah iktibar untuk membantu pekerja-pekerja yang terjejas. Mereka masih boleh mendapatkan pekerjaan secepat mungkin, dapat menampung pembelanjaan keluarga untuk makanan dan keperluan lain sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan ini."

Dalam pada itu, Encik Saktiandi turut menekankan betapa pentingnya untuk mematuhi langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang sedang dikuatkuasakan dengan lebih ketat sekarang.

Mengakhiri catatan Facebooknya, beliau turut mengingatkan para penduduk terutamanya penduduk yang berusia 50 tahun ke atas supaya jangan keluar rumah atau berlegar-legar di ruang awam.

Warga senja yang tinggal seorang diri boleh menghubungi Kelab Masyarakat jika mereka memerlukan bantuan kecemasan.

PERMOHONAN BANTUAN DALAM TALIAN

Bagi golongan yang mata pencarian mereka terjejas akibat wabak COVID-19, mereka juga tidak perlu keluar rumah kerana permohonan bagi bantuan-bantuan seperti bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan Perpaduan, Belanjawan Berdaya Tahan dan Belanjawan Kesepakatan, boleh dibuat secara online.

Sekiranya memerlukan bantuan, orang ramai boleh saja menelefon hotline berkaitan atau berhubung menerusi kiriman emel.
 

- BERITAMediacorp/AY/ay

Top