Skip to main content

Iklan

Iklan

Angka korban COVID-19 jangkaui 25,000 di Brazil

Angka korban di Brazil akibat jangkitan COVID-19 sudah menjangkaui 25,000 pada Rabu (27 Mei), sedang negara itu kini dilihat sebagai tapak penularan terbaru wabak tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban COVID-19 jangkaui 25,000 di Brazil

Pekerja perubatan pemerintah, dalam satu operasi dengan polis, menjalankan pemeriksaan suhu badan ke atas para penumpang sebuah bot di teluk Melgaco, barat daya pulau Marajo, negeri Para, Brazil. (Gambar: TARSO SARRAF/AFP)

Diterbitkan : 28 May 2020 09:57AM Dikemas Kini : 28 May 2020 10:01AM

RIO DE JANEIRO: Angka korban di Brazil akibat jangkitan COVID-19 sudah menjangkaui 25,000 pada Rabu (27 Mei), sedang negara itu kini dilihat sebagai tapak penularan terbaru wabak tersebut.

Kementerian Kesihatan Brazil menyatakan ia mengesahkan 1,086 kematian baru dalam tempoh 24 jam yang lalu, sekali gus menjadikannya kali kelima angka korban harian melebihi 1,000 sejak krisis COVID-19 memburuk dengan mendadak di Brazil seminggu lalu.

Jumlah terkumpul bagi angka korban di Brazil kini seramai 25,598.

Negara yang mempunyai 210 juta penduduk itu kini melaporkan 411,821 kes yang disahkan dijangkiti COVID-19, menjadikannya negara kedua di dunia dengan jumlah tertinggi kes selepas Amerika Syarikat.

Dengan Brazil kurang menjalankan ujian, jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi, menurut para pakar.

Presiden Brazil Jair Bolsonaro kini semakin tertekan berhubung caranya menangani krisis kesihatan dan ekonomi itu.

Pemimpin berhaluan kanan itu dituduh lebih mementingkan ekonomi Brazil daripada mengusahakan langkah-langkah bagi membendung penularan virus tersebut.

Banyak wilayah di Brazil bagaimanapun bertegas akan mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menutup perniagaan-perniagaan tidak penting.

Sao Paulo, iaitu hab perindustrian Brazil dan juga wilayah yang paling teruk terjejas, sudah melanjutkan tempoh duduk di rumah sehingga 15 Jun dan Gabenor Joao Doria mengumumkan bahawa 'sebilangan aktiviti' akan dibuka secara bertahap-tahap mulai 1 Jun.

Encik Bolsonaro sementara itu menaruh harapan pada ubat hydroxychloroquine. Seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, beliau juga mendakwa ubat itu boleh digunakan untuk merawat jangkitan COVID-19.

Kementerian Kesihatan Brazil menyarankan para doktor yang berkhidmat dalam sistem kesihatan awam supaya menggunakan hydroxychloroquine atau ubat yang berkaitan dengan chloroquine untuk merawat pesakit yang mengalami gejala jangkitan COVID-19.

Menurut kementerian itu pada Isnin (25 Mei), ia akan terus mematuhi garis panduan tersebut meskipun WHO sudah menghentikan ujian klinikal hydroxychloroquine menyusuli kebimbangan tentang keselamatan dan keberkesanannya dalam menangani virus korona.

Brazil sedang bergelut dengan krisis tersebut dan jawatan menteri kesihatan disandang buat sementara waktu oleh jeneral tentera Eduardo Pazuello, orang ketiga yang memegang jawatan tersebut dalam tempoh sebulan.

Penyandang jawatan sebelum ini dilaporkan meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan Encik Bolsonaro berhubung penggunaan hydroxychloroquine. Seorang lagi bekas menteri kesihatan dipecat setelah bertikai dengan Presiden Brazil itu berhubung respons terhadap pandemik tersebut.

Sementara itu, hospital-hospital di Brazil hampir mencapai tahap di mana ia tidak lagi berupaya menampung pesakit, khususnya di daerah-daerah yang paling teruk terjejas. Tahap penularan COVID-19 juga dijangka tidak akan mencapai paras kemuncak di Brazil sehingga bulan depan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan