Virus Korona

Images
  • china virus
    Orang ramai memakai pelitup ketika membeli makanan di Shanghai. (Gambar: NOEL CELIS/AFP)

Angka korban COVID-19 di China lonjak lepasi 1,500

BEIJING: Jumlah kematian akibat jangkitan virus korona COVID-19 di China melonjak melepasi 1,500 pada Sabtu (15 Feb) setelah lagi 139 orang mati di wilayah Hubei, tempat tercetusnya wabak itu.

Suruhanjaya kesihatan wilayah itu juga melaporkan 2,420 kes baru COVID-19, sekitar separuh daripada jumlah yang diisytiharkan pada hari sebelumnya.

Sekurang-kurangnya 1,519 orang meninggal dunia akibat wabak yang pertama kali muncul di ibu kota Hubei, Wuhan, pada Disember. Wabak itu merebak ke seluruh negara sebulan kemudian.

Lebih 66,000 orang kini dijangkiti virus itu dengan kebanyakan kematian berlaku di Hubei.

Skala wabak itu meningkat minggu ini selepas pihak berkuasa di Hubei mengubah kriteria mereka bagi pengiraan kes, menambah ribuan pesakit baru ke dalam pengiraan tersebut.

Kes-kes yang "didiagnosis secara klinikal" menerusi pengimejan paru-paru kini dikira sebagai tambahan kepada mereka yang sudahpun disahkan positif menerusi ujian makmal.

Semakan itu menambah hampir 15,000 pesakit kepada perangkaan Hubei pada Khamis (13 Feb), dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa kes-kes sepanjang beberapa minggu lalu dikira secara retroaktif.

Pihak berkuasa menyatakan 1,716 pekerja perubatan dijangkiti COVID-19 semasa wabak tersebut dengan enam daripadanya meninggal dunia akibat penyakit itu.

Kebanyakan jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan adalah di Wuhan, di mana ramai daripada mereka tidak mempunyai pelitup dan peralatan untuk melindungi diri mereka di hospital semasa merawat para pesakit.

Perangkaan yang membimbangkan itu diumumkan seminggu selepas kesedihan dan kemarahan orang ramai meletus akibat kematian seorang doktor yang pertama kali memberi maklumat tentang virus itu. Beliau dikunci mulutnya oleh pihak polis di Wuhan setelah menimbulkan cemas tentang virus itu pada Disember lalu. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- AFP/FZ/fz

Top