Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak kapal SIA jumpa doktor sebab demam, diuji positif COVID-19

Seorang anak kapal Singapore Airlines yang pada mulanya diuji negatif COVID-19 pergi berjumpa doktor kerana demam sebelum disahkan positif dijangkiti virus itu beberapa hari kemudian.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak kapal SIA jumpa doktor sebab demam, diuji positif COVID-19

(Gambar fail.)

Diterbitkan : 24 Jan 2021 05:43PM Dikemas Kini : 24 Jan 2021 05:44PM

SINGAPURA: Seorang anak kapal Singapore Airlines yang pada mulanya diuji negatif COVID-19 pergi berjumpa doktor kerana demam sebelum disahkan positif dijangkiti virus itu beberapa hari kemudian.

Demikian menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) hari ini (24 Jan).

Wanita berusia 29 tahun itu, yang dikenali sebagai Kes 59529, berada di Britain atas urusan kerja antara 12 Januari dengan 13 Januari, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (22 Jan).

Menurut CAAS anak kapal itu mendarat di Singapura dari London pada 14 Jnauari dan menjalani ujian reaksi rantaian polimerase COVID-19 (PCR) sebaik tiba di sini. Hasil keputusannya negatif.

Pada 17 Januari, beliau mengalami demam dan berjumpa doktor yang memberikan cuti sakit lima hari. Hari itu adalah hari beliau keluar rumah (untuk ke klinik), kata CAAS.

"Oleh itu, beliau tidak dapat ke pusat ujian swab bagi menjalani ujian PCR COVID-19. Semasa di rumah, beliau hanya duduk di dalam bilik," tambah CAAS.

"Apabila kami mendapati beliau tidak hadir bagi ujian (PCR) pada hari ketiga dan tentang keadaannya, kami memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan dan beliau dihantar ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit."

Sebelum ini MOH menyatakan, wanita itu yang merupakan pemegang pas kerja dari India, mengalami masalah hilang deria bau pada 20 Januari dan menjalani ujian COVID-19 keesokan harinya. Hasil keputusan ujian itu positif pada 22 Januari.

"Pada kebanyakan hari beliau duduk di rumah dari 14 Januari sehingga dihantar ke hospital pada 22 Januari," menurut MOH.

Mulai 30 Disember, anak kapal yang pulang dari penerbangan ke negara-negara berisiko tinggi perlu mengasingkan diri sehingga mereka menerima semua keputusan negatif bagi beberapa ujian PCR COVID-19 yang dijalani.

Mereka perlu menjalani ujian PCR itu sebanyak tiga kali - sebaik tiba di Singapura, pada hari ketiga dan ketujuh selepas pulang ke Singapura.

ANAK KAPAL PATUHI PROTOKOL ASINGKAN DIRI - SIA

Seorang jurucakap SIA semalam (23 Jan) berkata wanita berkenaan tidak dapat menjalani ujian swab hari ketiga dan ketujuh memandangkan beliau diberi cuti sakit.

Beliau mengalami simptom-simptom lain pada 21 Januari dan ujian swab "segera diatur" untuknya.

"Siasatan menunjukkan bahawa anak kapal itu mematuhi protokol yang dikenakan setelah pulang daripada penerbangannya pada 14 Januari.

"Menurut garis panduan pengasingan diri, anak kapal harus mengurangkan kontak bersama anggota masyarakat dengan duduk di rumah dan hanya keluar untuk keperluan penting atau mendapatkan rawatan perubatan."

Menurut CAAS, anak kapal yang mengasingkan diri dibenarkan untuk meninggalkan rumah bagi tempoh yang singkat jika ada keperluan penting. Malah sepanjang tempoh keluar mereka perlu mengurangkan masa di tempat awam.

"Kami akur bahawa anak kapal yang terbang ke negara-negara berisiko tinggi seperti Britain, juga berkhidmat untuk Singapura. Ini kerana masih terdapat rakyat Singapura yang mahu pulang ke tanah air dan anak kapal kami memastikan penerbangan-penerbangan penting antara Singapura dengan bandar-bandar utama di dunia akan diteruskan.

"Syarikat penerbangan negara Singapore Airlines terus memikul tanggungjawab itu meskipun jumlah penumpangnya sangat kecil," menurut CAAS. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan