Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ada tanda sektor berkaitan pelancongan cerah, namun rentak pemulihan kekal tidak menentu

Terdapat beberapa tanda baik bahawa usaha pemulihan bagi sektor berkaitan pelancongan akan cerah, namun rentaknya kekal tidak menentu memandangkan pembukaan semula sempadan Singapura bergantung kepada keadaan pandemik COVID-19 sejagat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Aug 2021 06:03PM Dikemas Kini : 25 Aug 2021 09:11PM

SINGAPURA: Terdapat beberapa tanda baik bahawa usaha pemulihan bagi sektor berkaitan pelancongan akan cerah, namun rentaknya kekal tidak menentu memandangkan pembukaan semula sempadan Singapura bergantung kepada keadaan pandemik COVID-19 sejagat.

Demikian kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hari ini (25 Ogos).

Dr Tan berkata demikian di satu sidang media yang dianjurkan di Taman Haiwan Singapura sempena Laporan Keadaan Pekerjaan ke-24 Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Menjawab pertanyaan para wartawan mengenai rentak pemulihan bagi sektor pelancongan dan sektor lain berkaitannya, Dr Tan berkata: "Sebenarnya terdapat beberapa petanda baik...saya rasa syarikat penerbangan mula membuka laluan perjalanan. Penyambungan semula perjalanan antara Jerman dengan Singapura adalah satu contoh amat baik."

Namun, soalan "sukarnya" adalah bilakah ini akan berlaku dan susah untuk memberikan satu jawapan yang pasti buat masa ini, kata Dr Tan, yang memberikan dua amaran.

“Amaran pertama adalah meskipun kia mempunyai...kadar vaksinasi yang tinggi, tidak banyak negara mempunyai kadar vaksinasi yang sama seperti kita. Jadi saya rasa kita perlu berpada-pada akan risikonya," ujar beliau.

“Satu lagi kaveat adalah varian Delta tidak berubah menjadi sesuatu yang lebih mengganas."

Pada 19 Ogos, Menteri Pengangkutan S Iswaran mengumumkan bahawa Singapura akan memulakan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksinasi (VTL) dengan Jerman dan Brunei sekali gus memberi isyarat pembukaan semula sempadan Singapura.

Percubaan lebih awal untuk Singapura memulakan laluan perjalanan khas dengan Hong Kong dan perbincangan mengenai laluan perjalanan khas bersama negara-negara lain belum lagi dilaksanakan.

Sejak COVID-19 bermula awal tahun lalu, sekatan sempadan menyebabkan jumlah ketibaan pelawat ke Singapura menjunam. Pada 2020, terdapat 2.7 juta pelawat - merosot hampir 86 peratus berbanding lebih 19 juta pelawat pada 2019.

Industri-industri yang bergantung kepada pelancong, mesyuarat serta khidmat gaya hidup terjejas teruk dan terpaksa mempercepat rancangan pendigitalan. Perniagaan pula terpaksa dengan tangkas beralih operasi.

"BUKAN SAHAJA TERPULANG KEPADA S'PURA"

Cik Jeannie Lim, Penolong Ketua Pegawai kumpulan dasar dan perancangan Lembaga Pelancongan Singapura (STB), berkata beliau berpendapat pemulihan akan tetap berlarutan kerana sukar untuk menebus kerugian dalam pelancongan.

Pada 2019, resit pelancongan mencapai rekod S$27.7 bilion tetapi menjunam kepada S$4.4 bilion dalam tiga suku pertama 2020.

Setakat 1 Ogos, lebih sejuta rakyat dewasa Singapura sudahpun menggunakan Baucar SingapoRediscovers mereka sekurang-kurangnya sekali, dengan sekitar 1.4 juta urus niaga bernilai sehingga S$168 juta dalam bentuk pembayaran baucar serta tunai untuk tempahan pelancongan, menurut STB.

“Saya rasa ia bukan sahaja terpulang kepada Singapura. Walaupun kita bergerak menuju hala tuju endemik kita, ia sangat bergantung kepada bagaimana negara-negara lain dan bagaimana bidang kuasa lain menguruskan keadaan COVID-19 mereka dalam lingkungan sempadannya," terang Cik Lim.

Beliau menambah Singapura sedang dalam perbincangan dengan banyak negara untuk mengadakan laluan serta aturan perjalanan tetapi ini mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan.

“Saya rasa lebih penting lagi, kami ingin memastikan ia berlaku dalam cara yang selamat dan ditentukur sekalipun apabila kita mempersiapkan syarikat dan tenaga kerja kita untuk bersedia bagi pembukaan semula," ungkapnya. Beliau menambah beberapa syarikat pelancongan juga sudah mula mengambil pekerja baru-baru ini.

Kebanyakan syarikat itu mencari individu dengan kemahiran digital, kata beliau, dan inilah sebabnya mengapa agensi-agensi Pemerintah menggandakan latihan dalam bidang tersebut serta bidang lain yang juga dalam permintaan.

Jawatan-jawatan yang menerima permintaan tinggi termasuk pakar strategi digital, eksekutif atau pengurus pemasaran digital dan eksekutif operasi bagi huraian digital, menurut MOM dan WSG dalam Laporan Keadaan Pekerjaannya. Laporan itu tertumpu kepada program untuk membantu firma-firma dalam pelancongan dan khidmat gaya hidup untuk mereka semula pekerjaan serta latihan dalam tenaga kerjanya.

LEBIH BANYAK PROGRAM PENUKARAN PROFESIONAL 

Menurut laporan tersebut, lebih 3,100 pekerja sudahpun berdaftar bagi program penukaran profesional (PCP) bagi sektor pelancongan dan khidmat gaya hidup dari Januari tahun lalu sehingga pertengahan Ogos 2021.

Para pekerja datang dari lebih 200 syarikat dan sektor-sektor termasuk industri hotel, khidmat makanan, sektor gaya hidup dan runcit.

Ini adalah kenaikan 30 kali lebih tinggi berbanding 2019 apabila hampir 110 pekerja daripada sekitar 40 syarikat mengikuti PCP. Lagi 1,400 pekerja dijangka menyertai program itu dari sekarang sehingga Disember 2022.

Sejak Januari 2020, WSG sudahpun melancarkan 18 PCP baru untuk sektor-sektor pelancongan dan gaya hidup, naik dari hanya lima.

Bulan hadapan, ia akan melancarkan PCP dipertingkat bagi karyawan pelancongan pemasaran digital. Ini menyusuli satu tinjauan WSG yang mendapati bahawa banyak syarikat mahu meningkatkan penjualan dan pemasaran digitalnya serta kekurangan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tersebut.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan