Koronavirus

Images

Aaron Aziz, Sheikh Haikel & Anna Belle Francis bawa bazar raya maya ke ruang tamu anda

SINGAPURA: Menghidupkan semula semangat Bazar Hari Raya dan juga kemeriahannya.

Bukan setakat itu saja, riuh-rendah suasana lelong dan tawar-menawar juga akan dapat dirasakan dalam ruang tamu anda.

Konsep bagi menyemarakkan suasana menjelang Lebaran ini diperkenalkan di tengah-tengah langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang sedang dikuatkuasakan sekarang.

Selama kira-kira 5 jam setiap hujung minggu, 3 selebriti ini - Aaron Aziz, Sheikh Haikel dan Anna Belle Francis ke "udara" sebagai hos Bazar B.Halal.

Bazar kendalian Enniche Events itu disiarkan secara langsung melalui Facebook dan juga YouTube.

Setiap peniaga mempunyai 30 minit untuk memasarkan produk mereka yang termasuk langsir, pakaian dan pelbagai jenis kuih Raya.

Malah, ada juga pertubuhan yang tampil untuk mengumpul dana melalui bazar maya ini.

Ketiga-tiga hos ini saling berinteraksi bersama para peniaga manakala para pembeli yang berminat pula, berpeluang mengajukan pertanyaan tentang produk-produk tersebut.

"Bazar Geylang sudah 20-30 tahun. Satu bulan itu lebih daripada 2 juta pengunjung. Jadi macam mana yang lalu platform FaceBook, Instagram ataupun YouTube, kita nak dapat pengunjung?" kata Pengasas Enniche Events, Mohd Mustaffa Shah Jehan.

Salah satu strategi Enniche adalah dengan memanfaatkan populariti ketiga-tiga personaliti ini.

Aaron misalnya mempunyai sekitar 5.7 juta pengikut.

Sungguhpun demikian, Encik Mustaffa akur bahawa bazar maya seumpama itu tetap berdepan dengan cabaran.

"Satu hari kita punya show, jumlah penonton lebih kurang 50,000 dan ia konsisten. Dari segi keuntungan beza dia banyak kerana bazar automatik ramai yang ingin turut serta. Kalau bandingkan dengan show bazar ini pula, ramai yang belum yakin lagi," menurut Encik Mustaffa lagi.

Menurutnya lagi, hanya 30% daripada 250 peniaga bazar fizikal yang dibatalkan tahun ini tumpang sekaki, sekalipun dihambat oleh tempoh bazar maya yang terhad.

Jadi untuk membantu para peniaga lain, Enniche telah melancarkan aplikasi B.Halal.

Aplikasi itu boleh dimuat turun dan dibuka kepada orang ramai.

Bazaaro.sg pula menawarkan khidmat tambahan kepada para peniaga yang menyertai platform e-dagang mereka.

"Kami keluarkan "concierge service" atau ambassador service untuk business". Sebabnya mereka tidak ada masa untuk muat naik gambar mereka dan kemudian menulis iklan, uruskan tempahan dan kemudian penghantaran. Dapat membantu mereka memuat naik barang-barang mereka lebih cepat jadi mereka tidak berat seorang, harus uruskan Facebook, Instagram dan platform lain juga," kata Pengurus Operasi Acara, Kirvy & Brood, Encik Kamal Rouzi.

Yuran yang dikenakan adalah antara S$200 hingga S$600, bergantung kepada jenis perkhidmatan.

Sejauh ini, 30 vendor sudahpun memanfaatkan platform e-dagang ini dan beliau berharap lebih ramai akan turut serta.

Lelaman ini menerima sekitar 100,000 pengunjung dalam masa seminggu sejak ia dilancarkan.

"Memberangsangkan. Mereka membeli pun untuk mereka sendiri pakaian Raya.Mereka beli lebih awal mungkin mereka harapkan menjelang Syawal, COVID-19 ini sudah mula pulih atau untuk Hari Raya Haji," ujar Encik Kamal lagi.

Bazar maya seumpama ini juga membantu usaha pengumpulan dana Tabung Amal Aidilfitri (TAA). 

- BERITAmediacorp/na

Top