Skip to main content

Iklan

Iklan

9 lagi kematian COVID-19 di S'pura; 3,348 kes baru

Singapura melaporkan 3,348 kes baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari Sabtu (16 Okt) dengan sembilan lagi kematian akibat komplikasi daripada jangkitan koronavirus itu.

Anggaran Waktu Membaca:
9 lagi kematian COVID-19 di S'pura; 3,348 kes baru

Orang ramai melintasi jalan raya di Raffles Place pada 6 Sep 2021. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 17 Oct 2021 12:38AM Dikemas Kini : 17 Oct 2021 12:41AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 3,348 kes baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari Sabtu (16 Okt) dengan sembilan lagi kematian akibat komplikasi daripada jangkitan koronavirus itu.

Kematian itu melibatkan empat lelaki dan lima wanita, berusia antara 60 hingga 89 tahun. Lima daripada mereka belum divaksin sama sekali manakala dua sudah menerima satu dos dan lagi dua sudah divaksin sepenuhnya.

Lapan daripada pesakit yang meninggal dunia itu mempunyai masalah perubatan sedia ada manakala satu kes tidak divaksin tidak mengalami masalah perubatan yang diketahui. Kementerian Kesihatan (MOH) bagaimanapun tidak menyatakan apakah masalah kesihatan tersebut.

Dengan itu, angka korban COVID-19 di Singapura meningkat kepada 224.

Sejumlah 3,348 kes baru yang dilaporkan pada Sabtu turun dari 3,445 kes yang dicatatkan pada Jumaat.

Dalam kalangan kes baru itu, 3,344 adalah jangkitan dalam negeri, merangkumi 2,688 jangkitan dalam masyarakat dan 656 jangkitan di dormitori pekerja hijrahan.

Sementara itu, terdapat empat kes import, menurut MOH dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada media sekitar pukul 11.40 malam.

Setakat Sabtu, Singapura melaporkan jumlah terkumpul sebanyak 151,120 kes jangkitan COVID-19 sejak pandemik melanda.

KES DI HOSPITAL, PEMULIHAN DI RUMAH

Dalam kalangan semua kes masyarakat yang dirawat atau dimasukkan ke hospital, 16,580 pesakit, atau 76.5 peratus menjalani pemulihan di rumah.

Lagi 2,862 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 766 di kemudahan rawatan COVID-19.

Baki 1,464 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sebahagian besar daripada mereka sedang dipantau, menurut MOH. Daripada jumlah itu, 310 pesakit memerlukan bantuan oksigen dan 62 berada di unit jagaan rapi (ICU). Pada Jumaat, terdapat 48 kes di ICU.

Sepanjang 28 hari yang lalu, terdapat 68,147 individu terkena jangkitan, 1.1 peratus memerlukan bantuan oksigen dan 0.1 peratus dirawat di ICU.

Dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke ICU, 49.4peratus sudah lengkap divaksin dan 50.6 peratus belum divaksin atau sudah mendapatkan satu dos suntikan vaksin.

LAPANGAN TERBANG CHANGI BUKA SEMULA DEWAN KETIBAAN

Para anggota keluarga dan rakan-rakan kepada penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Changi dari negara serta rantau berisiko rendah kini dibenarkan memasuki dewan ketibaan untuk menyambut kedatangan mereka.

Sebelum ini, mereka hanya dibenarkan untuk menyambut penumpang dari luar dewan ketibaan disebabkan oleh langkah-langkah COVID-19 lebih ketat, yang dilaksanakan apabila Terminal 1 dan 3 dibuka semula kepada orang ramai pada September.

Akses ke dewan ketibaan dihadkan kepada khidmat profesional untuk menyambut penumpang seperti wakil hotel dan ejen syarikat.

Dengan kelonggaran ke atas sekatan, seorang wakil dibenarkan untuk menjemput setiap kumpulan penumpang yang tiba, menurut Lapangan Terbang Changi di lamannya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan