Koronavirus

Images
  • pusat pemeriksaan
    Sebuah pusat pemeriksaan daerah COVID-19. (Gambar: Facebook/Lawrence Wong)

8 pusat pemeriksaan daerah, 3 pusat ujian pantas COVID-19 dibuka setiap hujung minggu

SINGAPURA: Lapan pusat pemeriksaan daerah dan tiga pusat ujian pantas akan beroperasi setiap Sabtu dan Ahad untuk memudahkan "ujian segera" bagi individu-individu yang mengalami simptom-simptom pernafasan akut pada hujung minggu.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (24 Sep).

Langkah baru itu bermula esok (25 Sep).

Buat masa ini, individu-individu yang mengalami simptom pernafasan akut boleh ke klinik-klinik biasa (GP) - yang dipanggil Swab dan Hantar Pulang (SASH) - untuk menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).

Bagaimanapun, bukan semua klinik SASH dibuka pada hujung minggu.

"Untuk memudahkan ujian segera pada hujung minggu, mulai 25 September 2021, kami akan membuka lapan pusat pemeriksaan daerah dan tiga pusat ujian pantas setiap Sabtu dan Ahad, supaya individu sedemikian boleh menjalani ujian pengesahan PCR," menurut MOH.

Untuk mengelak berlaku kesesakan, kunjungan pada hujung minggu di pusat-pusat tersebut boleh dibuat menerusi janji temu sahaja.

Tempahan bagi janji temu hanya dibuka dari pukul 6.00 petang pada Jumaat hingga pukul 3.00 petang Ahad setiap minggu.

"Kami menggalak individu yang tidak bergejala supaya segera mendapatkan ujian pengesahan PCR agar mereka boleh mendapatkan jagaan sewajarnya, jika perlu," tambah MOH.

"Ini juga akan memberikan perlindungan lebih awal kepada anggota keluarga, rakan sekerja dan kawan-kawan yang mungkin menjadi kontak individu yang sudah dijangkiti."
LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/NK/sm

Top