Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

75 kes baru COVID-19 di S'pura; 4 kelompok baru termasuk The Orange Ballroom di Tanjong Katong

Sebanyak  75 kes baru virus korona COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Sabtu (4 Apr), peningkatan harian tertinggi sejauh ini, membawa keseluruhan umlah  jangkitan kepada 1,189 di negara ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
75 kes baru COVID-19 di S'pura; 4 kelompok baru termasuk The Orange Ballroom di Tanjong Katong

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 11:07PM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 11:10PM

SINGAPURA: Sebanyak 75 kes baru virus korona COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Sabtu (4 Apr), peningkatan harian tertinggi sejauh ini, membawa keseluruhan umlah jangkitan kepada 1,189 di negara ini.

Daripada kes baru itu, 69 adalah kes tempatan manakala baki enam adalah kes diimport dengan sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara dan Selatan serta ASEAN.

Sebanyak 40 daripada kes jangkitan baru itu terkait dengan kes atau kelompok sebelum ini sementara 29 yang lain tidak menunjukkan sebarang kaitan buat masa ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Empat kelompok baru juga dikenal pasti - tiga daripadanya asrama pekerja di Sungei Tengah Lodge (500 Old Choa Chu Kang Road), Toh Guan (19A Toh Guan Road East) dan Cochrane Lodge II (49 Admiralty Road West) manakala satu lagi kelompok di The Orange Ballroom di Tanjong Katong (845 Geylang Road).

Empat kes tambahan juga dikaitkan dengan kelompok Mustafa Centre, menjadikan jumlah kes jangkitan di pusat beli belah itu kepada 19.

Sehingga hari ini, sejumlah 297 kes sudahpun sembuh sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.

Dalam pada itu, 500 kes disahkan masih berada di hospital, dengan kebanyakan dalam keadaan stabil atau beransur pulih manakala 26 yang lain dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Sebanyak 386 kes yang sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19 sudahpun diasingkan dan dirawat di Hospital Antarabangsa Concord, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Gleneagles dan Kemudahan Pengasingan Masyarakat di D’Resort NTUC.

Singapura hari ini melaporkan kematian keenamnya akibat COVID-19, melibatkan seorang penduduk tetap berusia 88 tahun yang tiada sejarah perjalanan ke mana-mana tempat terjejas. Lelaki itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan buah pinggang, barah serta kencing manis.

MOH mengumumkan kemunculan beberapa kelompok baru pada minggu lalu, termasuk di bar Ce La Vi di Marina Bays Sands, Kelab Kriket Singapura dan Mustafa Centre.

"LANGKAH TEGAS" UNTUK TUTUP KEBANYAKAN TEMPAT KERJA

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat menyatakan masanya sudah tiba bagi Singapura membuat "langkah tegas" untuk menutup kebanyakn tempat kerja dan melaksanakan pembelajardi rumah sepenuhnya buat sekolah.

Kebanyakan tempat kerja, kecuali khidmat penting dan sektor ekonomi utama, akan ditutup.

"Tempat makanan, pasar dan pasar raya, klinik, hospital, api air, pengangkutan dan khidmat perbankan penting akan terus dibuka," tambah Encik Lee.

Langkah itu akan memastikan kebanyakan tenaga kerja Singapura duduk di rumah dan mengehadkan interaksi fizikal mereka kepada sejumlah kecil orang yang mungkin, jelas Encik Lee.
 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan