Koronavirus

Images
  • AstraZeneca
    Bebuli vaksin AstraZeneca. (Gambar: AFP/Justin Tallis)

7 kematian dilapor di UK setelah dapat suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca

LONDON: Badan kawal selia perubatan United Kingdom (UK) pada Sabtu (3 Apr) mengesahkan 30 orang mengalami pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca, tujuh daripadanya sudah meninggal dunia.

Beberapa negara Eropah sebelum ini mengambil keputusan menghentikan sementara suntikan vaksin AstraZeneca berhubung kemungkinan ia dikaitkan dengan masalah pembekuan darah.

Menurut Agensi Kawal Selia Produk Penjagaan Kesihatan dan Ubat-ubatan UK, "Tujuh daripada 30 individu yang dilaporkan sehingga 24 Mac sudah meninggal dunia."

Negeri Belanda pada Jumaat (2 Apr) menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca bagi warga berusia bawah 60 tahun selepas lima kes darah beku dilaporkan dalam kalangan wanita, termasuk seorang daripadanya yang meninggal dunia.

Jerman turut mengambil pendekatan sama awal minggu ini terhadap suntikan vaksin AstraZeneca.

Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sebelum ini mengisytiharkan vaksin AstraZeneca selamat digunakan, dijangka mengumumkan nasihat kesihatan terbaru berhubung isu penggunaan vaksin berkenaan pada 7 April ini.

Pada Rabu lalu, EMA menekankan lagi bahawa AstraZeneca selamat, malah para pakar tidak menemui sebarang faktor risiko membabitkan umur, jantina atau sejarah perubatan.

Katanya, 30 laporan pembekuan darah atau trombosis yang dikemukakan pengamal perubatan atau orang awam menerusi laman web pemerintah mula timbul hanya selepas 18.1 juta dos vaksin AstraZeneca diberikan kepada penduduk UK.

Kebanyakan kes iaitu (22 kes), adalah 'cerebral venous sinus thrombosis' atau pembekuan darah luar biasa pada saraf otak.

Lapan kes lain menyaksikan penerima suntikan vaksin mengalami pembekuan darah dan kandungan platlet darah yang rendah, sekali gus menyumbang kepada pembekuan darah.

- AFP/NA/na

Top