Skip to main content

Iklan

Iklan

7,000 nasihat dikeluarkan pada hari pertama langkah lebih ketat bendung COVID-19: Masagos

Lebih 7,000 surat nasihat telah dikeluarkan setakat 8 malam pada Selasa (7 Apr) khususnya di pasar-pasar yang sesak dengan orang ramai. 

Anggaran Waktu Membaca:
7,000 nasihat dikeluarkan pada hari pertama langkah lebih ketat bendung COVID-19: Masagos

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

SINGAPURA: Lebih 7,000 surat nasihat telah dikeluarkan setakat 8 malam pada Selasa (7 Apr) khususnya di pasar-pasar yang sesak dengan orang ramai.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkongsi perangkaan tersebut sambil meluahkan kekecewaannya pada hari pertama langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 atau 'circuit breaker' dilaksanakan di sini.

Beliau turut menyeru masyarakat agar memberikan kerjasama dan mematuhi langkah-langkah yang bertujuan mengekang jangkitan COVID-19.

Dalam catatan di Facebooknya, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air memberi amaran bahawa sekiranya langkah jarak selamat tersebut tidak dipatuhi, pengorbanan serta penyesuaian oleh perniagaan dan keluarga semasa tempoh ini akan menjadi sia-sia sahaja.

Lebih 2,000 Duta Jarak Selamat dan SG Clean serta Pegawai Penguatkuasaan ditugaskan ke ruang awam di estet-estet HDB di merata Singapura hari ini.

AMARAN TEGAS DIKELUARKAN MULAI ESOK

Encik Masagos menambah, mulai Rabu (8 Apr) amaran tegas secara bertulis akan dikeluarkan, membawa kepada denda ke atas mereka yang terus berkumpul di tempat awam.

"Ini termasuk mereka yang terus berkumpul di kolong blok, taman permainan atau taman riadah, meskipun mereka tidak melakukan apa-apa dan sekadar bersembang," tulis Encik Masagos dalam catatan Facebooknya.

Di bawah Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara), yang diluluskan di Parlimen hari ini (7 Apr), pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pesalah kali kedua atau berulang, hukumannya adalah denda sehingga S$20,000, dipenjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Encik Masagos menegaskan bahawa kesihatan dan kemaslahatan semua bergantung pada setiap individu, justeru memerlukan kerjasama semua pihak.

MASAGOS GESA MASYARAKAT BERSATU HATI PATUHI LANGKAH KETAT

Encik Masagos menyeru orang ramai agar memberi kerjasama penuh: "Saya menggesa semua orang agar mengambil langkah jarak selamat dengan amat serius, dan mematuhi nasihat serta bimbingan Duta dan Pegawai Penguatkuasaan. Kami tidak perlu mengerahkan sumber-sumber yang berharga sekiranya kami semua memberikan kerjasama."

Dalam pada itu, Encik Masagos mengingatkan orang ramai agar membuat keputusan yang betul dan duduk di rumah. Beliau menasihati orang ramai agar hanya keluar jika perlu berjumpa dengan doktor atau membeli barang keperluan.

Selain itu, beliau juga menasihati orang ramai agar mematuhi langkah jarak selamat apabila berada di luar dan memakai pelitup sekiranya sedang beratur.

"Pilihan yang kelihatan kecil ini akan membezakan antara pandemik yang terus meragut nyawa, atau kejayaan membendung COVID-19," ujar Encik Masagos lagi. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan