Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

66 kes baru COVID-19 di S'pura; 2 kelompok baru di Little Gems Preschool, Kranji Lodge

Singapura melaporkan 66 kes baru COVID-19 pada Isnin (6 Apr), membawa jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 1,375, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya. 

Anggaran Waktu Membaca:
66 kes baru COVID-19 di S'pura; 2 kelompok baru di Little Gems Preschool, Kranji Lodge

Orang ramai memakai pelitup semasa penularan COVID-19 di Singapura. (Gambar: Edgar Su/REUTERS)

Diterbitkan : 07 Apr 2020 12:10AM Dikemas Kini : 07 Apr 2020 12:13AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 66 kes baru COVID-19 pada Isnin (6 Apr), membawa jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 1,375, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Salah satu kes baru itu diimport manakala baki 65 adalah jangkitan tempatan. Seramai 24 lagi pesakit dibenarkan pulang dari hospital sekali gus bermakna 344 orang kini pulih sepenuhnya daripada virus korona.

Dalam kalangan kes tempatan, 35 pesakit ada kaitan kepada kelompok sedia ada. 24 daripadanya terkait dengan kelompok di asrama pekerja asing dan 11 yang lain tiada kaitan dengan kelompok tersebut.

Sebanyak 30 kes baru pula tidak menunjukkan sebarang kaitan dan pengesenan kontak sedang dijalankan bagi kumpulan pesakit berkenaan.

Seramai 571 pesakit masih berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih, manakala 25 yang lain dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Dua kelompok baru juga dikenal pasti, menurut MOH. Ia adalah prasekolah Little Gems Preschool dan asrama pekerja asing Kranji Lodge.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata Singapura menjalankan sekitar 2,000 ujian virus korona setiap hari. Sehingga Isnin, negara ini sudah menjalankan lebih 65,000 ujian.

Beliau memberi jumlah tersebut dalam bentuk jawapan bertulis pada Isnin sebagai menjawab satu pertanyaan di parlimen oleh Anggota Parlimen Dilantik Walter Theseira.

Profesor Madya Theseira juga mengajukan soalan sama ada MOH melaporkan statistik kesihata negara lain berhubung COVID-19 bagi membolehkan para penyelidik untuk menghimpunkan "perangkaan yang setanding di peringkat antarabangsa" mengenai pandemik itu.

"Kementerian Kesihatan melaporkan maklumat dan statistik COVID-19 yang relevan dengan kerap untuk memastikan rakyat Singapura mendapat maklumat terkini. Kami juga berkongsi maklumat mengenai jumlah ujian yang dijalankan dari semasa ke semasa di mana perlu," kata Encik Gan dalam responsnya.

PAKEJ BANTUAN KETIGA UNTUK SOKONG RAKYAT S'PURA

Sebagai sebahagian daripada langkah berterusan negara melawan COVID-19, pakej bantuan ketiga diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (6 Apr).

Belanjawan Kesepakatan bernilai S$5.1 bilion itu bertujuan menyelamatkan pekerjaan dan melindungi mata pencarian pekerja sepanjang tempoh empat minggu apabila sekolah dan perniagaan tidak penting ditutup sebagai sebahagian daripada langkah bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, berkuat kuasa pada Selasa (7 Apr).

Encik Heng berkata pada Isnin bahawa pandemik COVID-19 telah "meledak" di Singapura sejak beberapa hari lalu. Setakat ini, Singapura sudah melaporkan enam kematian akibat virus korona itu.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan