Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 daripada 23 kes baru COVID-19 dalam masyarakat tidak ada kaitan; lagi 276 pesakit dibenar pulang

Singapura melaporkan 183 kes baru COVID-19 sehingga tengah hari Isnin (6 Jul), termasuk 23 kes dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
6 daripada 23 kes baru COVID-19 dalam masyarakat tidak ada kaitan; lagi 276 pesakit dibenar pulang

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 07 Jul 2020 01:09AM Dikemas Kini : 07 Jul 2020 01:12AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 183 kes baru COVID-19 sehingga tengah hari Isnin (6 Jul), termasuk 23 kes dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 44,983.

Singapura juga mencatatkan jumlah kes COVID-19 tertinggi dalam masyarakat pada Isnin sejak 24 Apr, di mana 25 kes dilaporkan.

Dalam kalangan kes baru dalam masyarakat, tiga merupakan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap, satu pemegang pas kerja dan 19 pemegang permit kerja.

Daripada kes baru itu, 18 dikesan melalui pemeriksaan dan pemantauan secara proaktif oleh MOH, dan tiga diletakkan di bawah kuarantin terlebih awal.

17 daripada kes jangkitan dalam masyarakat terkait dengan kes atau kelompok sebelum ini, menurut MOH. Daripada jumlah itu, 13 dikesan melalui ujian yang dijalankan terhadap para pekerja dalam perkhidmatan penting atau mereka yang bekerja di dormitori. Dalam kalangan mereka, tujuh adalah pekerja asing yang tinggal bersama di sebuah penginapan sementara yang diatur oleh syarikat mereka, menurut MOH.

Kementerian itu menambah lagi tiga kes dikesan sebagai kenalan kepada kes-kes yang disahkan sebelum ini, dan mereka diuji semasa tempoh menjalani kuarantin bagi menentukan status mereka.

Siasatan epidemiologi sedang dijalankan bagi kes-kes yang lain.

KES TANPA KAITAN

Dalam kenyataannya, MOH menyatakan enam daripada kes dalam masyarakat kini tidak ada kaitan. Lima daripadanya menjalani ujian kerana bekerja dalam perkhidmatan penting meskipun mereka tidak mempunyai simptom.

Kes-kes lain diuji di bawah ujian masyarakat diperluas bagi menguji semua individu berusia 13 tahun dan ke atas yang didiagnos dengan jangkitan pernafasan akut dalam lawatan pertama mereka ke doktor.

KES DIIMPORT DAN DALAM DORMITORI

Terdapat tiga kes import, kesemuanya diberi notis jangan keluar rumah sebaik sahaja tiba di Singapura dan diuji ketika menjalani notis mereka.

Dua daripada mereka adalah rakyat Singapura yang masing-masing pulang dari Yaman pada 24 Jun dan India pada 23 Jun.

Baki satu lagi kes melibatkan seorang warga Filipina yang pulang dari negaranya pada 24 Jun, dan merupakan seorang pemegang pas kerja yang bekerja di Singapura.

Lagi 157 kes baru yang dilaporkan pada Isnin adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing, menurut MOH.

Menurut kementerian itu lagi, dalam kalangan kes baru, 97 peratus terkait kelompok yang diketahui, manakala yang lain masih menunggu hasil pengesanan kontak.

LAGI 276 KES DIBENAR PULANG

Sebanyak 276 pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat, menurut MOH.

Secara keseluruhan, 40,717 sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Terdapat 208 pesakit COVID-19 yang masih dirawat di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Dua pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

MOH menambah bahawa 4,032 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat. "Mereka mengalami simptom sederhana, atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif bagi COVID-19,"tambahnya.

26 pesakit meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi akibat jangkitan COVID-19.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan