Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 bulan pasca COVID-19: 60% operasi masjid, hampir 100% pendidikan privet Islam beralih online

Sektor agama antara yang paling terjejas apabila Singapura mula mencatat kes pertama COVID-19 pada 23 Januari tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sektor agama antara yang paling terjejas apabila Singapura mula mencatat kes pertama COVID-19 pada 23 Januari tahun ini.

Begitu banyak penyesuaian yang sudah dilaksanakan demi meneruskan usaha menghidupkan syiar Islam di tengah-tengah pandemik ini.

Antara yang paling ketara, ialah sekitar 60 peratus operasi masjid-masjid setempat sudah beralih online.

Manakala hampir 100 peratus program agama yang ditawarkan di pusat pengajian Islam privet juga dijalankan secara maya.

GARIS MASA GANGGUAN COVID-19 TERHADAP AMALAN KEISLAMAN

Bermula dengan pembatalan umrah pada bulan Mac dan April lalu, masyarakat Islam tempatan kemudian menyaksikan masjid-masjid ditutup pada 13 Mac dan solat Jumaat ditiadakan selama tiga bulan 11 hari sejak 14 Mac.

Kemudian, seluruh musim bulan Ramadan menjadi sunyi di masjid mahupun di Geylang Serai, dan tiada solat Aidilfitri atau kunjungan Hari Raya selepas itu.

Kini, ibadah Haji dan korban juga terganggu dan sambutan Islam yang lain yang akan menyusul seperti Hijrah, Awal Muharram dan Maulid Nabi juga dijangka tidak akan berjalan seperti biasa.

"Saya teringat lagi apabila apabila 'circuit breaker' diumumkan, saya ingat lagi teman-teman asatizah ramai yang kelam kabut pergi Funan, pergi mana-mana, untuk beli alat-alat untuk mengadakan kelas-kelas online dan sebagainya," kongsi Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Ustaz Khairul Anwar.

Menurutnya lagi berkata banyak penyesuaian sudah dilaksanakan oleh masyarakat Islam setempat dalam tempoh beberapa bulan yang lalu.

"Kalau tanya orang-orang masjid ini dia kata Ramadan adalah suasana yang paling meriah sekali Ramadan. Dia paling sibuk tetapi paling meriah, paling dirindui. Senang cakap masjid adalah tempat kita bermasyarakat.

"Sejak Covid berlaku saya rasa kita terpaksa ataupun mesti melaksanakan norma-norma baru. Saya rasa teman-teman di masjid cuba sedaya upaya mereka, mereka perah idea, perah buah fikiran untuk menyesuaikan diri pada keadaan situasi COVID-19 inilah," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Ini termasuk mendakap kemudahan teknologi yang menjadi wadah penghubung utama antara sektor agama dengan masyarakat Islam setempat di tengah-tengah pandemik ini.

"Dulu hampir setiap hari di masjid ada program. Kuliah maghrib kalau ada syarahan kalau tak seminggu sekali mungkin sebulan sekali. Kita galakkan mereka untuk mengubah cara penyampaian. Jadi apabila memang terbuktilah kejadian itu berlaku masjid harus ditutup tetapi program masjid dapat diteruskan secara online," kata Penolong Pengarah Pejabat Perancangan Masjid di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mohamed Rafii Abdul Hamed.

Kini, meskipun masjid-masjid setempat sudah dibuka semula, keadaannya masih lagi berbeza. Seperti di tempat-tempat lain di merata Singapura, masjid-masjid juga melaksanakan pelbagai langkah keselamatan. Ini termasuk jumlah jemaah yang terhad serta suasana bersolat yang berlainan.

"Kalau sebelum ini kita dapat bersolat jemaah dan kita disuruh bahkan digalakkan untuk merapat-rapatkan saf tetapi sekarang ini kita digalakkan pula untuk merenggangkan saf dan waktu solat juga hanya sekitar 20 minit bagi setiap sesi," Ustaz Khairul Anwar memberitahu BERITAmediacorp.

Sekalipun demikian, kelonggaran yang diberikan secara bertahap-tahap itu pastinya menjadi satu nikmat yang dirindui dan disyukuri umat Islam setempat.

LANDSKAP PENDIDIKAN AGAMA PRIVET BANYAK BERUBAH

Sekali bah sekali pantai berubah.

Hampir dua pertiga kegiatan masjid kini berjalan secara online, dengan sekitar 40 peratus operasi masih dijalankan di masjid-masjid.

Landskap pendidikan agama oleh penyedia privet juga banyak berubah. Bagi institusi pendidikan Islam privet seperti akademi Quran Yameen, hampir kesemua operasinya sudah beralih ke online.

Malah, menurut CEO akademi itu, Ustaz Ho Muhammad Adi, merancang untuk meneruskan pembelajaran online dalam bulan-bulan mendatang kerana sudah melihat manfaatnya.

"Contohnya kami dapat beri lebih peluang untuk mereka yang bekerja pada masa-masa yang tak tetap, kepada mereka yang berada di luar negeri untuk tetap datang kelas kami, menghadiri kelas-kelas kami. Sejak bermulanya CB kita dah mula ada pelajar-pelajar daripada Malaysia, Australia, daripada Brunei untuk menghadiri kelas-kelas kami disebabkan ia sangat mudah untuk mereka," Ustaz Ho memberitahu BERITAmediacorp.

Yang pasti, inilah antara rahmat tersembunyi di sebalik pandemik COVID-19.

"Ini adalah salah satu yang tak secara langsung, seperti ia mendesak, satu perkara yang mendesak kita untuk buat perubahan dan ia membuat kita tak ada pilihan untuk buat perubahan tersebut dan kita nampak di situ ada hikmahnya," kata Pengarah Perkhidmatan Masyarakat, Pergas Ustazah Nazrana.

Ustaz Khairul Anwar pula menambah: "Ini suatu yang daripada dulu sebenarnya kita dah dapat rasakan bahawa asatizah mesti lebih ramai yang ada (kehadiran) online dan mengadakan kelas-kelas online untuk mendekati kaum muda dan sebagainya. Tapi dengan COVID ini kita dapat dekati yang tua dan yang muda melalui online bersama-sama."

GARIS MASA KESAN COVID-19 KE ATAS SEKTOR AGAMA S'PURA

13 Mac
Kesemua 70 masjid di sini ditutup sementara. Pada awalnya dijadual hanya selama lima hari sehingga 17 Mac.

Semua kegiatan masjid, kelas agama, prasekolah di masjid pula dihentikan selama dua minggu sehingga 27 Mac.

14 Mac

Masjid-masjid tempatan mula memanfaatkan teknologi bagi memastikan pendidikan agama tidak terputus untuk masyarakat Islam dan jemaah pula dapat terus menimba ilmu agama di tengah-tengah cabaran COVID-19.

17 Mac

Penutupan kesemua 70 masjid dilanjutkan lagi sembilan hari sehingga 26 Mac.

20 Mac

Pergas lancarkan dana khas yang dipanggil Pakej Rahmah untuk membantu para asatizah yang mata pencarian mereka terjejas disebabkan oleh penutupan sementara masjid-masjid dan penggantungan kelas-kelas agama.

Ia berjaya mengumpulkan S$394,334 dan mengagihkannya kepada 292 asatizah.

22 Mac

Sebanyak 19 buah masjid akan dibuka semula, dengan ruang-ruang kecil untuk memudahkan masyarakat menunaikan solat Zuhur dan Asar.

Ini untuk memudahkan para jemaah yang bekerja seperti pemandu teksi, pemandu kenderaan sewa serta pekerja penghantaran barangan menunaikan solat sedang mereka menjalankan tugas.
BACA: 19 masjid buka ruang kecil mudahkan jemaah bekerja untuk solat Zuhur & Asar

26 Mac

Atas saranan Jawatankuasa Fatwa, masjid-masjid setempat terus ditutup dan solat Jumaat ditiadakan hingga makluman lanjut.

Ini memandangkan masih wujud risiko tinggi COVID-19 kepada masyarakat pada waktu itu.

5 Apr

MUIS mengumumkan bahawa semua ruang kecil yang disediakan untuk solat pada waktu Zuhur dan Asar di beberapa masjid tidak lagi akan disediakan.

7 Apr

Tempoh pemutus rantaian jangkitan atau 'circuit breaker' bermula. Penduduk Singapura diarahkan agar duduk di rumah. Ini bermakna semua kegiatan keagamaan di luar rumah juga mesti dihentikan sementara.

10 Apr

MUIS mengeluarkan irsyad menyatakan solat jenazah dan ziarah kubur tidak dibenarkan sama sekali semasa tempoh 'circuit breaker'.
BACA: COVID-19: Solat jenazah hanya boleh didirikan di rumah, ziarah ke kubur tidak dibenarkan sama sekali, menurut MUIS

23 Apr

Buat pertama kali, masjid-masjid di Singapura sepi tanpa solat terawih dalam bulan Ramadan.

15 Mei

MUIS mengeluarkan kenyataan menasihatkan umat Islam agar elak ziarah Hari Raya dan mengumumkan bahawa tiada solat Hari Raya di masjid-masjid.

Sebaliknya, takbir Hari Raya akan disiarkan secara langsung di SalamSG TV serta laman Facebook MUIS dan masjid-masjid tempatan.

Ibadah Haji bagi rakyat Singapura juga ditangguhkan tahun ini dan 900 umat Islam yang sudah berdaftar secara automatik dijadualkan semula untuk melaksanakannya pada 2021.

2 Jun

Sebanyak 64 masjid merata negara dibuka semula untuk solat Zohor dan Asar, dengan beberapa langkah keselamatan dilaksanakan.

8 Jun

Sebanyak 46 masjid melanjutkan waktu operasi bagi membolehkan kelima-lima waktu solat dapat dikerjakan dalam pekarangannya.

Kambing-kambing korban pula diumumkan tidak akan diterbangkan ke Singapura tahun ini.

Sebaliknya dilaksanakan di Australia.

26 Jun

Solat Jumaat dan solat berjemaah di 66 masjid merata Singapura dibenarkan semula, dengan para jemaah perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu sebelum dibenarkan menunaikan kedua-dua solat tersebut di masjid.

Dengan pemerintah sudahpun menyatakan kesan COVID-19 dijangka menjalar hingga ke tahun depan, keperluan agama Muslim tempatan dijangka terus melalui lebih banyak penyesuaian.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan