Skip to main content

Iklan

Iklan

55% penghuni dormitori Westlite Jalan Tukang lengkap divaksin, disahkan status vaksinasi

Sebanyak 55 peratus pekerja hijrahan di dormitori Westlite Jalan Tukang sudah mengesahkan status vaksinasi mereka atau divaksin terhadap jangkitan COVID-19 setakat Sabtu (16 Okt), menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM). 

Anggaran Waktu Membaca:
55% penghuni dormitori Westlite Jalan Tukang lengkap divaksin, disahkan status vaksinasi

Dormitori Westlite Jalan Tukang pada 13 Okt 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 11:01PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 11:02PM

SINGAPURA: Sebanyak 55 peratus pekerja hijrahan di dormitori Westlite Jalan Tukang sudah mengesahkan status vaksinasi mereka atau divaksin terhadap jangkitan COVID-19 setakat Sabtu (16 Okt), menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Baki 45 peratus pula sedang menantikan pengesahan atau belum menerima Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) mahupun vaksin Prosedur Senarai Kegunaan Darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO EUL), menurut MOM dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Dua vaksin yang diluluskan di bawah PSAR adalah yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna. Kedua-duanya juga adalah dalam kalangan vaksin WHO EUL, yang termasuk AstraZeneca, Johnson & Johnson, Sinopharm, Sinovac serta Covishield.

MOM menyatakan ia juga sudah menggesa pihak majikan supaya memastikan proses pengesahan vaksinasi bagi pekerja hijrahan dilakukan "tepat pada waktunya".

"Selagi proses vaksinasi belum selesai dan rekod vaksinasi dikemas kini dalam Daftar Imunisasi Negara, pekerja hijrahan akan dianggap tidak divaksin bagi Ujian Rutin Berjadual dan tindakan kesihatan awam."

Proses pengesahan itu, yang diperlukan sebelum individu boleh dikenal pasti sebagai lengkap divaksin, boleh mengambil masa sehingga beberapa minggu untuk diselesaikan, tambah MOM.

"SEBAHAGIAN BESAR" TIDAK DIVAKSIN

Kenyataan MOM itu dikeluarkan sehari selepas Ketua Kumpulan Jaminan, Jagaan dan Pendampingan (ACE) MOM, Tung Yui Fai, menyentuh tentang status vaksinasi pekerja di dormitori Westlite Jalan Tukang dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media selepas melawat dormitori tersebut, yang terletak di Jurong.

"Sebahagian besar (daripada mereka) tidak divaksin. Kami sedang bekerjasama dengan pihak majikan untuk menggalak mereka supaya divaksin dengan vaksin-vaksin nasional kita untuk perlindungan terbaik tetapi jika mereka mahu, dengan vaksin yang mereka boleh terima," kata Encik Tung pada Jumaat.

Beliau juga berkata MOM tidak mengerahkan "sumber yang secukupnya" bagi menangani peningkatan kes COVID-19 yang "tidak dijangka" di dormitori itu.

"Ini disebabkan ujian rutin wajib secara besar-besaran oleh pihak majikan ke atas tenaga kerja mereka yang tinggal di dormitori."

SEMUA 1,400 PEKERJA MARIN SEMBCORP DIVAKSIN

Dalam satu kenyataan berasingan pada Sabtu, Sembcorp Marine menyatakan sekitar 1,400 pekerja kini tinggal di Dormitori Westlite Jalan Tukang, yang buat masa ini menempatkan 2,800 pekerja.

Kesemua 1,400 pekerja sudah divaksin di negara asal mereka sebelum tiba di Singapura, menurut syarikat tersebut.

"Sembcorp Marine ingin menekankan bahawa memandangkan 1,400 pekerjanya di dormitori Tukang baru tiba di sini, proses pengesahan vaksinasi mereka sedang berjalan," tambahnya.

Setakat 16 Oktober, status vaksinasi sekitar 43 peratus daripada 1,400 pekerja sudah dikemas kini dalam Daftar Imunisasi Negara, menurut Sembcorp Marine. Daripada 1,400 pekerja itu, 56 peratus sudah menjalani ujian serologi.

Di bawah protokol kesihatan sedia ada, orang ramai termasuk pekerja hijrahan, yang sudah mendapatkan vaksinasi mereka di luar negara, juga dikehendaki menyediakan hasil ujian serologi yang positif daripada penyedia perubatan yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pengesahan.

Vaksinasi juga akan disediakan bagi pekerja yang mana ujian serologinya tidak memenuhi kriteria bagi pendaftaran dalam Daftar Imunisasi Negara. Pekerja akan dibenarkan mengambil suntikan vaksin pilihan mereka termasuk Sinovac dan Sinopharm.

Sembcorp Marine menyatakan ia juga sedang "mendampingi secara aktif" tenaga kerjanya untuk menerangkan kepada mereka tentang proses pendaftaran vaksinasi Singapura dan protokol kesihatan awam.

Dalam kenyataannya pada Sabtu, MOM menyatakan mereka yang sudah menerima vaksinasi COVID-19 di luar negara, termasuk pekerja hijrahan, dikehendaki menjalani proses pengesahan status vaksinasi mereka di Singapura selepas mereka memasuki negara ini, menurut MOM.

"Proses ini mensyaratkan individu untuk menunjukkan bukti dokumen vaksinasi mereka di luar negara dan hasil positif ujian serologi daripada penyedia perubatan yang diluluskan di Singapura."

Individu dianggap sudah divaksin sepenuhnya dua minggu selepas mereka menerima rejimen lengkap vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, Moderna atau WHO EUL.

Individu boleh mendapatkan kemas kini rekod vaksinasi mereka dalam Daftar Imunisasi Negara sebaik sahaja status vaksinasi mereka disahkan, menurut MOM, sambil menambah status vaksinasi akan tertera pada apikasi TraceTogether.

MOM menyatakan ia akan terus bekerjasama dengan pihak majikan bagi proses pengesahan vaksinasi.

"Kami juga akan terus menawarkan vaksinasi yang disediakan di Singapura kepada para pekerja hijrahan dan sangat-sangat menggalakkan mereka supaya mendapatkan vaksinasi jika mereka belum divaksin." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan