Koronavirus

Images
  • sg covid vaccine elderly
    (Gambar: REUTERS)

50% penduduk S'pura lengkap divaksin; 200,000 warga tua belum lagi disuntik

SINGAPURA: Separuh daripada penduduk Singapura sudahpun divaksin sepenuhnya setakat sehingga Isnin (19 Jul) namun masih ada sekitar 200,000 warga tua berusia 60 tahun ke atas yang belum menerima suntikan vaksin.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung memberikan kemas kini itu pada Selasa (20 Jul) semasa satu sidang media yang mengumumkan bahawa Pemerintah menguatkuasakan semula langkah-langkah kawalan jangkitan ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) disebabkan oleh lonjakan pada kes COVID-19 baru-baru ini.

Sebelum ini, pasukan bertindak COVID-19 menarik perhatian bahawa program vaksinasi negara berjalan lebih awal dari jadual. Ia menjangkakan separuh daripada penduduk negara ini akan divaksin sepenuhnya sebelum hujung Julai.

Bagaimanapun, kadar vaksinasi dalam kalangan warga tua masih menimbulkan keprihatinan.

Pada minggu lalu, sejumlah 81 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dijangkiti COVID-19 termasuk 12 yang belum divaksin.

Encik Ong berkata bahawa secara keseluruhannya, sekitar 70 peratus daripada warga tua berusia 70 tahun dan ke atas sudah lengkap divaksin manakala lebih 85 peratus daripada mereka yang berumur antara 60 hingga 69 tahun sudahpun menerima dos kedua vaksin.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa "memerlukan lebih banyak usaha" untuk meningkatkan kadar vaksinasi bagi golongan warga tua berusia 70 tahun ke atas dan sedang berusaha untuk meningkatkan angka tersebut sehingga mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus pada hari-hari mendatang.

“Jadi sekarang kami tahu kami akan mempunyai 75 peratus yang sudah divaksin. Pada minggu-minggu akan datang, jika kami boleh menjangkaui lebih ramai, mungkin kami boleh mencapai 80 hingga 85 peratus."

Encik Ong, yang mempengerusikan bersama pasukan bertindak itu, menekankan bahawa warga emas "berkemungkinan tinggi jatuh sakit teruk sekiranya terjangkit".

Pemerintah sudah menggesa warga emas supaya mendapatkan suntikan vaksin sejak agak lama.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, Kementerian Kesihatan (MOH) sekali lagi menyatakan ia sedang mengerahkan pasukan vaksinasi bergerak ke estet perumahan awam di mana terdapat lebih ramai warga tua yang belum divaksin. Golongan emas ini juga boleh pergi sahaja ke mana-mana pusat vaksinasi untuk janji temu pertama mereka.

Pasukan bertindak itu juga meminta klinik-klinik biasa dan penyedia jagaan asas untuk mendampingi para pesakit lebih tua yang belum divaksin dan memujuk mereka supaya mendapatkan suntikan vaksin.

Encik Ong menegaskan lagi bahawa kadar vaksinasi adalah antara pertimbangan utama di sebalik melaksanakan sekatan-sekatan dalam masyarakat. Satu lagi faktor adalah kapasiti hospital di Singapura yang "mesti dilindungi".

“Apabila ia semakin tertekan atau terlalu padat, ia akan menjadi satu bencana dan ramai orang serta pesakit akan terjejas."

Bukan seperti kelompok KTV yang menyaksikan penularan virus dalam kalangan orang muda dan "sesetengah rangkaian individu", Encik Ong berkata kelompok kes di pasar basah dan pusat penjaja menjejas penduduk daripada "spektrum lebih meluas" termasuk warga tua.

Beliau akur bahawa keputusan untuk menguatkuasakan semula langkah-langkah Fasa 2 daripada Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) akan menjadi "paling tidak menyenangkan bagi industri dan pertubuhan yang terjejas".

“Tetapi kami tahu kami begitu dekat, beberapa minggu untuk mencapai ke satu peringkat di mana kita mempunyai dua pertiga atau lebih ramai daripada penduduk kita yang divaksin sepenuhnya sekitar Hari Kebangsaan (9 Ogos). Kemudian, dapat bergerak dengan lebih tegas ke satu kedudukan yang lebih berdaya tahan terhadap COVID-19," ujarnya.

Semasa sidang media itu, pasukan bertindak tersebut juga ditanya tentang kemungkinan sekolah ditutup.

Menteri Kewangan Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak itu, berkata bahawa Pemerintah akan terus memantau keadaan dengan teliti.

Menarik perhatian bahawa belum terdapat penularan di sekolah sepanjang tempoh lonjakan kes baru-baru ini, beliau berkata bahawa penilaian keseluruhan pihak berkuasa adalah keputusan untuk menguatkuasakan semula langkah-langkah lebih ketat "penting untuk memberi kita masa untuk mempercepatkan program vaksinasi".

Di sekolah-sekolah, "protokol amat tegas dan langkah-langkah pengurusan selamat" dilaksanakan untuk mengurangkan pergaulan dalam bilik darjah selain memastikan tiada penularan dalam sistem sekolah, kata Encik Wong.

“Ini sebabnya mengapa bagi sebahagian besar tempoh pandemik ini, kita dapat terus membuka sekolah, memastikan pembelajaran dapat diteruskan dengan selamat bukan sahaja untuk para pelajar kita tetapi juga buat para pendidik kita."

Menambah bahawa ini adalah "sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh", Encik Wong menegaskan bahawa di seluruh dunia, banyak negara terpaksa menutup sekolah buat jangka masa yang panjang dan kajian menunjukkan bahawa penutupan seumpama itu memberi kesan kepada pembelajaran.

Kesan seperti itu mungkin kekal bersama para pelajar bagi tempoh beberapa waktu sehingga mungkin terdapat "parut kekal" dari segi modal insan, sesuatu yang Singapura cuba sedaya upaya untuk mengelakkannya, kata Encik Wong. 

- TODAY/FZ/fz

Top