Koronavirus

Images
  • jem westgate malls
    Pusat beli-belah JEM dan Westgate (Gambar: Google Street View) 

50 kes COVID-19 terkait kelompok JEM/Westgate, ujian percuma diperluas

SINGAPURA: Kelompok COVID-19 di JEM/Westgate kini bertambah kepada 50 kes setelah enam kes baru dan 40 kes tanpa hubung kait sebelum ini dikaitkan kepada kedua-dua pusat beli-belah itu pada Isnin (24 Mei).

Kelompok itu mempunyai hanya empat kes sehari sebelumnya.

Orang ramai yang mengunjungi pusat beli-belah JEM atau Westgate di Jurong East antara 15 dengan 22 Mei dinasihati oleh Kementerian Kesihatan (MOH) supaya menjalani ujian koronavirus.

Ujian percuma itu sebelum ini ditawarkan kepada mereka yang berada di pusat-pusat beli-belah berkenaan antara 10 dengan 14 Mei.

Kedua-dua pusat beli-belah itu terletak bersebelahan satu sama lain dan dalam jarak perjalanan dekat dari stesen MRT Jurong East.

MOH menyatakan ujian itu diperluaskan "kerana kes-kes tambahan yang dikesan".

Dalam kemas kini berhubung situasi koronavirus di Singapura pada Isnin (24 Mei), MOH menyatakan siasatan mendedahkan bahawa seorang pekerja pembersihan yang bekerja di Park Avenue Rochester mungkin adalah punca kelompok jangkitan JEM dan Westgate kerana beliau berada di Westgate pada 6 Mei.

Ujian itu kini dilanjutkan kepada lebih ramai pengunjung setelah enam lagi kes berkaitan kelompok itu dilaporkan pada Isnin. Ini membawa kepada jumlah keseluruhan 50 kes di sana. Ia adalah kelompok jangkitan masyarakat yang kedua terbesar di Singapura selepas kelompok Lapangan Terbang Changi.

MOH menyatakan orang ramai yang berada di pusat-pusat beli-belah berkenaan pada tarikh-tarikh dinyatakan digalakkan untuk ke pusat saringan daerah atau Klinik Kesediaan Kesihatan Awam Swab dan Hantar Pulang untuk menjalani ujian percuma COVID-19 jika mereka berasa kurang sihat.

Mereka yang berada di kedua-dua pusat beli-belah itu sejak 10 Mei dinasihati supaya memantau kesihatan masing-masing dengan teliti untuk 14 hari dari tarikh kunjungan mereka.

JEM dan Westgate ditutup kepada orang awam untuk dua minggu dari 23 Mei untuk memutuskan sebarang kemungkinan rantaian jangkitan COVID-19 berkaitan dua tempat itu.

Ia akan dibuka semula pada 6 Jun setelah kerja-kerja pembersihan menyeluruh selesai dijalankan di kedua-dua premis.

- TODAY/HA/ha

Top