Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

40 petugas kesihatan M'sia positif COVID-19 meski sudah terima 2 dos vaksin

Seramai 40 petugas kesihatan di Malaysia diuji positif COVID-19 meskipun sudah melengkapkan dua dos vaksinasi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
40 petugas kesihatan M'sia positif COVID-19 meski sudah terima 2 dos vaksin

Petugas kesihatan menerima suntikan vaksin COVID-19. (Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 17 Apr 2021 03:13PM Dikemas Kini : 17 Apr 2021 03:15PM

KUALA LUMPUR: Seramai 40 petugas kesihatan di Malaysia diuji positif COVID-19 meskipun sudah melengkapkan dua dos vaksinasi mereka.

Demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham hari ini (17 Apr).

Menurut Dr Noor Hisham, sembilan daripada mereka dijangkiti setelah lebih dua minggu menerima dos kedua mereka, manakala lagi 31 dijangkiti dalam tempoh kurang dua minggu selepas menerima suntikan dos kedua.

Lagi 142 kesihatan dijangkiti selepas menerima dos pertama, manakala 244 orang pula dijangkiti sebelum menerima vaksin.

"Memang jelas kita masih boleh dijangkiti selepas menerima vaksinasi," kata Dr Noor Hisham menerusi catatan di Facebooknya hari ini. "Tidak ada sesiapapun yang terjamin selamat sehingga semua orang selamat."

Sekalipun demikian, beliau berkata petugas yang sudah diberikan vaksin mengalami simptom COVID-19 yang kurang teruk.

"Walaupun vaksin membawa sedikit harapan dalam perjuangan melawan penyakit tersebut, orang ramai perlu ingat bahawa itu tidak bermakna mereka boleh mengabaikan langkah-langkah kesihatan awam selepas vaksinasi mereka lengkap," kata Dr Noor Hisham.

LEBIH 438,000 ORANG SUDAH DIBERIKAN VAKSIN

Seramai 438,220 orang sudah menerima kedua-dua dos vaksin di bawah fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, menurut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Dalam tempoh yang sama, 687,176 orang sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan dos yang sudah diberikan di negara itu kepada 1,125,396.

Beliau berkata lima negeri yang mencatatkan bilangan terbesar penerima dos pertama ialah Selangor (97,416), Kuala Lumpur (78,086), Sarawak (67,624), Johor (63,295) dan Perak (56,295). 

Lima negeri yang mencatat jumlah tertinggi penerima yang telah melengkapkan dua dos vaksin mereka setakat ini ialah Selangor dengan 63,126 individu,  Perak (48,795), Sabah (43,033), Kuala Lumpur (38,642) dan Sarawak (33,291). 

Mengenai jumlah mereka yang mendaftar untuk program imunisasi itu, Dr Adham berkata setakat Jumaat (16 Apr), seramai 8,902,528 orang atau 36.4 peratus penduduk sudah mendaftar, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,347,091.

Sumber : Bernama/CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan