Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 pasangan Muslim S'pura catat sejarah nikah secara online

Empat pasangan Muslim mencatat sejarah sebagai yang pertama bernikah menerusi kaedah online atau sidang video secara langsung hari ini (20 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Empat pasangan Muslim mencatat sejarah sebagai yang pertama bernikah menerusi kaedah online atau sidang video secara langsung hari ini (20 Mei).

Demikian dedah Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) pada hari ini (20 Mei), pernikahan pertama seumpama itu dibenarkan di Singapura.

BERITAmediacorp bertemu salah satu daripada empat 'pengantin circuit breaker' itu.

PASANGAN MUSLIM PERTAMA NIKAH ONLINE

Segak berbaju putih dan bersongkok hitam bagi hari perkahwinannya itu.

Namun persiapan pengantin lelaki itu bukan pernikahan biasa, kerana beliau, bakal isteri, tok kadi, dan dua saksi semuanya berada di lokasi berbeza - lebih tepat lagi di lima lokasi berbeza!

"Ya Muhammad Fikri Samsuri, aku nikahkan dikau dengan anak kandungku Zuliyana Binte Hamid dengan mas kahwin sebentuk cincin.

"Saya terima nikah Zuliyana Binte Hamid dengan mas kahwin sebentuk cincin.

"Sah? sah."

Dengan sekali lafaz tersebut, Encik Mohd Fikri Samsuri dan pasangannya Cik Zuliyana Hamid, selamat diijabkabulkan siang tadi.

Lebih manis lagi pasangan ini mencatat sejarah sebagai Muslim pertama di Singapura bernikah menerusi kaedah tersebut ekoran 'circuit breaker'.

Mereka sepatutnya bernikah pada 23 April, namun rancangan itu terganggu dek pandemik COVID-19.

Mujurlah, sebuah Rang Undang-Undang diluluskan di Parlimen baru-baru ini membolehkan pernikahan dan pendaftaran bagi kedua-dua perkahwinan sivil dan muslim untuk dilakukan menerusi pautan video.

"Pengalaman saya untuk membaca akad nikah dengan taklid seperti biasa Alhamdulillah saya rasa ada pihak di depan kita itu kita harus bersalaman kan, tapi selain dari itu ucapannya seperti biasa, bezanya ialah orang itu tidak ada di depan kita tapi ada di video jadi pada saya sama," kongsi Encik Fikri.

Isterinya, Cik Zuliyana pula berkongsi pengalaman bernikah secara online itu mengurangkan tekanan di kedua-kedua belah pihak.

Ini terutamanya sekali memandangkan keadaan bapanya sekarang yang kurang sihat.

"Sejujurnya saya memilih untuk melalui pernikahan secara fizikal tapi dalam keadaan ini kita kena buat macam gini punya acara, jadi saya okay dengannya, ia seperti mudah, kita semua berada di lokasi masing-masing dan ia mungkin kurang kerumitan," kongsi beliau dengan BERITA.

SYARAT YANG MESTI DIPENUHI

Bagi memastikan proses pernikahan dapat dijalankan dengan telus terdapat beberapa syarat dan peraturan yang mesti dipenuhi.

"Pertama sekali kami kena pastikan sama ada kedua pengantin, saksi dan wali dapat melihat antara satu sama lain dan juga kami jurunikah dan juga suara mereka semuanya dapat didengar dengan jelas jadi untuk memastikan semua upacan nikah dapat berjalan dengan lancar," kata Ustaz Nor Razak Bakar.

Selain itu, semua pihak yang terlibat khususnya pengantin, saksi dan wali perlu berada di Singapura.

Pihak ROMM kata Ustaz Nor turut bekerjasama dengan badan-badan Pemerintah bagi menjejaki keberadaan mereka.

"Jadi dengan kerjasama tersebut pegawai kami diberikan akses kepada data-data yang boleh kami gunakan untuk kami lihat sama ada orang ini dengan nombor pengenalan begini, sejauh mana perjalanan luar negeri yang mereka ada lakukan dalam tempoh berkenaan, jadi itu yang membantu kami sama ada orang itu masih di luar negeri atau di luar negara,"

FAISHAL: LEBIH 100 PASANGAN CB AKAN BERNIKAH

Turut menyaksikan detik bersejarah itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Faishal Ibrahim.

Beliau kemudian mendedahkan bahawa ramai sebenarnya memilih kaedah pernikahan cara itu meliputi pasangan Muslim dan bukan Muslim.

"Situasi sekarang sangat mencabar namun kita mampu mengatasinya dan cara kita bekerja dan supaya warga Singapura dapat meneruskan apa yang ingin mereka capai dan mengurangkan gangguan kepada kehidupan seharian mereka.

"Hari ini hampir 32 pasangan yang melaksanakan perkahwinan mereka melalui pautan video. Alhamdulillah, ramai yang juga bernikah pada hari ini. Kita menjangkakan dalam tempoh terdekat, lebih dari 100 pasangan akan dikahwinkan dengan cara pautan video," kongsi beliau.
ROMM menyatakan pihaknya sedang menimbangkan untuk melanjutkan pernikahan online walaupun selepas COVID-19, sekiranya mendapat maklum balas yang baik daripada para pasangan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan