Koronavirus

Images

367 budak dijangkiti COVID-19 di S'pura sejauh ini termasuk 172 kes varian Delta

SINGAPURA: Singapura mencatatkan 367 kes pediatrik COVID-19 setakat ini, termasuk 172 kanak-kanak yang dijangkiti varian Delta koronavirus.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Keishatan Janil Puthucheary di Parlimen hari ini (14 Sep).

Secara keseluruhannya, kanak-kanak bawah umur 12 tahun membentuk 0.6 peratus jumlah kes jangkitan tempatan di Singapura, kata Dr Puthucheary dalam respons kepada pertanyaan oleh Anggota Parlimen (AP) Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) dan Encik Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang).

Daripada jumlah kanak-kanak yang dijangkiti, 50 kes berusia sifar hingga satu tahun, 83 berumur antara dua dengan empat tahun, 76 adalah antara lima dengan enam tahun dan 158 berusia antara tujuh dengan 12 tahun.

Tiada seorang pun daripada mereka yang mengalami penyakit teruk sehingga memerlukan bantuan oksigen tambahan atau jagaan ICU, kata Dr Puthucheary.

Kanak-kanak bawah usia 12 tahun buat masa ini tidak layak bagi vaksinasi COVID-19 di Singapura.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian pada 3 September bahawa vaksinasi untuk kanak-kanak itu boleh bermula seawal tahun depan selepas ujian selesai dijalankan dan kelulusan kawal selia diberikan.

HANYA SEGELINTIR BUDAK ALAMI SAKIT TERUK

Secara global, data menunjukkan "bilangan amat rendah" kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 mengalami sakit teruk berbanding orang dewasa, kata Dr Puthucheary hari ini.

Beliau menarik perhatian bahawa peratusan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 yang sakit tenat dan memerlukan jagaan rapi adalah 0.7 peratus di Israel, 0.3 peratus di Korea Selatan dan 0.6 peratus di Perancis.

“Terdapat bukti yang menunjukkan kanak-kanak dengan masalah perubatan sedia ada seperti keadaan metabolik neurologi genetik - iaitu sejenis isu perubatan kompleks - penyakit jantung sejak lahir, obesiti, kencing manis, semput, penyakit paru-paru kronik, penyakit sel sabit atau sistem imun lemah mungkin berisiko lebih tinggi mengalami sakit teruk akibat COVID-19," katanya.

Meskipun tiada penyakit teruk dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 di Singapura, Dr Puthucheary berkata Pemerintah "sedar" tentang kenaikan bilangan kes dalam masyarakat dan lebih ramai kanak-kanak mungkin dijangkiti COVID-19 pada masa akan datang.

Beliau menyenaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengurangkan risiko anak-anak mereka dijangkiti seperti mengekalkan kebersihan diri yang baik, memastikan rumah mereka bersih, terus memakai pelitup sepanjang berada di luar, mengurangkan kegiatan sosial di mana pelitup ditanggalkan atau interaksi sosial yang berpanjangan.

Interaksi seumpama itu membentuk "sebahagian besar" jangkitan, ujar Dr Puthucheary.

“Anggota keluarga juga seharusnya divaksin untuk mengurangkan risiko dijangkiti dan menjangkiti COVID-19 kepada anak."

Kanak-kanak dengan masalah kurang daya tahan imun harus mengambil "langkah-langkah tambahan" seperti mengelakkan tempat sesak dan mengurangkan jumlah pengunjung mereka, tambah beliau.  

- CNA/FZ/fz

Top