Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

34 kes baru COVID-19 dalam masyarakat, termasuk 2 guru prasekolah

Sebanyak 34 kes baru COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan setakat pukul 12.00 tengah hari pada Rabu (19 Mei), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
34 kes baru COVID-19 dalam masyarakat, termasuk 2 guru prasekolah

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 May 2021 05:28PM Dikemas Kini : 20 May 2021 01:28AM

SINGAPURA: Sebanyak 34 kes baru COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan setakat pukul 12.00 tengah hari pada Rabu (19 Mei), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Sebanyak 30 daripada jangkitan dalam masyarakat itu mempunyai hubung kait dengan kes-kes sebelum ini, manakala lagi empat tidak mempunyai kaitan buat masa ini. Dalam kalangan kes-kes itu, 28 sudahpun dikenakan kuarantin lebih awal.

Selebihnya adalah empat kes import yang dikenakan notis jangan keluar rumah sejurus tiba di sini, menurut MOH. Dalam kalangan kes-kes itu, tiga adalah rakyat Singapura atau penduduk tetap yang pulang ke sini.

Tiada kes baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Singapura melaporkan 38 kes baru COVID-19 secara keseluruhan pada Rabu.

Dalam kalangan kes-kes masyarakat yang baru adalah tiga pelajar sekolah rendah dari St Anthony's Canossian, St Stephen's dan White Sands. Terdapat juga satu kes dari Sekolah Menengah Yu Ying dan satu kes dari Singapore Hokkien Huay Kuan Kindergarten.

Dua guru prasekolah - dari Safari House (Lakeside) dan My First Skool di Blok 235 Bukit Panjang - turut dijangkiti.

KAKITANGAN HOSPITAL ALEXANDRA ANTARA KES TANPA KAITAN

Empat jangkitan COVID-19 dalam masyarakat yang tidak terkait dengan mana-mana kes sebelum ini adalah: Seorang lelaki warga Singapura berusia 45 tahun yang bekerja sebagai kakitangan penghantaran di Fairfield Book Publishers Pte Ltd, seorang wanita Singapura berumur 24 tahun yang bertugas sebagai penolong jagaan asas di Hospital Alexandra, seorang lelaki berusia 28 tahun yang bertugas sebagai jurutera di Patec Ptd Ltd dan seorang lelaki warga Singapura berumur 45 tahun yang sudah selesai vaksinasi dan merupakan Duta Jarak Selamat yang dikerahkan di Westgate.

Kesemua mereka mengalami simptom seperti batuk, demam dan sakit badan sebelum diuji positif COVID-19.

KELOMPOK LAPANGAN TERBANG CHANGI BERTAMBAH

Tujuh lagi kes berhubung kait dengan kelompok di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

Tiga adalah pelajar sekolah rendah: Seorang rakyat berusia 12 tahun dari Sekolah Rendah White Sands, seorang rakyat berumur 11 tahun dari Sekolah St Stephen's dan seorang rakyat berusia 12 tahun dari Sekolah Rendah St Anthony's Canossian. Kesemua murid itu adalah anggota keluarga dan kontak isi rumah kepada kes-kes yang disahkan positif sebelum ini.

Kes-kes lain yang terkait dengan kelompok Lapangan Terbang Changi adalah seorang warga Filipina berusia 31 tahun yang bekerja sambilan sebagai anggota kakitangan pelayan di
Nana's Green Tea di DUO Galleria, seorang warga China berumur 33 tahun yang merupakan pegawai pemeriksaan di AFPD, seorang rakyat berusia 46 tahun yang bekerja sebagai jurulatih renang dan seorang warganegara berusia 62 tahun yang bertugas sebagai atendan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

Kesemua kes ini juga adalah anggota keluarga dan kontak isi rumah kepada jangkitan yang disahkan positif sebelum ini.

LAGI KES BARU TERKAIT KELOMPOK LEARNING POINT

Tiga lagi kes dikaitkan dengan kelompok pusat tuisyen Learning Point.

Terdapat seorang penduduk tetap berusia enam tahun yang belajar di Singapore Hokkien Huay Kuan Kindergarten. Budak lelaki itu adalah anggota keluarga dan duduk serumah dengan satu kes yang disahkan positif sebelum ini - seorang penduduk tetap berumur lapan tahun yang merupakan pelajar di Sekolah Rendah Yu Neng.

Seorang penduduk tetap berusia 39 tahun yang bekerja sendiri dan seorang pesara Singapura berumur 69 tahun yang sudahpun menerima suntikan vaksin turut terkait kepada kelompok itu.

KELOMPOK KOMPLEKS PENJARA CHANGI

Tiga kes baru berhubung kait dengan Penjara Changi sudahpun dikuarantin awal dari ini. Mereka adalah banduan rakyat Singapura, berusia 28, 46 dan 56 tahun. Kesemua mereka merupakan kontak rapat kepada kes disahkan positif sebelumnya, dikenali sebagai Kes 63160 - seorang warga China berusia 39 tahun yang digajikan oleh Perkhidmatan Makanan SATS sebagai seorang tukang masak di Kompleks Penjara Changi.

KES-KES BERHUBUNG KAIT KELOMPOK BERBEZA

Satu lagi kes yang sudahpuin dikuarantin terkait dengan kelompok pembahagi kad di Kasino Marina Bay Sands (MBS).

Kes 63439 adalah rakyat Malaysia berusia 32 tahun yang bekerja sebagai seorang pembahagi kad di kasino. Beliau adalah kontak rapat kepada dua kes yang disahkan positif sebelum ini.

Seorang pembantu rumah warga Filipina berusia 39 tahun dikesan kepada kelompok yang berhubung kait dengan satu kes disahkan sebelum ini - seorang lelaki Singapura berumur 53 tahun yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Wanita Filipina itu juga adalah kontak isi rumah kepada seorang lagi pembantu rumah yang sebelum ini diuji positif COVID-19,

Dalam kalangan kes berhubung kait itu adalah seorang penduduk tetap berusia 39 tahun. Beliau adalah seorang guru prasekolah di Safari House (Lakeside) dan terkait dengan Kes 63290 - seorang penduduk tetap berumur 64 tahun yang kini sedang menganggur.

LIMA KELOMPOK BARU

Lima kelompok baru dikenal pasti pada Rabu. Pertama berhubung kait dengan syarikat Jin Tai Tong Food Industries - seorang penolong gedung di pusat perubatan Cina Jin Tai Tong Chinese dan seorang penolong gedung di Jin Tai Tong Food Industries - adalah kontak di tempat kerja kepada satu kes yang disahkan sebelum ini - seorang rakyat Singapura berusia 55 tahun yang bekerja sebagai penolong gudang di Jin Tai Mart.

Satu kelompok terkait dengan Sms Infocomm (Singapore) kini mempunyai tiga jangkitan keseluruhannya. Seorang wanita Malaysia berusia 29 tahun yang bekerja di sana dikaitkan kepada kelompok itu pada Rabu. Beliau adalah kontak rapat kepada satu kes disahkan positif sebelum ini, yang juga bekerja di syarikat itu.

Kelompok baru yang ketiga berhubung kait dengan seorang warga Singapura berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pereka lelaman digital. Seorang rakyat Singapura berusia 65 tahun yang bekerja di SP Trading dan seorang suri rumah warganegara berumur 64 tahun mempunyai hubung kait dengan lelaki berkenaan.

Kelompok keempat meliputi tiga kes baru yang berhubung kait dengan seorang suri rumah rakyat Singapura berusia 77 tahun. Kes-kes baru itu adalah seorang rakyat berusia 15 tahun yang belajar di Sekolah Menengah Yu Ying, seorang pembantu rumah warga Filipina berusia 44 tahun dan seorang warganegara berumur 48 tahun yang bertugas sebagai pegawai logistik di Ceva Logistics.

Kelompok selebihnya berhubung kait dengan seorang warganegara berusia 22 tahun yang bekerja di Invade dan disahkan positif COVID-19 sebelum ini. Kes baru yang terkait dengannya adalah seorang rakyat berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

KES-KES BERHUBUNG KAIT LAIN

Kes-kes berhubung kait lain yang dilaporkan pada Khamis termasuk seorang guru prasekolah di My First Skool (235 Bukit Panjang), seorang paderi di gereja Hearts Alive Church, seorang jurutera perisai di M-DAQ, seorang suri rumah dan seorang pramugari di Jetstar Asia Airways.

KENAIKAN DALAM KES MASYARAKAT

MOH menyatakan jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat kepada 187 kes pada minggu lalu daripada 49 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tidak berhubung kait dalam masyarakat juga naik kepada 49 kes pada minggu lalu daripada sembilan kes pada minggu sebelumnya.

Dalam kalangan 270 kes yang disahkan positif dari 13 Mei hingga 19 Mei, 77 daripadanya diuji positif bagi ujian serologi mereka manakala 163 diuji negatif. Hasil ujian serologi bagi lagi 30 kes masih ditunggu.

Lagi 49 kes dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan keseluruhan jumlah kes pulih di sini seramai 61,183.

Sebanyak 221 kes masih dirawat di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih dan lima berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Lagi 254 kes sedang menjalani pengasingan dan dirawat di kemudahan masyarakat. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan