Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 Masjid tempatan 'turun padang' bakar semangat para pekerja jagaan kesihatan perangi COVID-19

Bukan satu, tetapi tiga masjid tempatan tampil ke depan minggu ini untuk menyokong para pekerja jagaan kesihatan yang hebat berjuang menentang virus COVID-19 di Singapura. Ia malah dilakukan dengan kerjasama badan-badan agama lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bukan satu, tetapi tiga masjid tempatan tampil ke depan minggu ini untuk menyokong para pekerja jagaan kesihatan yang hebat berjuang menentang virus COVID-19 di Singapura. Ia malah dilakukan dengan kerjasama badan-badan agama lain.

Di Poliklinik Jurong, 200 paket nasi tomato datang 'mengetuk' pintunya pada tengah hari tadi (20 Feb). Ia dibawa Masjid Assyakirin demi menyuntik semangat kepada para pekerja jagaan kesihatan di sana.

Mentelah lagi, semalam (20 Feb) Kementerian Kesihatan mengesahkan kes ke-82 COVID-19 ialah seorang wanita Singapura berusia 57 tahun, yang berjumpa doktor di poliklinik berkenaan. Langkah berjaga-jaga di institusi perubatan itu kini diperhebat lagi.

(Gambar-gambar: Masjid Assyakirin) 

Usaha murni Masjid Assyakirin dijalankan secara bersama dengan Kuil Bo Tien, Gereja Presbyterian Calvary Bible dan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Taman Jurong.

Selain makanan, nota-nota penghargaan dengan kata-kata seperti 'Don't Give Up' atau 'Jangan Menyerah' ditulis murid-murid tadika masjid, juga disampaikan kepada pihak Poliklinik Jurong.

Ucapan-ucapan para sukarelawan IRCC turut dijadikan poster bagi para wira kesihatan poliklinik itu.

Kos makanan adalah sekitar S$7.50 sebungkus dan ia ditampung pihak masjid dan Restoran Ayza.

"Apa yang kita boleh tolong, saya tolong. Saya siapkan makanan tengah hari, saya taja wira kita," kata Pemilik Restoran Ayza, Encik Jainalabudeen Abdul Malik, yang tidak teragak-agak bersetuju menaja 100 paket makanan apabila Masjid Assyakirin mengutarakan idea bagi inisiatif itu.

COVID-19 WAKTU TONJOL JATI DIRI BAIK

Mengulas tentang kerjasama di tengah-tengah virus COVID-19 ini, Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, Ustaz Muhd Hafiz Abdul Rashid percaya, penting bagi masyarakat Melayu/Islam menonjolkan keperibadian agama kita.

Masjid Assyakirin antara tiga masjid yang menjalankan inisiatif bakar semangat pekerja barisan hadapan jagaan kesihatan. (Gambar fail: Masjid Assyakirin) 

"Dalam waktu kita diuji dengan COVID-19 ini, ia adalah satu perkara yang sangat penting untuk kita menonjolkan keluhuran ajaran agama Islam itu sendiri yang penuh dengan dan rahmah," jelasnya.

Inisiatif dipimpin masjid, tambah Ustaz Hafiz, satu contoh untuk menonjolkan jati diri rakyat Singapura sebagai sebuah keluarga, masyarakat dan negara yang bersatu padu.

200 paket makanan yang dibawa Masjid Assyakirin itu, diterima oleh Timbalan Ketua Poliklinik Jurong, Dr Benjamin Cheah.

"Ini benar-benar akan membakar semangat rakan-rakan kerja saya di sini dalam usaha melawan COVID-19. Sejak COVID-19 dan tahap amaran DORSCON dinaikkan ke jingga, ramai pekerja kami bekerja lebih keras, terutama sekali dengan adanya banyak perubahan yang dijalankan," kata Dr Cheah.

Namun Dr Cheah memberi jaminan, pasukannya di Poliklinik Jurong "tahu akan tugas masing-masing dan sedang menyesuaikan diri dengan baik sekali" walaupun ada juga cabaran-cabaran lain seperti rasa kurang selesa apabila perlu memakai kelengkapan pelindung diri ketika bertemu pesakit yang mengalami demam atau flu.

MASJID AL-AMIN BAKAR SEMANGAT DENGAN NOTA PENGHARGAAN, 200 SNEK SIHAT

Hari ini (20 Feb), Masjid Al-Amin juga memberikan nota-nota penghargaan kepada kakitangan Hospital Masyarakat Outram (OCH) - sebuah institusi di bawah pengurusan Hospital Masyarakat SingHealth.

(Gambar-gambar: Masjid Al-Amin)

Nota-nota dari hati ke hati itu ditulis sendiri oleh para pelajar kelas aLIVE Masjid Al-Amin. Ia disertakan dengan 200 bungkusan minuman vitamin C dan snek bijirin.

Hadiah simbolik tersebut diberikan atas dedikasi para jururawat dan kakitangan perubatan hospital tersebut, sekali gus ibarat mengenang budi para jururawat SGH yang menyediakan khidmat percuma kepada para jemaah masjid itu pada setiap Jumaat, dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Sesi percuma itu bahkan dibuka kepada sesiapa sahaja yang tinggal berdekatan dengan Masjid Al-Amin, di kawasan kejiranan Telok Blangah.

Pemberian Masjid Al-Amin diterima Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Khidmat Klinikal) Hospital-Hospital Masyarakat SingHealth, Prof Wong Kok Seng.

MASJID AL-MAWADDAH JUGA TURUN PADANG

Pada Sabtu (22 Feb) pula, satu usaha serupa akan dijalankan Masjid Al-Mawaddah, di bawah satu kerjasama antara IRCC dan badan-badan agama di Sengkang Central dan Punggol.

(Gambar: Masjid Al-Mawaddah)

Antara badan agama di bawah kerjasama tersebut termasuk Kuil Arulmigu Velmurugan Gnanamuneeswarar, Gereja Jesus Christ of Latter-Day Saints, Kuil Chong Ghee Temple, dan Chong Hua Tong Tou Teck Hwee.

Mereka akan memberikan minuman dan nota-nota penghargaan kepada para kakitangan barisan hadapan Hospital Besar Sengkang.

Yang pasti, usaha murni dijalankan ketiga-tiga masjid itu bukan sahaja menolak diskriminasi terhadap kakitangan jagaan kesihatan tetapi juga menunjukkan betapa rakyat Singapura bersatu padu dalam menangani COVID-19.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan