Virus Korona

Images
  • gan
    Menteri Kesihatan Gan Kim Yong. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

3 kes baru COVID-19 di S'pura, termasuk pekerja DBS, 2 anggota gereja

SINGAPURA: Singapura mempunyai tiga kes baru penyakit virus korona COVID-19, menurut pengarah khidmat perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak dalam satu sidang media pada Rabu (12 Feb).

Dua pesakit dikaitkan dengan gereja Grace Assembly of God, dan seorang lagi pekerja di bank DBS di Pusat Kewangan Marina Bay. Ketiga-tiga kes tiada sejarah perjalanan ke China.

Kes-kes baru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan di Singapura sebanyak 50.

Dua pesakit yang dikaitkan dengan gereja telah mengunjungi kedua-dua gereja Grace Assembly of God di Tanglin dan Bukit Batok, menurut Profesor Mark.

Dalam pada itu sehingga Rabu, enam lagi orang yang didapati menghidap penyakit itu sudah sembuh dan dibenarkan pulang. Ini menjadikan jumlah mereka yang sudah sembuh kepada 15. Mereka adalah kes 4, 12, 25, 29, 34 dan 40.

Daripada 35 kes yang masih di hospital, lapan berada dalam Unit Jagaan Rapi (ICU) dan dalam keadaan kritikal.

Menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong meskipun terdapat pesakit yang dalam keadaan stabil dan beransur pulih daripada jangkitan virus itu, mungkin pula akan ada pesakit yang maut akibatnya. 

"Kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi keadaan yang lebih teruk," katanya.

Encik Gan merayu kepada rakyat supaya tidak meminggirkan pekerja jagaan kesihatan, yang berada di barisan hadapan bagi menjaga pesakit. Beliau menggesa agar golongan pekerja itu diberi sokongan setinggi-tingginya.

Pada Rabu, DBS menyatakan seorang pekerjanya dijangkiti virus COVID-19, sekali gus mendorong bank tersebut untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk meminta pekerjanya di pejabat Pusat Kewangan Marina Bay yang terjejas supaya bekerja dari rumah.

Bank tersebut juga sedang berusaha mengesan semua pekerja dan mereka yang mungkin berhubung rapat dengan individu yang dijangkiti COVID-19. 

- CNA/NA/na

Top