Skip to main content

Iklan

Iklan

2 warga lanjut usia maut akibat COVID-19; angka korban cecah 49 mangsa

Seorang wanita berusia 91 tahun dan seorang lelaki berumur 87 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, menjadikannya kematian ke-11 dan ke-12 pada bulan Ogos angkara jangkitan koronavirus di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
2 warga lanjut usia maut akibat COVID-19; angka korban cecah 49 mangsa

Gambar: AFP

Diterbitkan : 22 Aug 2021 10:56PM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 07:50AM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 91 tahun dan seorang lelaki berusia 87 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, masing-masing menjadi kematian ke-11 dan ke-12 akibat koronavirus di Singapura pada Ogos.

Wanita berusia 91 tahun itu meninggal dunia pada Sabtu (21 Ogos), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (22 Ogos). Beliau belum diberi vaksin COVID-19 dan mempunyai sejarah penyakit ginjal kronik, penyakit jantung, darah tinggi, hiperlipidemia dan hiperparatiroidisme.

Penduduk tetap itu, yang dikenali sebagai Kes 67456, dilaporkan sebagai satu kes pada 3 Ogos. Beliau mengalami gejala pada 30 Julai dan dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit setelah diuji positif koronavirus.

Lelaki warga Singapura berusia 87 tahun, yang dikenali sebagai Kes 67630, belum selesai menerima vaksin COVID-19 dan meninggal dunia pada Ahad. Beliau mempunyai sejarah penyakit barah, kencing manis mellitus, darah tinggi dan hiperlipidemia, jelas MOH.

Jangkitannya dilaporkan pada 4 Ogos, ketika beliau dibawa ke Hospital Universiti Nasional bagi masalah kesihatan yang tidak berkaitan. Oleh kerana beliau bergejala, beliau menjalani ujian COVID-19 dan keputusannya kembali positif.

Setakat Ahad, 49 orang sudah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di Singapura.

29 KES TEMPATAN BARU

Singapura melaporkan 29 jangkitan baru tempatan COVID-19 setakat tengah hari Ahad, termasuk 17 yang tidak berhubung kait dengan kes-kes sebelumnya.

Sembilan jangkitan dikaitkan dengan kes sebelumnya dan sudah dikuarantin, menurut MOH. Lagi tiga jangkitan dikesan melalui ujian pengawasan.

Antara-antara kes baru itu, salah satu berusia lebih 70 tahun dan belum selesai diberi vaksin, dan berisiko mengalami penyakit serius, menurut MOH.

Terdapat juga enam kes import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sejurus ketibaan. Lima jangkitan dikesan sebaik ketibaan sementara satu jatuh sakit semasa tempoh SHN atau pengasingan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 35 kes COVID-19 baru pada Ahad.

2 KELOMPOK BARU

Dua kelompok baru jangkitan dilaporkan pada Ahad, kedua-duanya mempunyai tiga kes. MOH tidak mendedahkan sebarang perincian lanjut mengenai kelompok-kelompok tersebut. Sementara itu, enam lagi kelompok ditutup, menjadikan jumlah kelompok aktif di Singapura sebanyak 72.

MOH menyatakan bahawa jumlah kes baru dalam masyarakat sudah berkurangan daripada 354 kes pada minggu sebelumnya kepada 240 kes pada minggu lalu.

Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat meningkat daripada 92 kepada 93 kes sepanjang tempoh yang sama.

TUJUH DALAM KEADAAN KRITIKAL

Sebanyak 346 kes berada di hospital, dedah MOH. Tujuh kes berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi dan 22 kes penyakit serius memerlukan bantuan oksigen.

Dalam kalangan mereka yang mengalami sakit teruk, 23 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun, di mana 18 daripada mereka belum divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, menurut MOH.

"Terdapat bukti berterusan bahawa hampir kesemua individu yang divaksin sepenuhnya tidak mengalami penyakit serius jika dijangkiti, kecuali jika mereka mempunyai keadaan perubatan sedia ada yang membuat mereka lebih terdedah kepada risiko," Kementerian Kesihatan menekankan.

Selama 28 hari lalu, peratusan kes yang belum divaksinasi yang jatuh sakit teruk atau meninggal dunia adalah 8.6 peratus, berbanding 1.7 peratus dalam kalangan mereka yang sudah selesai divaksinasi.

78% LENGKAP DIVAKSINASI

Setakat Sabtu, 78 peratus penduduk Singapura sudah selesaikan rejimen penuh atau menerima dua dos vaksin COVID-19, sementara 82 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Lebih 8.5 juta dos sudah diagihkan di bawah program vaksinasi nasional, merangkumi 4,475,214 orang, di mana 4,232,803 sudah menyelesaikan rejimen penuh.

Tambahan lagi, 159,204 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sudah diberikan, meliputi 84,530 orang.

Sumber : CNA/SM/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan