Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 rakyat tempatan, 1 PR S'pura pulang dari India antara 169 kes baru COVID-19

Singapura melaporkan 169 kes baru COVID-19 setakat sehingga 12.00 tengah hari pada Jumaat (3 Jul), termasuk 11 kes dalam masyarakat dan tiga kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Anggaran Waktu Membaca:
2 rakyat tempatan, 1 PR S'pura pulang dari India antara 169 kes baru COVID-19

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Jul 2020 12:42AM Dikemas Kini : 04 Jul 2020 12:46AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 169 kes baru COVID-19 setakat sehingga 12.00 tengah hari pada Jumaat (3 Jul), termasuk 11 kes dalam masyarakat dan tiga kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Ini menjadikan jumlah terkumpul di Singapura sebanyak 44, 479 kes.

Dalam kalangan kes baru dalam masyarakat, seorang daripada mereka adalah rakyat Singapura, dua penduduk tetap, tiga pemegang pas kerja dan lima pemegang permit kerja.

Dua rakyat Singapura dan seorang penduduk tetap yang baru pulang dari India pada 21 Jun membentuk tiga kes import baru.

Mereka sudahpun diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya di Singapura dan dibawa ke kemudahan pengasingan untuk memulakan notis 14 hari. Mereka tidak menunjukkan gejala apabila tiba di Singapura dan diuji ketika sedang menjalani SHN.

Sebanyak 155 daripada kes baru yang dilaporkan pada Jumaat adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing, tambah MOH. Tiada kelompok baru dikenal pasti.

TIGA TEMPAT BARU MASUK SENARAI

Tiga tempat awam baru ditambah ke dalam senarai lokasi yang dikunjungi kes disahkan positif COVID-19 semasa tempoh berjangkit: SAFRA Tampines, Kamala Restaurant di Buffalo Road dan Dewan Sukan Yio Chu Kang.

Berikut adalah senarai penuh:

Para individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes-kes yang disahkan itu sudahpun dimaklumkan oleh MOH.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berada di lokasi-lokasi berkenaan pada waktu yang disebutkan perlu memantau rapi kesihatan mereka selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka, tambah kementerian itu.

"Mereka harus segera berjumpa doktor jika mereka mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (seperti batuk, sakit tekak dan hidung berair), serta demam dan kehilangan deria rasa atau bau, dan memberitahu doktor mengenai sejarah bagaimana mereka terdedah."

Orang ramai tidak perlu mengelakkan tempat-tempat yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19 yang disahkan, tekan MOH.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan melibatkan pihak pengurusan premis yang terjejas untuk memberi panduan mengenai pembersihan dan pembasmian kuman, tambahnya.

LAGI 340 PESAKIT DIBENARKAN PULANG

MOH menyatakan lagi 340 kes COVID-19 dibenarkan keluar hospital atau dibenarkan pulang dari kemudahan pengasingan masyarakat.

Secara keseluruhannya, 39,769 pesakit sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Kini terdapat 223 kes disahkan positif yang masih dirawat di hospital. Daripada jumlah itu, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih dengan satu kes berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi, menurut MOH.

Sejumlah 4,461 diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

MOH menyatakan pada Khamis ia sudah meletakkan 58 keluarga yang menetap d Blok 111 Tampines Street 11 di bawah pengawasan aktif dan sedang membantu dengan ujian COVID-19 bagi mereka serta tetamu mereka.

Daripada 85 ujian yang sudah dijalankan setakat ini, semua keputusan adalah negatif COVID-19, tambah MOH.

Singapura kini berada di Fasa 2 selepas tempoh 'circuit breaker' hampir dua bulan untuk membendung penularan COVID-19.

Sedang lebih banyak kegiatan disambung semula, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata pada Khamis baahwa peningkatan pada jumlah purata kes baru COVID-19 dalam masyarakat setiap hari "bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan". 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan