Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pelajar Madrasah Al-Maarif diuji positif COVID-19

Dua orang pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah diuji positif bagi jangkitan COVID-19. Perkembangan itu disampaikan oleh pihak berkuasa kepada madrasah tersebut semalam (19 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua orang pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah diuji positif bagi jangkitan COVID-19. Perkembangan itu disampaikan oleh pihak berkuasa kepada madrasah tersebut semalam (19 Mei).

Bagaimanapun kedua-dua pelajar berkenaan kali terakhir datang ke sekolah masing-masing pada 4 Mei dan 7 Mei. Sejak tarikh tersebut, kedua-dua pelajar "tidak berada di sekolah mahupun berinteraksi dengan rakan-rakan sekelas", menurut madrasah tersebut.

“Madrasah Al-Maarif akan menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman secara menyeluruh.”

Demikian menurut satu pemberitahuan menerusi surat bertarikh 19 Mei 2021 yang dikirimkan Madrasah Al-Maarif kepada para ibu bapa pelajar-pelajarnya. Salinan surat dilihat sendiri oleh BERITAmediacorp.

Namun, tidak jelas sama ada kedua-dua pelajar yang positif COVID-19 itu adalah pelajar dari peringkat rendah, menengah atau prauniversiti. Madrasah tersebut mempunyai lebih 600 pelajar kesemuanya.

"Kami mahu memberi jaminan bahawa madrasah mempunyai jadual kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang kerap serta mematuhi sepenuhnya langkah-langkah jarak selamat dan pengurusan selamat mengikut garis panduan oleh MOH (Kementerian Kesihatan) dan MOE (Kementerian Pendidikan), demi memastikan sekitaran selamat untuk para pelajar kami," menurut Madrasah Al-Maarif menerusi surat itu.

Ia juga menggesa para ibu bapa dan pelajar supaya "kekal tenang" dan terus memastikan tahap tinggi kebersihan peribadi dan segera berjumpa doktor jika kurang sihat. Ia juga menggesa para ibu bapa supaya memantau rapi kesihatan anak-anak dan menjaga jarak selamat.

“Kami akan terus menghubungi anda dan memberikan sebarang sokongan dan bantuan yang diperlukan,” menurut Madrasah A-Maarif lagi kepada para waris pelajarnya.

BERITAmediacorp sudah menghubungi pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk mendapatkan perincian lanjut. Menjawab, MUIS menyatakan ia tiada ulasan lanjut buat masa ini.

“…Madrasah sudah mengambil langkah-langkah yang diperlukan sebagaimana diperlukan dan disarankan oleh MOH dan MOE,” menurut MUIS.

Kami juga sudah menghubungi Madrasah Al-Maarif untuk mendapatkan komen lanjut, namun belum lagi mendapat jawapan buat masa ini sehingga artikel ini diterbitkan.

Sungguhpun demikian, menerusi satu pemberitahuan menerusi laman Facebooknya lewat malam semalam, Madrasah Al-Maarif menyatakan premis sekolah itu akan ditutup kepada awam pada Khamis (20 Mei) dan Jumaat (21 Mei).

“Kami akan menyambung semula operasi pada Isnin, 24 Mei 2021,” menurut catatan tersebut.

Para pelajar Madrasah Al-Maarif juga sudah memulakan cuti sekolah pertengahan tahun seminggu lebih awal berbanding madrasah-madrasah dan sekolah-sekolah lain. Namun ia juga akan dibuka seminggu lebih awal pada bulan Jun nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan