Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 Pelajar Al-Maarif positif COVID-19 terkait kelompok Terminal 3 Lapangan Terbang Changi

Dua pelajar Al-Maarif adalah kontak serumah Kes 63347 - iaitu seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di EuHabitat.

Anggaran Waktu Membaca:
2 Pelajar Al-Maarif positif COVID-19 terkait kelompok Terminal 3 Lapangan Terbang Changi

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 21 May 2021 01:08AM Dikemas Kini : 21 May 2021 01:16AM

SINGAPURA: Dua pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah yang diuji positif COVID-19 pada Rabu (19 Mei) terkait kelompok Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

Dua pelajar itu masing-masing berusia 14 tahun dan lapan tahun, adalah kontak serumah Kes 63347 - iaitu seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di EuHabitat dengan syarikat Clean Hub Facility Pte Ltd dan diuji positif pada 16 Mei lalu.

Pelajar berusia 14 tahun itu kali terakhir ke sekolah pada 7 Mei dan dikuarantin pada 16 Mei. Dia mula mengalami batuk pada 18 Mei dan diuji bagi COVID-19 apabila melaporkan simptomnya.

Keputusan ujiannya positif pada 19 Mei. Keputusan ujian serologinya masih ditunggu.

Pelajar berusia lapan tahun itu pula kali terakhir ke sekolah pada 4 Mei.

Dia juga dikuarantin pada 16 Mei dan diuji bagi COVID-19 pada 18 Mei semasa dalam kuarantin dan keputusannya positif pada 19 Mei. Keputusan ujian serologinya masih ditunggu.

Satu lagi kes yang merupakan kontak serumah dengan Kes 63347 serta kedua-dua pelajar itu adalah Kes 63459 - iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 63 tahun yang bekerja dengan Certis Cisco sebagai pegawai keselamatan penerbangan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

Dia tidak bergejala dan dikesan semasa menjalani ujian rutin berjadual (RRT) pada 16 Mei. Pada hari yang sama juga dia dikenal pasti sebagai kontak serumah Kes 63347 dan dikuarantin. Keputusan ujian berkumpulannya positif COVID-19 pada 17 Mei.

Keputusan ujian individunya yang dijalankan pada 18 Mei pula positif COVID-19 pada 19 Mei.

Keputusan ujian serologinya negatif bagi antigen N, yang bermakna terdapat jangkitan awal.

Pegawai keselamatan penerbangan itu sudahpun menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 21 Januari dan dos kedua pada 14 Februari.

Seorang wanita berusia 43 tahun, Kes 63464, yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran di Glory Ship Management Pte Ltd juga terkait kelompok Terminal 3.

Kali terakhir dia ke tempat kerja adalah pada 7 Mei.

Dia merupakan keluarga dan kontak serumah Kes 63146 - iaitu seorang lelaki warga Singapura yang bekejra sebagai pemandu GoJek, yang mengunjungi Terminal 3 pada 6 Mei dan kemudian diuji positif pada 12 Mei.

KELOMPOK LEARNING POINT

Seorang wanita Singapura berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pegawai khidmat guaman di Suruhanjaya Khidmat Guaman merupakan kontak serumah Kes 63400 - iaitu pelajar tujuh tahun dari Sekolah Rendah CHIJ (Katong).

Wanita itu dikuarantin pada 17 Mei dan kemudian mengalami selesema dan sengal-sengal badan pada 18 Mei dan diuji bagi COVID-19 apabila melaporkan simptomnya.

Keputusannya positif COVID-19 pada 19 Mei. Keputusan ujian serologinya pula negatif.

Dia sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 19 April dan dos kedua pada 10 Mei.

KELOMPOK PENJARA CHANGI

Seorang banduan lelaki Singapura berusia 41 tahun di Kompleks Penjara Changi merupakan kontak rapat Kes 63160 - iaitu cef warga China di penjara itu.

Banduan itu dikuarantin pada 13 Mei dan diuji bagi COVID-19 pada hari yang sama. Namun keputusannya negatif.

Dia kemudian mengalami selesema, sakit tekak, sakit kepala dan sengal badan pada 19 Mei dan sekali lagi diuji. Kali ini, keputusannya positif. Keputusan serologinya negatif.

KELOMPOK JIN TAI FONG FOOD INDUSTRIES

Seorang warga China berusia 32 tahun, penolong gudang di Jin Tai Tong, adalah kontak Kes 63271 - iaitu penolong gudang Jin Tai Mart yang disahkan positif pada 15 Mei.

Lelaki warga China itu dikuarantin ada 15 Mei lalu dan mula demam pada 17 Mei. Dia diuji bagi COVID-19 pada 18 Mei dan keputusannya positif pada 19 Mei.

Lagi dua kes dalam kelompok yang sama dikesan menerusi pemantauan.

Seorang wanita Singapura berusia 53 tahun yang bekerja sebagai penolong membungkus barang di Jin Tai Mart mengalami gatal tekak pada 11 Mei tetapi tidak berjumpa doktor. Dia dikesan semasa menjalankan ujian pada 18 Mei sebagai sebahagian daripada operasi ujian ke atas mereka yang mengunjungi What Sands.

Keputusannya positif pada 19 Mei dan pada hari yang sama dia mengalami cirit-birit.

Dia sudahpun menerima dos pertama vaksin pada 9 Mei.

Seorang lagi pekejra Jin Tai Mart, iaitu seorang lelaki China berusia 40 tahun tidak bergejala. Dia dikesan semasa menjalani ujian pada 19 Mei dan keputusannya positif pada hari yang sama. Keputusan ujian serologinya masih ditunggu.

KELOMPOK SMS INFOCOMM

Seorang wanita Singapura 49 tahun yang bekerja sebagai operator kilang di Sms Infocomm (Singapore) adalah kontak rapat Kes 632736 - warga Malaysia 54 tahun yang juga bekerja di syarikat sama dan disahkan positif pada 15 Mei.

Wanita Singapura itu mengalami sakit tekak pada 16 Mei dan berjumlah doktor pada 17 Mei. Pada hari yang sama dia dikuarantin. Keputusan ujiannya positif pada 19 Mei.

KELOMPOK JURUTERA IT ABBVIE OPERATIONS

Berikut ini kes-kes baru terkait kes seorang jurutera IT di syarikat AbbVie Operations Singapore.

Seorang pekerja pembersihan warga Singapura 60 tahun yang digajikan oleh Jonguil Asia Cleaning dan dikerahkan ke The Cascadia. Dia sudah dikuarantin pada 17 Mei namun tidak bergejala dan diuji bagi COVID-19 pada 18 Mei semasa kuarantin. Keputusannya positif pada 19 Mei.

Seorang pengawal keselamatan White Guard Security, berusia 59 tahun, yang juga sudah dikuarantin pada 17 Mei. Dia diuji bagi COVID-19 pada 18 Mei dan keputusannya positif pada 19 Mei. Pada hari yang sama dia mengalami demam.

Teknisyen warga Singapura, 33 tahun, yang bekerja dengan PSA Singapore (Terminal Tanjong Pagar). Dia dikuarantin pada 16 Mei dan tidak bergejala. Dia diuji bagi COVID-19 pada 18 Mei dan keputusannya positif pada 19 Mei. Dia sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 18 Mac dan dos kedua pada 8 April.

Seorang wanita Singapura, 32 tahun, yang bekerja di Klinik Etern Medical (MRT Punggol), yang dikuarantin oada 16 Mei. Dia tidak bergejala dan dikesan semasa menjalani ujian COVID-19 pada 18 Mei. Keputusannya positif pada 19 Mei. Dia sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 18 Mac dan dos kedua pada 12 April.

Seorang budak perempuan rakyat Singapura berusia tiga tahun yang bersekolah di Pusat Skool4kidz di Punggol Way. Dia dikuarantin pada 16 Mei dan tidak bergejala. Dia diuji pada 18 Mei dan positif pada 19 Mei. Seorang wanita penduduk tetap Singapura yang berusia 36 tahun yang merupakan kakitangan KFC di Jalan Mas Puteh.

Dia adalah anggota keluarga jurutera IT tersebut. Dia mula demam, batuk, sakit tekak, selesema dan sakit kepala pada malam 17 Mei dan berjumpa doktor keesokan harinya, di mana dia menjalani ujian ART dan PCR. Keputusan ujian ART positif pada 18 Mei dan dia segera diasingkan. Ujian PCRnya pula positif pada 19 Mei.

KES-KES LAIN TERKAIT KES SEBELUM INI

Seorang lelaki Malaysia 39 tahun yang bekerja sebagai pakar elektrik di Yew Hock Automation Service & Control terkait Kes 63334.

Dia dikuarantin pada 15 Mei dan tidak bergejala. Dia dikesan semasa menjalani ujian COVID-19 pada 18 Mei dan keputusannya positif pada 19 Mei.

Seorang pelajar Sekolah Cina-Anglo (Junior) berusia 12 tahun adalah kontak serumah Kes 63376.

Dia dikuarantin pada 17 Mei dan mengalami demam, batuk dan selesema pada 18 Mei dan diuji bagi COVID-19. Keputusannya positif pada 19 Mei.

Seorang pembantu rumah hijarahan warga Filipina berusia 32 tahun yang merupakan kontak serumah seorang lagi pembantu rumah warga Filipina yang positif pada 13 Mei lalu.

Wanita berusia 32 tahun itu dikuarantin pada 13 Mei dan diuji bagi COVID-19 pada 14 Mei. Namun keputusannya negatif. Dia kemudian demam, sakit bekalang dan melaporkan simptom yang dialami keesokan harinya. Dia diuji bagi COVID-19 dan keputusannya positif pada 19 Mei.

Seorang wanita Singapura berusia 38 tahun, yang bertugas di Pacific Law Corporation dan merupakan kontak sekerja dengan Kes 63335.

Dia mula selesema, batuk dan sakit kepala pada 16 Mei dan berjumpa doktor di mana dia diuji bagi COVID-19. Dia dikuarantin pada 17 Mei memandangkan dia kontak rapat kes COVID-19.

Keputusan ujiannya positif pada 19 Mei.

Seorang remaja berusia 15 tahun yang bersekolah di Sekolah Menengah Yuan Ching juga disahkan positif pada 19 Mei.

Dia sudah tidak ke sekolah sejak mengalami simptom-simptom dan dia juga kontak serumah Kes 63479. Dia mengalami sakit tekak pada 17 Mei dan berjumpa doktor di mana dia diuji bagi COVID-19.

KES TIDAK TERKAIT MANA-MANA KES LAIN

Kes 63466: Seorang wanita Singapura 59 tahun yang bekerja di Mary Fashion and Trading (338 Ang Mo Kio Avenue 1).

Dia batuk pada 15 Mei dan berjumpa doktor pada malam 17 Mei dan diuji bagi COVID-19 pada keesokan harinya. Keputusannya positif pada 19 Mei. Dia sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 21 Mac dan dos kedua pada 11 April.

Kes 63479: Seorang suri rumah penduduk tetap Singapura berusia 49 tahun mengalami demam, batuk, sakit tekak dan hilang deria rasa dan bau pada 14 Mei tetapi tidak berjumpa doktor sehingga 18 Mei. Dia kemudian diuji positif COVID-19 dan keputusannya positif pada 19 Mei.

Kes 63480: Seorang pegawai perkhidmatan pelanggan berusia 41 tahun di Times Bookstore, yang sudah tidak ke tempat kerja sejak 30 April.

Dia demam pada 17 Mei dan mengalami selesema dan batuk oada keesokan harinya.

Dia berjumpa doktor pada 18 Mei dan diuji bagi COVID-19 dan keputusannya positif pada 19 Mei.

Kes 63482: Seorang wanita Malaysia berusia 54 tahun yang bekerja di Seagate Singapore International Headquarters.

Dia alami selesema pada 16 Mei dan anosmia pada 17 Mei.

Pada 19 Mei dia berjumpa doktor dan menjalani ujian ART dan PCR pada hari yang sama.

Dia sudah menerima dos pertama vaksin pada 16 April dan dos kedua pada 9 Mei.

Kes 63487: Seorang remaja 19 tahun rakyat Malaysia yang menuntut di Politeknik Singapura dan kali terakhir datang ke Singapura pada15 Mei.

Dia alami demam pada 19 Mei dan berjumpa doktor pada hari yang sama, di mana dia positif ujian ART dan PCR.

Kes 63497: Seorang lelaki Singapura berusia 69 tahun yang bertugas sebagai pekerja pembersihan yang digajikan syarikat Weishen Industrial Services.

Dia demam pada 17 Mei dan selesema, batuk dan sengal-sengal badan pada keesokan harinya.

Dia berjumpa doktor di poliklinik pada 19 Mei, di mana dia diuji bagi COVID-19 dan keputusannya positif pada 20 Mei.

Dia sudah menerima dos pertama vaksin pada 16 Mac dan dos kedua pada 6 April.

KES IMPORT

Antara 14 kes baru import termasuk tujuh rakyat Singapura dan tiga penduduk tetap yang pulang dari India dan Indonesia.

Dua adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Jerman dan Sri Lanka.

Baki dua lagi adalah pemegang pas kerja dari Nepal dan Filipina. 

Sehingga Khamis (20 Mei), Singapura mencatat 61,730 kes koronavirus keseluruhannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan