Koronavirus

Images
  • MBS
    Kasino Marina Bay Sands dikenal pasti sebagai kelompok baru pada Rabu (21 Jul). (Gambar: TODAYonline)

2 kelompok baru dikesan termasuk Kasino Marina Bay Sands

SINGAPURA: Singapura melaporkan 179 kes baru tempatan jangkitan COVID-19 setakat tengah hari Rabu (21 Jul), dengan 130 berhubung kait kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lagi lapan dikaitkan dengan kelompok KTV.

Kini terdapat 454 kes berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pusat Makanan & Pasar Hong Lim, menjadikannya kelompok aktif paling besar di negara ini.

Sebanyak 215 kes pula dikaitkan dengan kelompok KTV.

Antara kes baru yang diumumkan pada Rabu, 149 berhubung kait dengan kes-kes jangkitan sebelum ini, dengan 80 sudahpun dikenakan kuarantin dan 69 dikesan melalui ujian pemantauan.

Baki 30 jangkitan tiada hubung kait dengan kes-kes sebelum ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini lanjutnya.

Empat daripada kes baru itu merupakan warga senja berusia 70 tahun dan ke atas yang belum mendapatkan vaksin dan berisiko mengalami sakit teruk, tambah MOH.

Terdapat juga dua kes jangkitan import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura. Kedua-dua individu jatuh sakit sewaktu menjalani SHN atau tempoh pengasingan.

Secara keseluruhannya, terdapat 181 kes baru COVID-19 di Singapura pada Rabu.

KASINO MARINA BAY SANDS TUTUP

Dua kelompok baru turut dikenal pasti: Kelompok Kasino Marina Bay Sands dengan 11 kes dan kelompok Kes 65231 dengan empat jangkitan.

MOH bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut tentang Kes 65231.

Kini terdapat 28 kelompok aktif di Singapura - antara tiga dengan 454 jangkitan.

MOH menyatakan ia sedang menyiasat kes jangkitan COVID-19 melibatkan para individu yang bekerja atau mengunjungi Kasino Marina Bay Sands.

Sebelas kes dikaitkan dengan kelompok itu sejauh ini dan MOH menyatakan siasatan epidemiologi mendapati kemungkinan masih berlaku penularan di kasino itu.

Untuk membendung rantaian penularan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan di premis itu, Kasino Marina Bay Sands akan ditutup kepada umum mulai 22 Jul hingga 5 Ogos.

Operasi-operasi ujian khas akan dijalankan ke atas semua kakitangan kasino berkenaan.

Ujian percuma COVID-19 juga akan dilanjutkan kepada orang awam yang mengunjungi Kasino Marina Bay Sands antara 7 Julai dengan 21 Julai.

LAGI 2 PASAR DITUTUP

Sebanyak 22 kes dikesan dalam kalangan individu yang bekerja atau mengunjungi Pasar & Pusat Makanan Clementi 448 manakala lagi 12 jangkitan dikesan di Pasar Whampoa Drive.

Kedua-dua pasar itu akan ditutup kepada orang awam mulai 22 Julai hingga 5 Ogos untuk memutuskan rantaian penularan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan premis.

MOH juga menyatakan ujian percuma COVID-19 akan dilanjutkan kepada mereka yang mengunjungi Pasar & Pusat Makanan Clementi 448 di Clementi Avenue 3 dan Pasar & Pusat Makanan Haig Road antara 7 Julai dengan 21 Julai.

FASA 2 (KEWASPADAAN DIPERTINGKAT)

Kegiatan duduk makan di luar akan digantung sementara dan saiz kumpulan perhimpunan sosial akan dikurangkan kepada dua orang mulai Khamis (22 Jul) sedang Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) untuk membendung kenaikan kes tempatan COVID-19.

Langkah-langkah itu akan berkuat kuasa hingga 18 Ogos dan akan menggantikan langkah-langkah yang diperkenalkan pada Isnin (19 Jul), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Selasa (20 Jul).

Pemerintah akan menyemak semula langkah-langkah tersebut dua minggu akan datang dan akan membuat penyesuaian mengikut keadaan pada ketika itu.

Pejabat Presiden juga pada Rabu mengumumkan acara rumah terbuka Istana yang dijadualkan pada 1 Ogos akan ditangguh ke tarikh yang lain, menyusuli pengumuman Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Setakat Rabu, Singapura melaporkan 63,621 kes COVID-19 secara keseluruhannya.  

- CNA/SM/sm

Top