Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kelompok baru dikesan di Bukit Merah View; pekerja FairPrice turut diuji

Dua kelompok baru COVID-19 dikesan di dua blok berasingan di Bukit Merah View, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin malam (21 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
2 kelompok baru dikesan di Bukit Merah View; pekerja FairPrice turut diuji

Zon ujian COVID-19 terletak di Blok 125A Bukit Merah View pada 18 Jun 2021. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 22 Jun 2021 12:08AM Dikemas Kini : 22 Jun 2021 12:12AM

SINGAPURA: Dua kelompok baru COVID-19 dikesan di dua blok berasingan di Bukit Merah View, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin malam (21 Jun).

Dua kelompok tersebut dikesan di 119 Bukit Merah View dan 121 Bukit Merah View.

Setakat 12.00 tengah hari Isnin, Singapura melaporkan 13 kes baru COVID-19 dalam masyarakat, termasuk tiga tanpa hubung kait dengan kes-kes lalu.

Lagi 10 kes terkait dengan kes-kes terdahulu. Lima daripada mereka sudahpun dikuarantin manakala lagi lima dikesan menerusi ujian pemantauan, menurut MOH.

MOH pada Isnin turut melaporkan bahawa seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia 44 tahun yang berpenyakit kencing manis, meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, menjadikan angka korban koronavirus di sini seramai 35 mangsa.

2 KELOMPOK JANGKITAN DI BUKIT MERAH VIEW

Kelompok di 119 Bukit Merah View melibatkan dua kes baru dalam masyarakat. Mereka adalah seorang lelaki berusia 63 tahun yang bekerja di CSP Maintenance sebagai kakitangan pembersihan di Enabling Village di 20 Lengkok Bahru dan seorang suri rumah berusia 62 tahun.

Kedua-duanya dikesan melalui ujian pemantauan untuk para penduduk di kawasan Bukit Merah View, menurut MOH.

Terdapat lima kes dalam kelompok ini setakat Isnin.

Sementara itu, kelompok di 121 Bukit Merah View merangkumi tiga kes yang dilaporkan sebelum ini yang terkait - Kes 64330, 64342 dan 64345. Ketiga-tiga kes itu adalah para pesara yang masing-masing berusia 86, 83 dan 80 tahun.

Kes 64330 dikesan melalui ujian pemantauan untuk para pengunjung 115 dan 116 Bukit Merah View. Jangkitannya disahkan pada 18 Jun.

Kes 64342 mengalami demam dan batuk pada 16 Jun dan mendapatkan rawatan perubatan pada 18 Jun apabila beliau dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan disahkan positif COVID-19 pada keesokan harinya.

Kes 64345 dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) untuk keadaan yang tidak berkaitan pada 19 Jun dan didapati demam. Beliau diuji positif COVID-19 pada hari yang sama.

KELOMPOK 115 BUKIT MERAH VIEW TERUS MENINGKAT

Lagi lima kes dikaitkan dengan 115 Pasar & Pusat Penjaja Bukit Merah View, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 78.

Kes-kes baru itu termasuk seorang tukang masak berusia 37 tahun di Holiday Inn Atrium yang juga merupakan pemandu penghantaran sambilan untuk Lalamove Singapore, seorang penolong gerai berusia 23 tahun di Tiong Bahru Yong Tao Hu di Eng Hoon Street, seorang pesara berumur 71 tahun dan seorang wanita berusia 57 tahun yang tidak bekerja.

Kes-kes itu adalah kontak rapat kes-kes yang disahkan sebelum ini dan sudah dikuarantin, jelas MOH.

Satu lagi kes melibatkan pesara berusia 75 tahun dikesan melalui ujian pemantauan.

UJIAN UNTUK CAWANGAN FAIRPRICE DI BUKIT MERAH CENTRAL

MOH menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat kes COVID-19 dalam kalangan pengunjung yang melanggani NTUC FairPrice di 166 Bukit Merah Central.

"Untuk membendung penularan masyarakat yang lebih luas dan tidak dikesan, kami akan menjalankan operasi ujian khas untuk semua kakitangan yang bekerja di premis itu," menurut kementerian tersebut.

Ujian percuma COVID-19 juga akan ditawarkan kepada mereka yang melanggani pasar raya itu antara 3 Jun hingga 21 Jun.

Semua pengunjung pada tarikh-tarikh yang dinyatakan itu harus memantau kesihatan mereka dengan teliti dan mengelakkan pergaulan sosial selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka, tekan MOH. Mereka juga digalakkan supaya berjumpa doktor dengan segera sekiranya berasa tidak sedap badan.

KES IMPORT

Terdapat juga tiga kes import, dengan kesemuanya dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura. Kesemuanya adalah warga Singapura atau Penduduk Tetap yang pulang ke negara ini.

Tiada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Kesemuanya, Singapura melaporkan 16 kes baru COVID-19 pada Isnin.

MOH pada Ahad turut melaporkan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat telah meningkat dari 36 kes pada minggu sebelumnya kepada 108 kes pada minggu lalu.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat turut meningkat dari 15 kes pada minggu sebelumnya kepada 21 kes pada minggu lalu.

Setakat sehingga Isnin, Singapura melaporkan 62,430 kes COVID-19 dengan 35 kematian.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan