Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 kelompok baru berkait ziarah Aidilfitri dikesan di Sabah

Empat kelompok baru COVID-19 dikesan di Sabah pada Isnin (7 Jun) dengan dua daripadanya berkaitan sambutan Aidilfitri baru-baru ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Masidi Manjun

Anggaran Waktu Membaca:
2 kelompok baru berkait ziarah Aidilfitri dikesan di Sabah

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 09:02AM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 09:03AM

KOTA KINABALU: Empat kelompok baru COVID-19 dikesan di Sabah pada Isnin (7 Jun) dengan dua daripadanya berkaitan sambutan Aidilfitri baru-baru ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Masidi Manjun.

Beliau berkata kelompok Kampung Bolong Baru di Tuaran dan Kota Belud, yang mencatat 33 kes setakat ini, dicetuskan oleh kes indeks, seorang suri rumah berusia 28 tahun yang mendapat jangkitan ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri.

"Kes indeks dari Kampung Bolong Baru (Tuaran) disahkan positif pada 27 Mei. Saringan yang antaranya dilakukan di tempat kerja mendapati 26 kes positif di Tuaran dan tujuh kes di Kota Belud," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Encik Masidi berkata satu lagi kelompok yang tercetus akibat kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri ialah kelompok Taman Wawasan di Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu yang sehingga Isnin melibatkan 30 kes jangkitan daripada kes indeks seorang lelaki berusia 66 tahun.

"Kes indeks disahkan positif pada 18 Mei dan saringan kontak rapat mendapati dua kes positif, dengan kontak rapat ini terlibat aktiviti kunjung-mengunjung semasa Hari Raya di Kampung Tarap, Bongawan. Jumlah terbesar kes kelompok ini dikesan di Taman Wawasan, Beaufort, dengan 20 kes," ujar beliau.

Sementara itu, Encik Masidi berkata kelompok Hamparan di Kinabatangan melibatkan 27 kes di tempat kerja iaitu daripada kes indeks, seorang wanita berusia 26 tahun, yang didapati positif pada 29 Mei, sebelum saringan tempat kerja di kilang sawit mengesan 17 kes dan sembilan kes jangkitan kepada tanggungan.

Menurut beliau lagi, kelompok Jalan Budi di Tawau pula melibatkan seorang wanita berusia 37 tahun dan merupakan pekerja salon kecantikan di Johor, yang disahkan positif ketika saringan di Pintu Masuk Antarabangsa pada Rabu lalu sebelum saringan kontak rapat kemudian mendapati sembilan kes positif dalam kalangan rakan serumah.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menetapkan premis menjual makanan, peruncitan dan pengedaran antaranya restoran, pasar raya, farmasi, kedai serbaneka serta kedai perkakasan untuk beroperasi dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

"Pasar awam dan pasar harian pula dibenar beroperasi 6.00 pagi hingga 3.00 petang manakala stesen minyak serta kedai serbaneka di stesen itu dari 6.00 pagi hingga 8.00 malam," katanya.

Bagi institusi kewangan dan perbankan pula, tambah Encik Masidi, ia dibenarkan beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang manakala pejabat firma profesional seperti akauntan, peguam dan jurutera dibenar beroperasi dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan