Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

163 kes baru COVID-19 terkait kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong & KTV

Singapura melaporkan 163 kes baru COVID-19 dalam masyarakat pada Isnin (19 Jul), dengan 116 jangkitan berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lagi 20 kes terkait kelompok KTV.

Anggaran Waktu Membaca:
163 kes baru COVID-19 terkait kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong & KTV

(Gambar: Facebook/Dynasty Classic KTV/TrueLove Bistro & KTV Pub)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 09:41AM Dikemas Kini : 20 Jul 2021 09:43AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 163 kes baru COVID-19 dalam masyarakat pada Isnin (19 Jul), dengan 116 jangkitan berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lagi 20 kes terkait kelompok KTV.

Secara keseluruhannya, 146 kes dalam masyarakat terkait dengan kes-kes terdahulu, di mana 44 dikenakan kuarantin dan 102 kes dikesan menerusi ujian pemantauan.

Lagi 17 kes tidak berhubung kait dengan kes-kes terdahulu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini pada awal pagi Selasa (20 Jul).

Dalam kalangan kes baru itu, seorang individu yang berusia 70 tahun ke atas belum divaksin dan berisiko mengalami jangkitan serius, menurut MOH.

Setakat pukul 12.40 tengah malam pada Selasa, kelompok KTV melaporkan sebanyak 193 kes sementara kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan Pusat Penjaja & Pasar Hong Lim mempunyai 179 kes.

Sembilan kes import dilaporkan, dengan kesemuanya dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Empat daripada kes-kes itu dikesan sebaik tiba di Singapura, manakala lima kes lain terjangkit semasa menjalani SHN atau tempoh pengasingan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 172 kes baru COVID-19 pada Isnin.

Perangkaan itu adalah jumlah kes baru COVID-19 yang tertinggi dilaporkan sejak 10 Ogos 2020, di mana 188 kes baru dikenal pasti ketika itu.

PENULARAN BERTERUSAN DI 2 LAGI KTV

MOH menyatakan ia sedang menyiasat kes-kes COVID-19 dalam kalangan pelayan yang mengunjungi KTV atau kelab malam yang beroperasi sebagai cawangan makanan dan minuman (F&B), dan kontak rapat mereka.

Siasatan epidemiologi mendapati terdapat kemungkinan berlaku penularan berterusan di Dynasty Classic KTV (1 Sophia Road) dan True Love (211 Geylang Road).

Kesemua pengunjung ke premis-premis yang terjejas dinasihati supaya memantau kesihatan mereka dengan teliti, dan mengurangkan pergaulan sosial sebanyak mungkin, menurut MOH.

KIT UJIAN ART BAGI PENGUNJUNG PASAR TERTENTU, PUSAT PENJAJA

Sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kes-kes COVID-19 melibatkan pasar dan pusat penjaja, MOH menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengagihkan kit kendiri bagi ujian pantas antigen (ART) kepada para individu yang mengunjungi pasar-pasar dan pusat-pusat penjaja tertentu sepanjang 14 hari lalu, seperti para penduduk yang tinggal di sekitar kawasan pusat-pusat berkenaan.

Tempoh pengambilan kit-kit ujian itu akan dijalankan dari 20 Jul hingga 21 Jul di Pusat Jawatankuasa Penduduk di sekitar kawasan-kawasan tersebut:

- Pusat Penjaja & Pasar Cheng San (527 Ang Mo Kio Ave 10)

- Pusat Penjaja & Pasar Chong Boon (453A Ang Mo Kio Ave 10)

- Pusat Penjaja & Pasar Geylang Serai (1 Geylang Serai)

- Pusat Penjaja & Pasar Haig Road (14 Haig Rd)

Mereka yang layak menerima kit-kit ujian itu "sangat digalakkan" untuk mengambilnya dan melakukan ujian sendiri. Para individu boleh memeriksa online bagi Pusat Jawatankuasa Penduduk yang terletak berdekatan untuk mengambil kit ujian itu.

MOH menyatakan kes-kes COVID-19 itu "berkemungkinan merebak" melalui para penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mengambil bekalan dan menjualnya di pasar-pasar dan pusat penjaja.

Kini kelompok jangkitan dikesan di Pusat Penjaja & Pasar Hong Lim dan Pusat Penjaja & Pasar Chong Boon.

MOH turut mengesan kes-kes dalam kalangan penjual ikan yang bekerja di pasar-pasar berikut:

- Pusat Penjaja & Pasar Albert Centre
- Pusat Penjaja & Pasar Ang Mo Kio Central
- Pusat Penjaja & Pasar 630 Bedok Reservoir Road
- Pasar 497 Jurong West Street 41
- Pasar 505 Jurong West Street 52
- Pusat Penjaja & Pasar Kim Keat Palm
- Pusat Penjaja & Pasar Basah Mayflower
- Pusat Penjaja & Pasar Teck Ghee
- Pasar 146 Teck Whye Avenue
- Pusat Tekka

KELOMPOK 121 BUKIT MERAH VIEW DITUTUP

Kini terdapat 28 kelompok aktif di Singapura yang mempunyai antara tiga dengan 193 kes jangkitan.

Memandangkan tiada lagi kes berhubung kait dengan kelompok 121 Bukit Merah View selama dua tempoh inkubasi, kelompok itu kini ditutup.

MOH menyatakan keseluruhan jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat dari 19 pada minggu sebelumnya kepada 480 kes pada minggu lalu.

"Kita mungkin akan menyaksikan jumlah kes meningkat dalam masa beberapa hari mendatang sedang kita mempertingkatkan usaha untuk mengesannya bagi membendung penularan dalam masyarakat. Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga meningkat dari lapan kes pada minggu sebelumnya kepada 45 kes pada minggu lalu," tambah kementerian itu.

Sebanyak 289 kes sedang menjalani rawatan di hospital dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan stabil dan di bawah pemantauan.

Lima kes pula mengalami jangkitan serius dan memerlukan bantuan oksigen tambahan manakala seorang dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU). Dalam kalangan enam kes ini, tiada yang sudah divaksin sepenuhnya, menurut MOH.

MOH menyatakan terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi berupaya membantu mencegah berlaku jangkitan serius apabila seseorang dijangkiti koronavirus.

Sepanjang 28 hari lalu, 12 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia.

Lapan belum divaksin, empat sudah menerima satu dos vaksin dan tiada dalam kalangan mereka sudah menerima vaksin lengkap, tambah kenyataan tersebut.

Setakat Isnin, Singapura melaporkan 63,245 kes COVID-19 secara keseluruhannya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan