Virus Korona

Images
  • Korea Selatan Ramadan
    (Gambar hiasan: Ahmad Gharabli/AFP)

16 anggota sekeluarga dijangkiti COVID-19 selepas perjumpaan buka puasa di Bahrain

DUBAI: Satu perjumpaan iftar di Bahrain akhirnya menyebabkan 16 anggota sekeluarga menjangkiti virus korona COVID-19 daripada salah seorang saudara yang sakit. Kementerian Kesihatan negara itu mengumumkan perkara tersebut pada lewat Sabtu (9 Mei), lapor Gulf News. 

Kesemua anggota keluarga itu dijangkiti kerana kegagalan mematuhi langkah berjaga-jaga termasuk mengelakkan perhimpunan, memakai pelitup dan mengamalkan jarak selamat, menurut kementerian tersebut dalam satu catatan Twitter. Orang yang dijangkiti itu merebakkan penyakit berjangkit itu kepada semua anggota keluarga yang hadir termasuk ibu bapa, adik-beradik serta beberapa kanak-kanak.

"Setiap orang bertanggungjawab untuk mematuhi garis panduan dan langkah berjaga-jaga demi mencegah penularan virus itu," menurut kementerian itu seperti dipetik Gulf News.

Kementerian itu menambah ia sedang meningkatkan usahanya dan meluaskan keupayaan pengujian untuk mengekalkan keselamatan setiap orang menerusi pengesanan awal kes serta pengesanan hubungan.

Pada Sabtu, Bahrain mencatatkan 4,774 jumlah kes jangkitan COVID-19 dengan 2,055 orang sudah pulih dan lapan pesakit meninggal dunia.

Bahrain membenarkan kedai dan perusahaan perindustrian untuk membuka semula operasinya minggu lalu sedang pemerintah melonggarkan sekatan yang dilaksanakan untuk memperlahankan penularan COVID-19.  

- Agensi berita/FZ/fz

Top