Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15 kes baru COVID-19 termasuk kes masyarakat yang datang bekerja di Lapangan Terbang Changi

Sebanyak 15 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Isnin (28 Sep), menjadikan jumlah kes keseluruhan di negara ini sebanyak 57,715.

Anggaran Waktu Membaca:
15 kes baru COVID-19 termasuk kes masyarakat yang datang bekerja di Lapangan Terbang Changi

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 03:56PM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 12:02AM

SINGAPURA: Sebanyak 15 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Isnin (28 Sep), menjadikan jumlah kes keseluruhan di negara ini sebanyak 57,715.

Sebanyak 13 daripada kes yang dilaporkan hari ini tidak bergejala dan dikesan menerusi pemeriksaan dan pemantauan secara proaktif, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dua kes jangkitan dalam masyarakat dilaporkan, melibatkan pemegang pas kerja. Kes 57847 diuji sebagai sebahagian daripada pemeriksaan ke atas pekerja dalam khidmat penting yang tinggal di luar dormitori.

Kes melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun itu buat masa ini tidak mempunyai kaitan dan beliau datang bekerja di Lapangan Terbang Changi. Beliau tinggal serumah dengan satu lagi kes jangkitan dalam masyarakat, dikenali sebagai Kes 57861.

Apabila dihubungi oleh kementerian kesihatan pada Ahad (27 Sep) selepas Kes 57847 disahkan dijangkiti COVID-19, lelaki warga Malaysia yang kedua itu melaporkan mengalami gejala dan dibawa ke hospital bagi menjalani ujian swab.

Menurut MOH, siasatan epidemiologi terhadap kes-kes tanpa hubung kait sedang dijalankan. Kesemua orang yang dikenalpasti berhubung rapat dengannya telah diasingkan dan diletakkan di bawah kuarantin. Ujian serologi bagi mereka yang tinggal serumah dengannya juga dijalankan bagi menentukan jika beliau mungkin dijangkiti oleh mereka.

MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat kekal stabil pada purata kurang satu kes sehari sepanjang dua minggu lalu.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga kekal stabil pada purata kurang satu kes sehari sepanjang dua minggu lalu.

Enam kes import dilaporkan, kesemuanya diberikan notis jangan keluar rumah setibanya mereka di Singapura.

Ini termasuk seorang penduduk tetap yang tiba dari India pada 16 Sep. Tiga lagi kes melibatkan pemegang pas kerja dan pemegang permit kerja yang tiba dari Perancis, Filipina dan India pada 16 Sep.

Dua kes selebihnya melibatkan pemegang pas tanggungan. Kanak-kanak berusia tiga tahun dan setahun itu tiba dari India pada 15 Sep dan berhubung rapat dengan kes COVID-19 yang disahkan sebelum ini.

Tujuh kes dikesan dalam kalangan penduduk dormitori. Dalam kalangan kes itu, empat dikenal pasti terlebih dahulu berhubung rapat dengan kes-kes sebelum ini yang sudah pun dikuarantin bagi mengelakkan jangkitan lanjut.

Tiga kes selebihnya dikesan menerusi ujian pemantauan, seperti melalui ujian rutin berjadual setiap dua minggu bagi para pekerja yang tinggal di dormitori.

Dalam kalangan kes baru yang dilaporkan pada Isnin, 93 peratus adalah kes import atau mempunyai hubung kait kepada kes-kes atau kelompok yang diketahui sementara penjejakan kontak sedang dilakukan bagi selebihnya. Butiran lanjut boleh didapatkan menerusi laporan situasi harian COVID-19 MOH.

Menurut MOH lagi, 26 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah kes pulih di Singapura sebanyak 57,393.

Sebanyak 36 kes masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Lagi 259 kes diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan